Sabtu lalu, Mega Star Arena Kuala Lumpur bergema dengan sorakan Everlasting Friends (ELF) Malaysia apabila Donghae dan Eunhyuk, duo ikonik dari SUPER JUNIOR-D&E, kembali beraksi dalam konsert jelajah SUPER JUNIOR-D&E WORLD TOUR: ECLIPSE 2025.
Budiey cukup bertuah dapat menyaksikan sendiri aksi mereka dan merasai kehangatan yang luar biasa. Dari saat tirai pentas dibuka, aura bintang K-pop legenda ini terus menyelubungi dewan. Cukup hebat sambutan kali ini.
Duo Dinamik Penuh Karisma
Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa. Eunhyuk dan Donghae hadir dengan karisma yang mengagumkan, membuatkan semua yang hadir seakan lupa waktu. Persembahan mereka bukan sahaja bertenaga, malah penuh emosi, terutamanya ketika membawakan lagu dari album mini keenam mereka, INEVITABLE, yang baru dilancarkan pada September 2024. Lagu-lagu seperti Danger, Hang Over, Only You, dan Change membuatkan penonton melompat dan menyanyi bersama tanpa henti.
Jenaka Spontan & Humor Super Junior Klasik
Antara momen yang mencuit hati ialah apabila mereka membawakan lagu What Is Your Name?, diiringi klip video lucu Shindong di layar besar. Budiey tak dapat menahan tawa — jenaka spontan dan humor klasik Super Junior memang tidak pernah gagal menghiburkan.
Selain aksi nyanyian, Donghae dan Eunhyuk turut mempamerkan sisi mesra mereka dengan bertanya soalan spontan kepada ELF. “Hello Malaysia, my name is what?” tanya Donghae sambil tersenyum lebar. Eunhyuk pula menyapa peminat dengan mesra, “Assalamualaikum semua! Korang okay ke? Lama berdiri ni!”
Lagu Ikonik & Solo Yang Memukau
Pastinya, malam itu tidak lengkap tanpa lagu Oppa, Oppa, yang berjaya membuatkan arena penuh gegak gempita. Selain lagu-lagu duet, Donghae dan Eunhyuk juga menunjukkan kehebatan masing-masing menerusi persembahan solo. Donghae memukau dengan California Love dan One More Chance, manakala Eunhyuk menawan hati dengan Be dan I Think. Melodi dan lirik lagu-lagu tersebut menyentuh jiwa Budiey dan seluruh ELF yang hadir.
Interaksi Manis Dengan ELF
Satu perkara yang membuat konsert ini lebih istimewa ialah cara mereka berinteraksi dengan peminat. Donghae sempat bertanya, “Siapa datang sini dengan boyfriend? Okay, boleh keluar sekarang,” gurau Donghae yang membuat semua ketawa besar. Tak cukup dengan itu, mereka turut meminta pasangan yang hadir untuk bercium di hadapan ribuan penonton, mencetuskan suasana romantis dan gamat.
Eunhyuk dan Donghae juga sporting bertanya umur peminat — daripada kanak-kanak sekolah rendah hinggalah peminat yang sebaya mereka. “40-an? Itu kita lah!” balas Donghae dengan gelak besar, memperlihatkan personaliti santai mereka walaupun sudah lebih dua dekad dalam industri.
Sibuk Cinta & Keselamatan Peminat
Donghae sempat memberi pesanan supaya penonton tidak bersesak dan saling berhati-hati demi keselamatan semua. Ini membuktikan betapa duo ini menghargai peminat mereka bukan hanya sebagai penyokong muzik, tetapi juga sebagai keluarga.
Penutup Yang Sarat Emosi
Menjelang penghujung konsert, suasana bertukar sentimental apabila mereka membawakan lagu ‘Bout You, Need U, dan Share My Love. Semua penonton mengangkat lightstick, membentuk lautan cahaya yang sangat indah. Momen itu membuatkan Budiey rasa sebak dan bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian daripada malam bersejarah itu.
Apa Kata Budiey?
Konsert ini bukan sahaja membuktikan mengapa SUPER JUNIOR-D&E masih relevan, tetapi juga menunjukkan bahawa Donghae dan Eunhyuk terus komited untuk memberi kenangan terindah kepada peminat. Budiey sangat menghargai usaha penganjur, Star Planet, yang berjaya menjadikan malam ini begitu epik.
Budiey berharap agar lebih banyak konsert berkualiti seperti ini diadakan, kerana muzik bukan sekadar hiburan, tetapi satu bahasa universal yang menyatukan jiwa. Bagi ELF yang tidak sempat hadir kali ini, jangan lepaskan peluang di masa depan. Ini pengalaman yang wajib ada dalam diari kenangan K-pop anda!