Ketenangan Abadi Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie
oleh Shah Shamshiri
Tersembunyi jauh dari hingar-bingar pusat bandaraya Kuala Lumpur, tersemat suatu persinggahan yang ramai tidak akan menyangka keindahannya. Biarpun terletak di kawasan perindustrian Glenmarie di Subang, Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie merupakan sebuah hotel yang sangat sesuai buat anda yang mahukan ketenangan tanpa perlu menjelajah jauh ke luar Lembah Kelang.
Dengan lokasi uniknya yang terletak di sebuah kawasan indah nan hijau berserta sebuah padang golf bertaraf antarabangsa yang menyerikan lagi persekitarannya, hotel ini mampu memenuhi kehendak semua golongan. Hotel ini tidak jauh dari stesen KTM Subang Jaya dan juga tidak jauh dari lapangan terbang Subang (Skypark).
Hotel ini mempunyai ajnas pilihan bilik-bilik terbaik dari bilik bertaraf deluxe, eksekutif sehinggalah bilik-bilik khas berkonsepkan pangsapuri. Terdapat juga sebuah lounge khas buat penghuni sayap eksekutif hotel ini.
Dengan kemudahan kolam renang di kawasan hotel dan juga sebuah lagi kolam renang bersaiz Olimpik di kelab golfnya, para tetamu boleh memilih mana-mana yang memenuhi citarasa. Ini ditambah lagi dengan dua buah gelanggang tenis serta tiga buah gelanggang skuasy serta sebuah gimnasium untuk beriadah.
Terdapat juga perkhidmatan khas bas shuttle percuma dari hotel ke stesen LRT Kelana Jaya dan juga pusat membeli-belah terdekat. Ini memudahkan tamu yang ingin keluar dari kawasan tersebut.
Tidak lupa juga, Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie mempunyai enam buah tempat makan yang menyediakan pelbagai hidangan tempatan serta antarabangsa sekiranya ingin menjamu selera. Buat yang sukakan masakan Jepun boleh mencuba restoran Fu-Rin, dan buat yang mahukan suatu kelainan cubalah singgah di The Mix. Ada juga restoran Kites, serta the Garden Terrace buat yang ingin menikmati makanan sambil menghirup udara segar.
Untuk itu, apa kata singgah sebentar ke sini untuk menenangkan fikiran. Ia mudah ditujui dan memenuhi kehendak setiap pancaindera anda!