Utamakan Bakat Suara, Bukan Pakej Fizikal
Petaling Jaya, 15 September 2011 – Seperti pepatah cinta tidak mengenal rupa, begitulah perumpamaan yang boleh kita lihat pada Vokal. Setiap insan dikurniakan keistimewaan sendiri untuk mengecapi kejayaan. Sertai uji bakat “Vokal… Bukan Sekadar Rupa”, program realiti hiburan terbaru TV3 yang bakal mencetus fenomena baru di dalam industri penyiaran TV tempatan yang akan bermula tidak lama lagi.
Bakal disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap hari Ahad jam 9.00malam hingga 10.00malam mulai 16 Oktober 2011, Vokal menampilkan 10 peserta yang akan berentap di 9 konsert mingguan sebelum melayakkan diri ke peringkat akhir untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM 50,000! Pastinya kehadiran program “Vokal… Bukan Sekadar Rupa” amat dinantikan kerana berupaya membuka peluang kepada mereka yang dikurniakan bakat nyanyian luar biasa tetapi tidak mempunyai muka komersil untuk bergelar artis.
Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, “TV3 sentiasa berusaha tampil dengan idea baru untuk tontonan semua. Vokal muncul sebagai program realiti hiburan yang mempunyai identiti tersendiri di mana kualiti vokal peserta didahulukan daripada paras rupa. Kami ingin membuktikan bahawa Vokal mampu mengubah persepsi stereotype masyarakat dan sekali gus menjadi platform positif kepada peserta yang mempunyai vokal yang baik tetapi tidak mempunyai pakej lengkap.”
Sebelum bermulanya konsert mingguan, pihak produksi akan mengadakan 4 sesi uji bakat yang akan berlangsung di Theaterette, Sri Pentas, Bandar Utama pada 24 September, 25 September, 1 Oktober dan 2 Oktober dari jam 10.00pagi hingga 5 petang. Penyertaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur antara 18 hingga 28 tahun. Peserta dikehendaki membawa lebih daripada satu minus one untuk menyampaikan lagu-lagu semasa uji bakat. Sila layari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my untuk syarat-syarat penyertaan.
10 peserta yang berjaya melepasi sesi uji bakat akan berentap pada konsert pertama dan kedua bagi menentukan 6 Peserta Terbaik bermula 16 Oktober 2011. Setiap konsert mingguan akan menyingkirkan seorang peserta yang berada di kedudukan markah paling bawah. Format permarkahan Vokal dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu 50% daripada juri tetap dan 50% melalui undian SMS. Juara Vokal akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 50,000, naib juara akan memenangi RM 30,000 dan pemenang tempat ketiga akan membawa pulang RM 10,000.
Produksi Vokal terdiri daripada Muhamad Sufian Che Isa selaku Penerbit Eksekutif sementara Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) bertindak sebagai Penerbit. Vokal menampilkan Faizal Ismail (FBI) sebagai pengacara konsert Vokal dan Rutin Vokal serta Azmeer dan Erra Fazira sebagai juri tetap.
Para peserta juga akan dilengkapkan dengan latihan, bimbingan dan motivasi daripada tenaga pengajar sebagai persediaan awal untuk mengecapi kejayaan di dunia hiburan. Antara tenaga pengajar yang turut menjayakan program Vokal termasuk Faizal Uzir sebagai Pengarah Muzik dan Penasihat Vokal, Adzwa sebagai Penasihat Persembahan, Prof. Madya Haji Md. Izzuddin (Prof. Izzi) selaku pakar motivasi dan Simran Latif dari Original Bootcamp sebagai jurulatih kecergasan dan kesihatan.
Kepada sesiapa yang berminat, jangan lepaskan peluang untuk menonjolkan kehebatan vokal anda di sesi uji bakat yang bertarikh 24 September, 25 September, 1 Oktober dan 2 Oktober dari jam 10.00pagi hingga 5 petang di Theaterette, Sri Pentas, Bandar Utama.
Nantikan kemunculan episod pertama Vokal yang disiarkan secara langsung pada 16 Oktober 2011, setiap hari Ahad jam 9.00malam. Selain itu, program Rutin Vokal yang memaparkan sorotan persediaan serta tugasan yang perlu dijalankan oleh para peserta pula akan disiarkan pada setiap hari Ahad jam 5.00petang.