Eman Manan Ketemu Jodoh Gadis Muda Dalam Telemovie Manual Cinta Di TV1
Benarkah pelakon Eman Manan sudah ketemu dengan jodoh baru bakal menjadi suri hatinya? Adakah pilihan hatinya wanita seusia atau gadis yang jauh lebih muda berbanding dirinya? Sekiranya gadis jauh lebih muda yang menjadi pilihan adakah pinangannya diterima keluarga gadis itu?
Jawapan kepada kenyataan tersebut terjawab apabila anda meluangkan masa menyaksikan sebuah telemovie menarik; Manual Cinta disiarkan mengisi slot Panggung Ahad pada 2 Oktober, jam 10.00 pagi di TV1 yang menyaksikan lakonan hebat Eman Manan bergandingan dengan Noris Ali, Marissa Yasmin, Rosnah Johari, Maimun Mutalib dan Dato Rahim Razali.
Cerita bermula dengan kemasyhuran Haikal lakonan Eman Manan, seorang CEO di sebuah syarikat multinasional yang terbabit dalam perniagaan pengangkutan dan eksport import, tetapi hidup dalam kesunyian dan kesepian kerana walaupun telah berusia 48 tahun namun Haikal tidak pernah berumahtangga. Biarpun ramai wanita ingin mendekati dan menawan hatinya, namun perasaan Haikal tertutup kerana merasakan tidak seorang pun wanita-wanita yang dikenali itu memenuhi citarasanya.
Kesunyian dan kesepian Haikal mendapat simpati Pembantu Peribadinya, Aisyah (Marissa Yasmin). Aisyah belum berkahwin, menanggung ibunya seorang balu serta dua orang adiknya yang masih menuntut di IPTA. Tugas Aisyah tidak hanya di pejabat. Aisyah menguruskan hampir segalanya mengenai Haikal. Daripada mencari orang gaji untuk mengemas rumah, menghantar pakaian ke dobi sehinggalah membeli barang keperluan dapur. Selain daripada itu, Aisyah turut menasihati Haikal supaya mencari pasangan hidup. Namun Haikal agak keberatan. Dia tidak mahu menderita lagi.
Satu hari, Haikal terserempak dengan Maisara di satu tempat letak kereta. Memandang Maisara, fikiran Haikal terus menerjah pada kenangan 23 tahun lalu. Gaya dan senyuman Maisara mengingatkan dia pada seseorang yang telah lama cuba dilupakan tetapi tidak berupaya. Pada ketika itu, dua orang peragut yang menunggang motor telah meragut beg tangan Maisara. Haikal cuba membantu untuk mendapatkan semula beg tangan Maisara tetapi gagal. Akhirnya Haikal membawa Maisara ke balai polis untuk membuat aduan. Dari situlah bermulanya perkenalan mereka.
Pertemuan dengan Maisara benar-benar merubah kehidupan seharian Haikal. Dia gelisah tidak menentu. Senyuman seperti itulah yang memikat jantung hatinya 23 tahun lalu. Justeru, hampir setiap hari Haikal menelefon Maisara. Entah mengapa, Maisara pula begitu senang menerima panggilan daripada Haikal. Maisara yakin dia telah jatuh cinta pada Haikal, tapi masalahnya, usia Haikal hampir sebaya ibunya, Rozita.
Dalam waktu yang sama, Aisyah gembira apabila Haikal telah jatuh cinta. Bagaimanapun dia terkedu seketika apabila Haikal memberitahu usia Maisara baru mencecah 22 tahun. Bagaimanapun apabila melihat Haikal mula mabuk cinta, mahu tidak mahu Aisyah menyokong juga hasrat Haikal.
Malangnya Haikal yang telah 24 tahun tidak bercinta, agak gementar dan kaku setiap kali menelefon Maisara. Begitu juga apabila mereka keluar makan bersama, Haikal lebih banyak berbual tentang bisnes dan pekerjaan Maisara. Aisyah yang bersimpati dengan kegelisahan Haikal, akhirnya memberi beberapa tips kepada Haikal dalam usaha menawan hati Maisara.
Bermulalah episod percintaan Haikal dengan Maisara. Setiap kali Haikal ingin keluar bersama Maisara, dia akan merujuk kepada Aisyah. Aisyah bagaikan manual cinta Haikal. Aisyah bukan sahaja memberi petua untuk bercinta, malah turut memastikan cara berpakaian Haikal juga sesuai dengan keadaan. Malah hadiah untuk Maisara juga disarankan dan dipilih oleh Aisyah.
Setelah beberapa kali Maisara minta izin untuk keluar makan malam bersama kawan, Rozita mula mengesyaki Maisara sedang bercinta. Setelah didesak oleh Rozita, akhirnya Maisara mengaku. Yusof dan Rozita ingin mengenali teman istimewa Maisara dengan lebih dekat. Dan ini menyebabkan Maisara serba salah. Maisara benar-benar berada dalam dilema.
Begitu juga dengan Haikal. Sesekali dia keliru, apakah tindakannya bercinta dengan Maisara itu wajar? Sanggupkah kedua orang tua Maisara menerima menantu yang seusia mereka? Lalu bagaimana pula dengan Aisyah yang dalam diam sebenarnya menyintai Haikal? Adakah cintanya berbalas?