in

Pembersihan Persisiran Pantai Antarabangsa

Perubahan besar bermula dengan langkah kecil

Vincent van Gogh pernah berkata, “Sesuatu yang hebat datangnya daripada rangkaian peristiwa yang kecil”. Pernyataan ini dengan tepatnya menerangkan inisiatif “Pembersihan Persisiran Pantai Antarabangsa” (International Coastal Cleanup, ICC), suatu aktiviti sukarela tahunan yang terbesar di dunia.

Program ICC yang diketuai oleh pertubuhan Ocean Conservancy menampakkan setengah juta sukarelawan dari lebih 100 negara menjalankan aktiviti mengutip sampah dan membersihkan pantai dan kawasan perairan. Aktiviti yang dijalankan pada bulan September setiap tahun ini merupakan salah satu projek pemuliharaan sukarela yang terbesar dan paling bermakna di dunia. Lebih menggembirakan, bilangan penyertaan sukarelawan meningkat dari tahun ke tahun.

L1050160

Sampah laut merupakan salah satu masalah pencemaran yang paling berleluasa pada zaman ini. Namun begitu, ia boleh dicegah. Bagi peserta program ICC, walaupun hasil kutipan sampah yang banyak membayangkan keadaan laut semakin tercemar, ini tidak memudarkan komitmen mereka untuk memuliharakannya. Dengan membersihkan pantai, warga Malaysia yang prihatin dapat melindungi laut daripada ancaman perubahan cuaca, pencemaran, kemerosotan hasil perikanan, serta kerosakan habitat marin. Di Malaysia, program ini diterajui oleh The Body Shop®, jenama kosmetik beretika, dengan sokongan padu oleh Syarikat Coca-Cola selaku penaja rasmi.

Tahun ini merupakan tahun ke-26 program pembersihan ICC dilangsungkan. Aktiviti pembersihan persisiran pantai Malaysia diadakan pada 24hb September 2011 di Sutra Beach Resort & Spa, Merang, Terengganu, dengan menarik penyertaan seramai 150 sukarelawan dari syarikat The Body Shop dan The Coca-Cola Company serta pelajar SMK Lemboh Bidong di Setiu.

Melalui aktiviti ini, sebanyak 395.6kg sampah telah dikutip dalam masa dua jam. Tiga bahan buangan yang paling banyak ialah rokok dan penapis rokok (11.7%), beg plastik (9.2%) dan botol mimuman plastik (8.5%).

Menurut Cik Jesse Siew, pengurus besar Rampai Niaga Sdn. Bhd, beliau berasa gembira dengan sambutan sukarelawan yang menggalakkan, tetapi sedih melihat jumlah sampah yang dikutip. “Setelah bertahun-tahun menganjurkan program ICC di Malaysia, saya berasa terkilan apabila mendapati jumlah sampah yang dikutip bertambah setiap tahun. Akan tetapi, saya amat kagum dengan peningkatan bilangan sukarelawan yang menyertai aktiviti ini. Diharapkan aktiviti ini akan mencetuskan perubahan dalam diri kita untuk menjaga alam sekitar dengan lebih baik lagi,” kata beliau.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menekankan ancaman plastik buangan terhadap hidupan laut. Baru-baru ini, kami berjaya merawat dan melepaskan tiga ekor penyu Hawksbill kembali ke laut, dan saya mendoakannya selamat. Saya amat berharap keselamatan penyu-penyu muda ini tidak akan terancam akibat tercekik atau tertelan beg plastik buangan,” tambah beliau.

Pengarah Francais Coca-Cola Far East Limited (Malaysia), Encik Agustinus Gunadharma mengulas, “Syarikat Coca-Cola amat komited dalam usaha perlindungan and pemuliharaan sumber air. Oleh itu, kami telah menjadi rakan global ICC selama 14 tahun berturut-turut. Kami berharap sokongan berterusan yang diberikan kepada program ICC dapat mengatasi ancaman alam sekitar ini. Di Malaysia, sikap bertanggungjawab dalam pembuangan sampah penting untuk menjaga alam. Amalan kitar semula harus digalakkan di kalangan warganegara, tidak kira muda ataupun tua.”

Selain membersihkan kawasan perairan, aktiviti ini juga membantu pihak Ocean Conservancy untuk memperoleh data tentang pencemaran laut. Maklumat tentang bahan buangan di laut dan sumber air yang lain dapat menentukan punca pencemarannya.

Dengan menerbitkan laporan yang terperinci, Ocean Conservancy berhasrat untuk mendidik anggota masyarakat agar menghindari daripada perbuatan mencemarkan air dan mengancam hidupan laut. Mereka turut digalakkan untuk mengatasi isu pencemaran bersama pihak kerajaan tempatan dan juga pihak swasta.

P9245293

P9245285

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

It’s a Fun Thing! Only on Cartoon Network

Go Green-eco-friendly 8TV FUN HUNT