Dalam dunia fesyen yang sentiasa berkembang, ramai selebriti memilih untuk menjadi duta kepada pelbagai jenama. Namun, bagi Mierul Aiman dan Nadhir Nasar, kesetiaan mereka kepada jenama Bulan Bintang tidak pernah goyah.
Kedua-dua bintang muda ini terus teguh dengan jenama yang mereka percaya, meskipun rakan seangkatan mereka memilih laluan lain.
Ada Sebab Kenapa Mierul Aiman Setia Menjadi Duta Jenama
Ketika ditanya mengenai keputusan mereka untuk terus setia dengan Bulan Bintang, Mierul Aiman dengan penuh keyakinan menjelaskan, “Saya sudah menjadi duta untuk tahun kedua bersama Bulan Bintang. Saya memilih jenama ini kerana identiti dan keunikan yang ada dalam setiap sisi penceritaan mereka. Cara mereka berinteraksi dengan pembeli, pengguna, dan peniaga sangat menarik serta memberi pengalaman yang berbeza.”
Bulan Bintang Bukan Sekadar Jenama Baju Raya
Mierul Aiman turut menekankan bahawa Bulan Bintang bukan sekadar jenama pakaian, tetapi mereka juga memainkan peranan penting dalam memberi kembali kepada masyarakat.
“Tahun lepas ada kempen ‘Terpaling Raya’ yang bukan sekadar promosi, tetapi satu usaha untuk membantu dan berkongsi rezeki dengan masyarakat.
Nadhir Nasar Terus Setia Untuk Tahun Ke-4
Nadhir Nasar yang sudah empat tahun bersama jenama ini turut berkongsi pendapatnya. “Sebagai seorang pengkarya, saya memahami bagaimana usaha dan kreativiti diperlukan untuk membangunkan sesuatu jenama. Pengasas Bulan Bintang juga seorang pengkarya yang memahami nilai estetika dalam fesyen. Saya melihat banyak peningkatan dari segi fabrik, rekaan, dan jahitan.”
Bulan Bintang juga terus berkembang dengan angka yang mengagumkan. “Tahun lalu, mereka berjaya mencapai tiga juta unit jualan, dan kini jumlahnya meningkat kepada sepuluh juta. Ini adalah bukti kepercayaan pelanggan terhadap jenama ini,” tambah Nadhir Nasar.
Dengan kesetiaan dan komitmen tinggi Mierul Aiman dan Nadhir Nasar, tidak dapat disangkal lagi bahawa Bulan Bintang terus kukuh sebagai jenama yang tidak hanya menjual pakaian, tetapi turut mengekalkan nilai tradisi dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Kesungguhan mereka membuktikan bahawa Bulan Bintang bukan sekadar jenama fesyen, tetapi satu gerakan budaya yang semakin berkembang pesat.
Meskipun sudah memasuki tahun ke-empat, pelakon Nadhir Nasar tetap memilih untuk setia dengan jenama Bulan Bintang walaupun ada menerima tawaran daripada jenama lain.
Menurut Nadhir, dia sangat menghargai kepercayaan Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi yang memberi peluang untuk dirinya menggalas tugas sebagai duta sejak empat tahun lalu.
Kata Nadhir, bukan fasal bayaran yang diukur tetapi sikap setia terhadap jenama yang sudah memasuki usia sedekad.
Nadhir Nasar dan Mierul Aiman berkata demikian ketika Fashion Show Bulan Bintang Sedekad Menyinar 2025 yang diadakan di KLCC Convention Centre, Kuala Lumpur, pada Ahad.
Persembahan artis tempatan turut menghangatkan lagi malam tersebut dengan nyanyian dan tarian dari Zeppo Youngster Dancer, Datuk Jamal Abdillah dan Bunkface.
Semua Pembeli Dapat Hadiah
Sementara itu, Azzim atau lebih mesra disapa Meri membelanjakan sebanyak RM10,000,000 untuk hadiah cabutan bertuah yang diberikan kepada setiap pelanggan (give back to customer).
Untuk tahun 2025, tidak ada lagi ‘Harap Maaf.’ Antara hadiahnya seperti Baju Batik Bulan Bintang, pakej umrah, pakej percutian, Perodua Bezza, motosikal, Iphone, Ipad, Sony Headphone dan banyak lagi.
Aplikasi Mudah Alih Dilancarkan
Selain itu, Bulan Bintang juga melancarkan aplikasi mudah alih yang boleh dimuat naik di Apps Store atau Google Play. Menurut Meri, antara ciri menarik yang diperkenalkan dalam aplikasi tersebut termasuklah fungsi Virtual Try On, yang membolehkan pengguna mencuba variasi warna pakaian secara maya sebelum membuat pembelian.
Tambah adik bongsu kepada pengasas Hausboom, Azri Zahir atau lebih dikenali sebagai John Lemon, aplikasi itu turut menyediakan fungsi Instagram Filter yang membolehkan pengguna mencuba tudung dan baju Melayu secara maya.
Hanya dengan mengimbas pakaian melalui telefon pintar, pengguna boleh melihat bagaimana rupa pakaian tersebut pada diri mereka.
Bukan itu saja, pelanggan boleh menyemak stok pakaian di butik tanpa perlu menghubungi admin secara manual.
Bulan Bintang 2025 menampilkan tujuh barisan duta iaitu Shukri Yahaya, Datuk Remy Ishak, Nadhir Nasar, Hannah Delisha, Mierul Aiman, Syafiq Kyle dan Datuk Rosyam Nor.