Izwan Pilus Hos Program Racik-Racik Herba Kongsi Kebaikan Herba Di TV1
Saluran TV1 sememangnya menjadi pilihan penonton yang gemarkan program berbentuk majalah terutama berkongsi pengetahuan dan informasi tentang sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama. Terbaharu Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyiarkan program Racik-Racik Herba ; sebuah rancangan travelog sebanyak 13 episod yang memfokuskan kepada keunikan dan keistimewaan tumbuhan herba dalam kehidupan, khususnya dalam masakan.
Setiap episod Racik-Racik Herba disiarkan mulai 1 Oktober depan, setiap Sabtu, jam 12.31 tengah hari yang menampilkan Izwan Pilus sebagai pengacara akan membawa penonton mengenali tumbuhan herba serta memperkenalkan seorang tukang masak yang akan menyediakan dua menu masakan berasaskan herba.
Pengacara dan tukang masak bersama-sama mencari bahan memasak terutamanya bahan-bahan herba yang digunakan samada di sekitar kawasan rumah, kebun mahupun pasar atau kedai. Selain itu, pengacara juga akan membuat ‘review’ lokasi-lokasi pelancongan/percutian menarik di seluruh negara.
Menariknya apabila program berkonsepkan travelogue dan gaya hidup itu memilih Bukit Broga sebagai salah satu lokasi penggambaran selepas selesai merakamkan episod di Rompin dan Homestay Pelegong, Negeri Sembilan. Diikuti Mersing, Kluang dan Muar di Johor termasuk Cameron Highlands, Kuala Selangor, Taman Herba Negeri Perak di Ipoh, Terengganu dan Kelantan yang menjadi destinasi terakhir penggambaran.
Sesuatu yang mengujakan aktiviti pendakian Izwan Pilus sejauh 1.4 kilometer dari aras kaki bukit sehingga ke puncak Bukit Broga yang dipaparkan kepada penonton Racik-Racik Herba dimana penonton berpeluang melihat sendiri cabaran yang terpaksa dilalui sebelum sampai ke puncak dan penemuan beberapa herba serta ulaman sepanjang merentasi perjalanan ini tersebut.
Izwan yang sebelum ini pernah mengendalikan program Bintang RTM mengakui tertarik dengan program itu kerana mahu mencuba sesuatu yang baru. Ini pertama kali mengacarakan program masakan, tetapi ia berbeza kerana ada unsur ‘travelogue’ yang memang disukainya.
Setiap episod bukan hanya memaparkan pelbagai jenis masakan kampung berasaskan ulaman tetapi juga merakamkan lokasi menarik sekitar kawasan penggambaran diadakan. Malah ia dilihat sebagai cabaran kerana Racik-Racik Herba turut mengkaji bab kebaikan herba kepada penonton berminat untuk mengetahuinya.
Satu penemuan herba yang cukup menarik ialah ketumpang air dimana selama ini kita menganggapnya sebagai tumbuhan pasif yang tumbuh melata di pasu. Namun, ia sebenarnya diklasifikasi herba dan boleh membantu mencerahkan penglihatan. Caranya mudah, kisarkan dua biji epal hijau bersama ketumpang air kemudian minum. Namun, ia haruslah diamalkan selalu untuk melihat sejauh mana keberkesanannya.