SENGKETA CINTA DAN DENDAM DI ‘CINTA ELYSA’ DAN ‘JIWA & LARA’
Dalam kemeriahan menyambut bulan Syawal yang istimewa ini, TV3 tidak ketinggalan untuk terus menayangkan drama bersiri hebat seperti Cinta Elysa yang menyaksikan gandingan pertama Fasha Sandha dan Johan A’sari di slot Lestary serta Jiwa Dan Lara yang mengisahkan persengketaan cinta lakonan Aaron Aziz, Fauzi Nawawi dan Neelofa di slot Samarinda mulai 13 September 2011.
Bagi peminat slot Lestary, drama bersiri romantis ‘Cinta Elysa’ akan disiarkan mulai 13 September 2011, setiap hari Selasa jam 9.00malam. Drama bersiri 13 episod terbitan Suhan Movies Trading ini diarahkan oleh sutradara Along Kamarudin dengan nukilan skrip oleh Sharifah Abu Salem turut membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Dato’ Jalaluddin Hassan, Zila Bakarin, Addy Ashraf, Naim Daniel, Zaefrul Nordin dan Ika Nabila.
Mengisahkan Aril (Johan As’ari) seorang anak yatim piatu yang membesar tanpa kasih sayang telah menjadi seorang pemuda bermasalah yang terlibat dengan kegiatan samseng. Selepas disisihkan oleh keluarga sebelah ibu ekoran pelbagai masalah yang ditimbulkannya, akhirnya bapa saudara sebelah bapanya, Jasman (Dato’ Jalaluddin Hassan) telah membawanya pulang dan masih menaruh harapan kepada Aril untuk berubah.
Isteri Jasman, Yasmin (Zila Bakarin) sangat bencikan Aril dan sering melemparkan kata-kata nista kepadanya. Anak-anak lelakinya, Khairul dan Imran juga memusuhinya. Hanya anak sulungnya, Elysa (Fasha Sandha) yang masih menegur Aril. Namun sebenarnya, Elysa agak gugup berhadapan dengan Aril kerana sudah mendengar macam-macam perkara buruk tentang dirinya.
Aril telah didaftarkan di kolej yang sama dengan Elysa dan diberikan tanggungjawab untuk menjaganya. Aril sering melepaskan kemarahannya kepada Elysa lebih-lebih lagi selepas Elysa jatuh di kolej dan kakinya cedera. Aril menganggap Elysa sebagai beban dan suka menyusahkannya.
Aril berada dalam dilema apabila diamanahkan oleh Jasman untuk menjaga keluarga kerana anak-anaknya masih bersekolah. Jasman telah meninggal dunia kerana terlibat dengan kemalangan jalan raya. Aril cuba mengikut amanat tetapi kebencian Yasmin menjadikan tanggungjawabnya amat sukar dilaksanakan. Hanya cintanya pada sepupunya Elysa menjadi inspirasi dan memberi kekuatan kepadanya untuk tidak meninggalkan rumah itu.
Apabila Aril dihalau keluar dari rumah oleh Yasmin, Aril nekad membawa Elysa yang masih cedera lari bersamanya. Aril kembali menjalani kehidupan sebagai samseng untuk mencari duit demi kehidupannya dan menyembuhkan Elysa. Elysa menyangka Aril melarikannya kerana mahu membalas dendam kepada ibunya. Selepas teguran Elysa, Aril mencari rezeki halal demi Elysa.
Aril dan Elysa menyamar sebagai pasangan suami isteri di sebuah kampung. Mereka mendapatkan pengamal perubatan tradisional, Mak Jah untuk mengubati Elysa. Namun perlakuan mereka menimbulkan syak wasangka Mak Jah dan rahsia mereka terbongkar. Mak Jah menasihatkan mereka untuk berkahwin. Hati Aril berbelah bagi tetapi Elysa akur untuk mengelakkan dosa. Aril berjanji bahawa akan menceraikan Elysa selepas Elysa boleh berjalan semula. Kekasih Yasmin, Rashid pula sibuk menjejaki Elysa untuk mengetahui kandungan wasiat Jasman. Apakah yang akan berlaku selepas ini?
Menyusuli ‘Ramadan Terakhir’ di slot Samarinda, saksikan kisah cinta tiga segi antara Zaman (Aaron Aziz), Jiwa (Fauzi Nawawi) dan Lara (Neelofa) menerusi drama bersiri terbaru ‘Jiwa & Lara’ terbitan Luqsar Kreatif arahan Heykal Hanifah bermula 13 September 2011. Drama bersiri 25 episod ini merupakan nukilan skrip oleh Mahizan Husain yang turut membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Faezah Elai, Khairil Anwar dan Mohd Kamarulzaman Taib (Che Kem).
‘Jiwa & Lara’ mengisahkan persengketaan dan dendam antara Zaman, Jiwa dan Lara dari tahun 80an hingga kini. Zaman ialah seorang penjenayah yang berjaya melepaskan diri daripada kepungan polis telah menyembunyikan diri di ladang getah. Zaman telah dilanggar oleh kereta yang dipandu oleh Baha ketika membawa majikannya, Fakir. Zaman dibenarkan tinggal di rumah Baha walaupun ditentang oleh anak Baha, Lara yang tidak menyukainya.
Zaman yang licik pandai menyambar setiap peluang. Dia merancang strategi untuk memanipulasikan kebaikan Fakir yang mengusahakan ladang getah. Zaman bukan sahaja mendapat tempat berteduh malah ditawarkan untuk bekerja di ladang tersebut.
Jiwa menganggap Zaman sebagai pesaingnya dan mencurigai tentang keperibadian Zaman. Jiwa ialah seorang mandur di ladang tersebut yang dipercayai oleh Zaman dan amat mencintai Lara. Hubungan Jiwa dan Lara mulai retak apabila Lara terjerat dengan kata-kata manis Zaman. Lara akhirnya terlanjur dengan Zaman.
Zaman tidak berpuas hati dengan kehidupannya dan berikthiar untuk menghapuskan Jiwa bagi memiliki Lara. Jiwa dipukul dan dicampak ke gaung oleh Zaman. Apabila anak tunggal Fakir, Marini pulang dari luar negara, Zaman mula menyisihkan Lara yang hanya merupakan seorang penjual bunga. Zaman sanggup mengorbankan Lara bagi mengahwini Marini.
Marini terpaksa bersetuju dengan kehendak ayahnya untuk berkahwin dengan Zaman kerana dia telah mengandung anak luar nikah dengan teman lelakinya semasa di luar negara. Zaman yang tidak mendapat kepercayaan daripada Marini dan Fakir akhirnya bertindak ganas untuk membunuh mereka bagi membolot harta Fakir.
Jiwa diselamatkan oleh orang asli dan dirawat oleh Tok Batin. Tok Batin menasihati Jiwa untuk pergi merantau dan melupakan niatnya untuk membalas dendam pada Zaman. Jiwa akur dan mengikut kawannya menjadi kelasi kapal. Tanpa mengetahui tragedi yang menimpa Lara, Jiwa telah membawa diri.
Selepas 30 tahun, Zaman telah dianugerahkan gelaran datuk dan berjaya mengembangkan empayar perniagaannya. Jiwa yang kini menggunakan nama sebenarnya Bakhtiar Murshid kembali untuk menjadi pesaing Zaman dalam perniagaan. Sementara itu, Jiwa berusaha menjejaki Lara, wanita yang amat dicintainya dari dulu. Apakah kesudahan bagi persengketaan antara Zaman dan Jiwa? Apakah cinta Jiwa dan Lara akan bersatu setelah terpisah sekian lama? Saksikan ‘Jiwa & Lara’ mulai 13 September 2011, setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30malam.
Selamat Menonton!