Marsha Milan Londoh 26, dilaporkan telah pengsan setelah pengambilan pil yang berlebihan oleh pihak media tempatan. Pelbagai spekulasi timbul apabila penyanyi yang dicungkil dari program Akademi Fantasia musim ke-3 dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 7 September 2011 (Rabu). Rata-rata menyifatkan beliau ingin membunuh diri dan mengalami tekanan perasaan.
Ekoran daripada kejadian itu, pihak keluarga dan pengurusan Marsha Londoh Entertainment tampil membuat kenyataan rasmi tentang kronologi kejadian. Ini adalah bagi memberi gambaran jelas kepada pihak media dan masyarakat mengenai kejadian sebenar yang menimpa Marsha. Dan ini adalah bagi memperbetulkan laporan yang dibuat oleh pihak media sebelum ini.
Pada hari kejadian Marsha berada di dalam keadaan tidak sihat dan demam, oleh yang demikian Marsha telah mengambil ubat bagi meredakan sakit. Setelah itu, Marsha keluar rumah sendirian. Dalam perjalanan pulang, Marsha terlibat dalam kemalangan apabila kenderaan yang dipandunya melanggar pembahagi jalan. Akibat trauma dan kesan ubat yang diambil, Marsha hilang kawalan dan telah jatuh dari tangga berhampiran tempat letak kereta di kediamannya dan telah mengalami kecederaan di bahagian dahi, mata dan bibir.
Setelah menerima beberapa rawatan daripada pihak hospital, Marsha menunjukkan tanda-tanda positif dan semakin pulih. Beliau sudah boleh makan dan bertutur seperti biasa. Walau bagaimanapun Marsha masih di bawah pengawasan pihak hospital. Segala aktiviti seninya akan dihentikan buat seketika dan kembali aktif setelah sihat sepenuhnya dan mendapat kebenaran doktor.
Semoga dengan hebahan ini mampu memberi gambaran jelas dan penerangan yang lebih teliti mengenai kejadian sebenar yang menimpa penyanyi ini. Pihak Alibi Music juga memohon agar semua pihak mendoakan agar kesihatan Marsha semakin baik dan mampu menjalani kegiatan seninya seperti biasa.