Hantu Bonceng Catat Kutipan RM 8.35 Juta Dan Kini Di Rumah Anda.
Filem arahan Ahmad Idham, Hantu Bonceng, kini melakar sejarah tersendiri apabila menjadi filem kedua tertinggi dalam sejarah dari segi kutipan apabila mencatat RM 8.35 Juta setelah ditayangkan secara serentak di 80 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei, bermula 31 Ogos yang lalu.
Hantu Bonceng yang diterbitkan oleh Excellent Pictures Sdn Bhd dan dibintangi Zizan Razak, Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie, Tai, Zahid Baharudin ini telah ditonton hampir 860 000 ( lapan ratus enam puluh ribu ) penonton setelah ditayang selama dua minggu, mengikut tempoh peruntukkan wajib tayang di kesemua pawagam di Malaysia.
Ini telah menjadikan filem kelima terbitan Excellent Pictures, Hantu Bonceng ini menjadi filem musim perayaan yang mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman tanah air setakat ini.
Menurut penerbit dan pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzri, sokongan dari semua pihak iaitu pelakon, tenaga kerja, media cetak, elektronik dan media baru, serta penonton dan peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan, telah memastikan impian ini dapat direalisasikan.
“Ini juga membuktikan Hantu Bonceng adalah filem kita semua. Maksudnya, filem ini dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat, yang memaparkan realiti masyarakat Malaysia kini,” tambah Ahmad Idham. Untuk rekod, kutipan Hantu Bonceng mencipta sejarah tersendiri buat Ahmad Idham apabila mendapat kutipan tiket tertinggi bagi sebuah filem, berbanding filem-filem arahannya sebelum ini.
Kini, keseronokan untuk menonton Hantu Bonceng oleh semua peminat, dapat dirasai di rumah, apabila bermula Khamis, 15 September, Hantu Bonceng ditayangkan melalui saluran premium Astro, iaitu Astro First.
Ahmad Idham
Bagi Ahmad Idham, selaku penerbit, tayangan Hantu Bonceng di Astro First mampu memberi peluang kepada peminat filem Melayu yang tidak berkesempatan untuk menonton juga di kawasan yang tidak mempunyai panggung khususnya, untuk bersama-sama merasai keseronokkan menonton di rumah bersama keluarga, dan secara tidak langsung, ianya mampu mengeratkan perhubungan di kalangan keluarga dan kenalan.
“Adalah wajar bagi menghargai sokongan peminat yang belum menonton Hantu Bonceng , terutamanya kepada mereka yang tidak mempunyai akses untuk ke pawagam berhampiran. Selain itu, pihak Excellent Pictures juga Astro menerima banyak pertanyaan mengenai tayangan Hantu Bonceng di saluran berkenaan,” tambah Ahmad Idham lagi.
Dengan penyiaran Hantu Bonceng di saluran premium, Astro First, pihak pawagam TGV dan GSC akan menamatkan tayangan di pawagam bermula 15 September, namun, atas sambutan yang cukup mengalakkan, pawagam seperti MBO, Big Cinemas, Lotus Five Star dan beberapa pawagam persendirian yang lain akan terus menayangkan Hantu Bonceng di pawagam berkenaan untuk sekurang-kurang seminggu lagi.
Hantu Bonceng, lakonan Zizan Razak, Juliana Evans, Jue Aziz, Tai, Dottie, Zahid Baharuddin, kini telah mencipta sejarah apabila berada di tangga kedua, kutipan tertinggi dalam sejarah industri perfileman negara. Dengan kos mencecah RM 1.5 juta, Hantu Bonceng telah mendapat kutipan sebanyak RM 8.35 juta dan telah ditonton seramai hampir 860 000 orang, dan ianya menjadikan filem ini mendapat kutipan tiket terbesar untuk musim perayaan dalam sejarah perfileman negara.