Kedua-duanya adalah pelajar yang seringkali menduduki berada di tanggal teratas dalam carta undian. Sekaligus merobohkan laluan Dafi untuk konsert final. Keputusan undian tidak dapat diduga. Seperti juga dengan penyingkiran minggu lalu, senario penyingkiran Dafi mendapat pelbagai reaksi. Ada yang suka dan sebaliknya ada yang sedih.
Padahal kalau nak dikira, Dafi adalah pelajar pertama yang membuat persembahan. Pengundi dan peminat Dafi mempunyai masa untuk menghantarkan undian. Kemungkinan besar pada minggu hadapan, Ebi pula akan tersingkir. Ini kerana Ebi juga dikatakan berada di kedudukan yang selesa seperti Dafi.
Melihat pada graf prestasi, ternyata minggu lepas adalah minggu kemuncak bagi Dafi. Mendapat 4 lampu biru dan pujian melambung mungkin ini yang membuatkan pengundi Dafi rasa lebih selesa. Mungkin Dafi dikatakan sudah dapat mengumpulkan ramai lagi peminat untuk mengundi.
Melihat pada persembahan Dafi untuk lagu It’s Gonna Be Me, saya rasa Dafi mempunyai gaya showmanship seorang penyanyi yang hebat. Perhatikan gerakan tarian yang kemas, tepat dan tajam itu… Dafi boleh pergi jauh. Namun, dari segi vokal saya masih ragu-ragu untuk mengatakan ya pada bakat Dafi. Vokal Dafi hanya sesuai dengan lagu-lagu tertentu sahaja. Tidak semua genre lagu boleh dibawa. Kalau ada pun, pemilihan lagu perlu tepat dan sesuai. Sudah tentu, kalau nak jadi penyanyi yang lebih fleksibel dan serba boleh, Dafi harus lebih banyak belajar.
Dafi masih muda. Masih punya masa untuk menimba ilmu. Pintu peluang masih terbuka untuk melayari bahtera anak seni seandainya Dafi pandai membawa diri. Dafi punya pakej yang lengkap dari segi rupa paras. Ada penampilan wajah yang comel dan cute. Digemari oleh semua yang melihat.
Dafi ada gaya untuk menjadikan dirinya lebih komersial dan lebih berketrampilan dalam dunia showbiz. Dia boleh jadi duta, model iklan dan boleh menjadi selebriti yang mudah didekati. Cuma, Dafi kena tekankan lagi dari segi kebolehannya membuka suaranya untuk membawa lagu yang bernada tinggi. Itu adalah satu cabaran sebenar.
Kini tinggal lagi 3 pelajar perempuan dan 3 pelajar lelaki. Hanya tinggal satu konsert lagi untuk melangkah ke final. AF Masuk tidak akan dibuat. Itu bagus. Siapa tersingkir pada minggu hadapan? Susah nak ramal. Aswad saya kira akan ke final. Undi simpati masih berpihak kepada Aswad. Lagi pun pada minggu ini, Aswad mendapat makanannya dari resepi pilihan yang lazat. Genre rock kapak memang menjadi makanan Aswad. Cuba genre yang lain pula minggu hadapan.
Nak tengok macamana seorang yang bakal juara boleh mevariasikan suaranya. Persembahan Heliza pula mengkagumkan saya. Pertama kali saya mendengar Heliza menjauhkan suaranya dari dibayangi oleh suara Datuk Siti Nurhaliza. Syabas! Permulaan yang baik. Lagu Kesal itu saya kira agak sukar pada Heliza kerana terpaksa mengerah suara sehingga menjadi serak. Lagu itu tidak semestinya diserakkan. Imej rock akan timbul dengan gaya persembahan.
Vokal yang mantap adalah pelengkap utama. Candy dan Mila pula seolah-olah diberi laluan yang luas untuk ke final. Peningkatan kedua pelajar genit ini begitu ketara dari minggu ke minggu.
Sekiranya mereka tersingkir minggu hadapan, ternyata peningkatan itu seolah dipersiakan begitu sahaja. Shawal pula agak sederhana persembahannya. Seingat saya, sebelum ini Shawal diberi lagu berentak yang sama. Ingat lagi dengan Izinkan Ku Pergi versi Shawal? Ya, kalau nak dinilai lagu Kaulah Segalanya memberi satu ruh pop dalam imej Shawal. Kebolehan Shawal menyuntik kelainan itu yang ingin kita lihat.
Akhir kata, Sensasi Selebriti ingin mengucapkan selamat maju jaya pada Dafi. Kepada peminat Dafi di luar sana, terima kasih kerana tidak henti-henti menyokong Dafi.
Baca ulasan Konsert AF5 lanjut di sini: