in , ,

Kegagalan One In A Million Untuk Jadi Program Wajib Tonton: Dimana Silapnya?

Identiti Baru Dikatakan Gagal, Dimanakah Silapnya Program Yang Tak Menjadi

Pada Ahad ini kita bakal menyaksikan kelahiran bergelar juara dan pengumuman pemenang One In A Million selepas berminggu program ini berlangsung. Namun, program pertandingan vokal ini dikatakan masih gagal. Kenapa?

Bagi peminat tegar One In A Million (OIAM), rancangan ini pernah menjadi antara platform realiti muzik yang paling eksklusif di Malaysia. Namun, apabila ia kembali dengan wajah baru, ramai yang tertanya-tanya: Di mana silapnya?

Dulu, OIAM dikenali dengan identiti kuat – dari lagu tema epik nyanyian Jaclyn Victor, logo berwarna ungu yang sinonim dengan branding, hos yang meninggalkan impak, hingga elemen visual yang melekat dalam ingatan. Tapi kini, semua itu lenyap begitu sahaja.

Adakah ini disengajakan atau sekadar kecuaian dalam mengekalkan nostalgia yang pernah menjadikan OIAM satu fenomena?

Terlalu Banyak Campur Tangan Penaja?

Realiti TV hari ini memang tidak lari daripada pengaruh penaja dan klien, tetapi dalam kes OIAM, ia seolah-olah sudah sampai ke tahap hijack sepenuhnya. Logo rasmi? Dah berubah ya. Elemen visual?

Bila dilihat balik, kita nampak terlalu berserabut dan kelihatan ketinggalan zaman. Malah, seakan-akan hanya logo mikrofon yang masih dikekalkan sebagai kenangan lama. Kalau nak buat perubahan, biarlah ada kesinambungan dan bukan sekadar tampal logo penaja di sana-sini.

Tak Ada Lagi Identiti Unik

Dulu, OIAM berjaya menarik golongan penonton yang sangat spesifik ketika ia bersiaran di 8TV. Sekarang? Apabila rancangan ini dipindahkan ke TV3, DNA asalnya semakin hilang. Jenama OIAM pernah dikenali dengan pendekatan urban, eksklusif, dan berbeza daripada program realiti lain.

Kini, ia kelihatan tenggelam dalam lautan hiburan mainstream tanpa keunikan tersendiri. Soalan besar: Adakah pasukan pemasaran, branding dan business development rancangan ini benar-benar faham siapa audiens mereka?

Nama Lama, Relevan Dah Hilang

Lebih membingungkan, OIAM tetap menggunakan nama lama walaupun hampir tiada kesinambungan dengan versi asalnya. Masalah utama? Generasi baru langsung tak kenal atau tak peduli dengan akronim OIAM.

Tanpa lagu tema, tanpa elemen visual asal, dan tanpa branding yang kuat, nama itu kehilangan nilai. Kenapa tak gunakan tajuk baru yang lebih relevan?

Panel Juri & Artis Jemputan: Ada Yang Tak Kena?

Apabila beberapa juri dan artis jemputan yang berasal dari program realiti lain dijemput ke OIAM, ia sedikit sebanyak mencacatkan keunikan rancangan ini. Ibarat mencampurkan dua dunia yang berbeza, ini hanya menambahkan lagi kekeliruan terhadap hala tuju program ini.

Pemilihan Waktu Siaran Yang Salah

Timing sangat penting dalam dunia TV. Malangnya, OIAM terperangkap dalam slot yang kurang strategik. Bayangkan, ia perlu bersaing dengan rancangan lain yang sudah mempunyai jenama kuat dan penonton setia seperti Gegar Vaganza. Bila program lain dah establish, apa strategi OIAM untuk mencuri perhatian? Nampaknya, tidak banyak yang dilakukan untuk menjadikan rancangan ini ‘wajib tonton’.

Keseronokan Peserta, Tapi Dengan Kos Yang Mahal

Dalam semua kekurangan ini, sekurang-kurangnya kita boleh lihat para peserta nampaknya berseronok. Tetapi, soalnya adakah ini berbaloi jika jenama rancangan itu sendiri sedang tenggelam? Pada akhirnya, apa yang kita dapat lihat adalah kegagalan menghidupkan semula sebuah program dengan identiti yang kukuh satu masa dulu.

Apa Kata Budiey?

OIAM sepatutnya belajar daripada kesilapan program-program realiti lain yang cuba buat comeback tapi gagal. Branding yang lemah, pemilihan masa yang salah, dan kehilangan DNA asal adalah resepi utama kegagalan.

Cadangan saya? Jika benar mahu OIAM kembali dengan impak yang lebih besar, mereka perlu rombak strategi sepenuhnya. Sama ada rebrand dengan identiti baru atau kembalikan elemen nostalgia yang menjadikan ia legenda. Jangan buat separuh jalan. Kalau nak buat, buat betul-betul.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Final One In A Million: Artis Jemputan Tersohor, Siapa Bakal Juara Ahad Ini?