Putrajaya Sport Tourism Expo (STEX) edisi pertama bakal berlangsung dengan penuh gaya dan keterujaan selama tiga hari berturut-turut bermula 10 Januari hingga 12 Januari, dari jam 10 pagi hingga 7 malam. Expo ini dibuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa bayaran masuk, menjadikannya destinasi wajib untuk peminat sukan dan pelancongan yang ingin merasai pengalaman unik dan menyeronokkan.
Pelbagai Pameran Jenama Sukan Terkemuka
Bagi penggemar sukan, STEX adalah peluang keemasan untuk melihat lebih dekat produk terkini daripada jenama-jenama sukan terkenal seperti Brooks, Hoka, Suunto, Saucony, Voltra, dan Decathlon. Para pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan produk terbaharu tetapi juga berpeluang untuk mencuba sendiri dan mengetahui kelebihan setiap jenama melalui sesi demonstrasi yang diadakan sepanjang expo.
Forum Sukan Larian yang Menginspirasi
Hari pertama STEX iaitu pada Jumaat, 10 Januari, akan menampilkan forum khas yang mengupas topik menarik mengenai acara larian dan impaknya terhadap sektor pelancongan. Forum ini dimeriahkan oleh panel-panel hebat yang berpengalaman dalam dunia larian antarabangsa.
Antara nama besar yang akan hadir ialah Rut Jiroajvanichakorn dari Thailand, pemilik acara larian ikonik Bangsaen 21, satu-satunya acara larian yang menerima pengiktirafan Road Race Platinum Label oleh World Athletics dan Association of International Marathons and Distance Races (AIMS).
Tidak ketinggalan, forum ini turut menampilkan Dr. Imelda Nasreen Balchin, seorang doktor pakar Obstetrik & Ginekologi dan atlet marathon yang terkenal. Dr. Imelda akan berkongsi kupasan mendalam mengenai mitos sukan dan kesihatan, termasuk fakta menarik tentang cara sukan larian dapat membantu meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan tubuh badan.
Mini Workshop dan Aktiviti Interaktif yang Mengujakan
STEX turut menyediakan pelbagai mini workshop menarik yang membolehkan pengunjung mempelajari teknik dan panduan sukan dengan lebih mendalam. Tidak cukup dengan itu, setiap pengunjung berpeluang menyertai cabutan bertuah dan memenangi pelbagai hadiah eksklusif yang pastinya membuatkan pengalaman mereka lebih manis.
Di kawasan sekitar auditorium, pelbagai aktiviti promosi interaktif turut berlangsung untuk memperkenalkan jenama dan produk sukan. Pengunjung boleh mencuba aktiviti seperti Inline Skate dan sukan yang semakin popular iaitu Pickleball, selain menerokai pameran khemah yang dianjurkan oleh Decathlon bagi peminat aktiviti perkhemahan.
Larian Persahabatan dan Kid Dash untuk Semua Peringkat Umur
Hari Sabtu, 11 Januari pula bakal menyaksikan acara Friendship Run dan Kid Dash yang akan berlangsung di hadapan Kompleks Perbadanan Putrajaya. Acara larian santai ini dijangka menarik penyertaan seramai 1,500 peserta. Acara ini bukan sahaja mempereratkan hubungan komuniti tetapi juga diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-10 Twincity Marathon yang akan berlangsung pada keesokan harinya di Cyberjaya.
Laman Sosial Rasmi dan Maklumat Lanjut
Bagi anda yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai acara ini, jangan lupa untuk melayari laman web rasmi Putrajaya STEX di https://putrajayastex.com atau ikuti laman sosial Instagram @PutrajayaSTEX dan media sosial Twincity Marathon.
Apa Kata Budiey?
STEX bukan sekadar expo biasa; ia adalah platform yang menggabungkan elemen sukan dan pelancongan dalam satu acara yang padat dengan aktiviti bermakna. Acara ini menjadi bukti bagaimana sukan boleh menjadi pemangkin kepada pelancongan serta mampu menarik pelancong tempatan dan antarabangsa ke Malaysia.
Bagi mereka yang ingin menyertai aktiviti yang penuh bertenaga, mencabar diri dalam larian santai, atau mencari inspirasi baru, STEX adalah acara yang tidak patut dilepaskan. Sertai pengalaman ini dan jadikan permulaan tahun anda lebih aktif dan bermakna!