Dalam usaha memperkasakan bakat muda dalam dunia esukan, Majlis Sukan Negeri Selangor bersama Pejabat Exco Belia, Sukan & Keusahawanan dengan kerjasama Selangor Red Giants (SRG) dan TODAK telah menganjurkan Selangor Future Cup 2024/2025:
Lahirnya Lagenda buat pertama kalinya. Kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) ini khusus untuk pelajar sekolah di negeri Selangor, bertujuan mengenal pasti pemain berbakat serta memberikan mereka pengalaman kejohanan berskala profesional.
Mengangkat Esukan ke Tahap Profesional
Selangor Future Cup bukan sekadar satu kejohanan kompetitif, tetapi juga platform untuk memperkenalkan pemain muda kepada ekosistem esukan yang lebih besar. Sebanyak 64 sekolah dari seluruh Selangor mengambil bahagian, mempamerkan kehebatan bakat baru dalam suasana pertandingan yang penuh semangat kesukanan.
Lebih menarik, kejohanan ini juga berfungsi sebagai tapak pencarian bakat untuk program pembangunan atlet esukan, seiring dengan misi SUKMA akan datang.
Ganjaran Lumayan untuk Juara Selangor Future Cup
Buat pertama kalinya, SMK Kota Kemuning dari Kuala Selangor berjaya muncul sebagai juara Selangor Future Cup 2024/2025. Sebagai ganjaran, sekolah ini menerima penajaan pembangunan fasiliti esukan bernilai RM30,000.
Bukan itu sahaja, setiap peserta turut diberikan biasiswa penuh daripada TODAK Academy bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4. Langkah ini jelas membuktikan bahawa kejohanan ini bukan hanya menitikberatkan persaingan, tetapi juga aspek pendidikan untuk melahirkan generasi atlet yang seimbang antara sukan dan akademik.
Majlis Perasmian yang Gah di AEON Mall Shah Alam
Program ini telah berlangsung selama dua hari pada 22 dan 23 Februari 2025, bertempat di AEON Mall Shah Alam. Kejohanan ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Bin Shari dan diiringi oleh YB Najwan Bin Halimi, Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor. Seramai 384 pelajar dari 64 sekolah bertanding dalam acara yang penuh gilang-gemilang ini.
Menurut Timbalan Presiden TODAK, En Mohd Ikmal Fareeq Bin Shamsul Bahri, kejohanan ini merupakan satu pencapaian besar buat TODAK kerana buat pertama kalinya mereka dapat memberikan sumbangan kepada pendidikan dalam industri esukan selain turut serta dalam penganjurannya.
“Sepanjang dua hari kejohanan berlangsung, kami melihat ramai peserta yang memiliki potensi besar. Saya percaya dengan bimbingan yang tepat melalui program pembangunan atlet di *TODAK dan SRG*, lebih ramai *atlet profesional* dapat dilahirkan pada masa hadapan,”
– En Mohd Ikmal Fareeq Bin Shamsul Bahri
Beliau turut menerima maklum balas yang sangat positif daripada pihak sekolah, guru-guru, dan ibu bapa yang melihat kejohanan ini sebagai satu inisiatif yang bermanfaat. Dengan sambutan yang begitu hebat, beliau optimis bahawa Selangor Future Cup dapat diperluaskan lagi dengan penyertaan lebih banyak sekolah pada tahun hadapan.
Senarai Pemenang dan Hadiah Kejohanan
Juara: SMK Kota Kemuning
- RM160,000 Biasiswa Diploma Kemahiran Malaysia tajaan TODAK Academy
- RM30,000 Pembangunan fasiliti esukan
- RM5,000 Tunai
- 20,000 MLBB diamonds
- Trofi & Pingat
- Cenderamata
Naib Juara: SMK Saujana Utama
- RM2,500 Tunai
- 10,000 MLBB diamonds
- Trofi & Pingat
- Cenderamata
Tempat Ketiga: SMK Seksyen 19
- RM1,500 Tunai
- 2,500 MLBB diamonds
- Trofi & Pingat
- Cenderamata
Tempat Keempat: SMK Bandar Sunway
- RM1,000 Tunai
- 2,500 MLBB diamonds
- Trofi & Pingat
- Cenderamata
Sokongan Padu Daripada Penaja dan Rakan Strategik
Kejohanan Selangor Future Cup: Lahirnya Lagenda turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang komited dalam pembangunan esukan di Malaysia. Antaranya, TODAK Academy yang menaja biasiswa DKM, serta AEON Mall Shah Alam yang menjadi lokasi rasmi kejohanan. Selain itu, kejohanan ini turut mendapat kerjasama daripada Moonton Student Leaders (MSL) yang menyumbangkan in-app diamonds sebagai sebahagian daripada hadiah kejohanan.
Apa Kata Budiey?
Selangor Future Cup 2024/2025 telah membuktikan bahawa esukan bukan sekadar permainan, tetapi satu platform pembangunan bakat dan pendidikan. Dengan penyertaan yang besar dan sokongan daripada pelbagai pihak, kejohanan ini berpotensi menjadi acara tahunan yang lebih berprestij. Selain melahirkan atlet esukan berkualiti, usaha seperti ini juga memberi kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat bahawa esukan boleh dijadikan sebagai kerjaya profesional.
Dalam jangka panjang, kejohanan seperti ini boleh menjadi batu loncatan kepada Malaysia dalam membina komuniti esukan bertaraf dunia. Dengan inisiatif seperti biasiswa pendidikan, kita dapat memastikan pelajar-pelajar yang berbakat dalam esukan tidak mengabaikan akademik mereka. Langkah ini bukan sahaja menggalakkan pembangunan atlet profesional, malah membuka peluang kerjaya yang lebih luas dalam industri ini.
Sebagai peminat esukan, kita pastinya ingin melihat lebih banyak kejohanan seperti ini dianjurkan, bukan sahaja di Selangor, tetapi juga di seluruh Malaysia! Apa pendapat anda? Adakah kejohanan seperti ini patut diperluaskan lagi? Komen dan kongsi pandangan anda!