in , ,

Zee Avi Kembali Berkarya Setelah 13 Tahun dengan Album Baharu

13 Tahun Tanpa Album, Zee Avi Perkenalkan Zee Avi And The Good Things. Musim baharu dalam karier Zee Avi, aksi bersama band baharu dan kolaborasi antarabangsa!

Siapa yang tidak mengenali Zee Avi, penyanyi berbakat besar yang cukup dikenali menerusi lagu-lagu hits seperti “Kantoi”, “Bitter Heart” dan “Concrete Wall”. Karya-karya Zee Avi bukan sahaja mencuri perhatian di Malaysia, malah mengharumkan nama negara di mata dunia. Namun, selepas 13 tahun tanpa album baharu, Zee Avi kini kembali dengan berita yang pastinya menggembirakan para peminatnya.

Zee Avi Kembali dengan Album Ketiga

Zee Avi, penyanyi kelahiran Sarawak yang cukup disegani, mengumumkan bahawa beliau sedang mempersiapkan album ketiga selepas hampir 13 tahun sejak album terakhirnya, “Ghostbird” pada tahun 2011. Berita ini pastinya menjadi kejutan menggembirakan bagi semua penggemar yang selama ini menanti kembalinya Zee Avi ke dunia muzik.

Lebih menarik, album terbaharu ini tidak hanya memperkenalkan lagu-lagu baharu, tetapi juga memperlihatkan sisi yang lebih matang dan bebas dalam berkarya. Kini bergerak secara bebas (indipendent), Zee Avi berasa lebih lepas dalam menghasilkan karya yang benar-benar mencerminkan dirinya. Album baharu ini bakal memuatkan sekitar 10 hingga 11 buah lagu yang turut menampilkan kolaborasi dengan band baharunya, Zee Avi And The Good Things.

Zee Avi Kembali Berkarya Setelah 13 Tahun dengan Album Baharu

“Selepas 13 tahun, saya akhirnya sedang mempersiapkan album ketiga saya. Album ini sangat istimewa kerana ia mencerminkan kematangan saya dalam berkarya. Saya juga kini bergerak secara indipendent, yang membolehkan saya lebih bebas untuk mencipta dan menamatkan album ini dengan penuh kepuasan,”

– Zee Avi

Band baharunya, Zee Avi And The Good Things, terdiri daripada sekumpulan pemuzik berbakat dari Malaysia termasuk Raja Farouk (bass), Jude Macson (gitar), Yuswa Ansari (keys), dan AKZ sebagai pengarah muzik serta drummer/perkusian.

“Production dan sound kali ini akan lebih segar, lebih personal, dan yang paling penting, ia 100% melibatkan pemuzik tempatan,”

– Zee Avi
Zee Avi Kembali Berkarya Setelah 13 Tahun dengan Album Baharu

Kolaborasi Unik Bersama Band Jepun

Sebelum album ketiganya dilancarkan, Zee Avi terlebih dahulu memperkenalkan single baharu yang berjudul “Oyasumi Na Sayang”. Lagu ini cukup istimewa kerana merupakan hasil kolaborasi antara Zee Avi dan sebuah band dari Fukuoka, Jepun, yang dikenali sebagai MuchaMuchaM. Single ini menampilkan kombinasi bahasa Melayu dan Jepun, menjadikan karya tersebut sangat unik dan berbeza.

“Oyasumi Na Sayang adalah hasil kolaborasi dengan band Jepun, MuchaMuchaM, dan ia dihasilkan dalam bahasa Melayu serta Jepun. Proses kreatifnya juga unik kerana semuanya dilakukan secara maya. Mereka berada di Jepun, sementara saya berada di Malaysia. Proses bermula dengan mereka menghantar komposisi tanpa lirik dan melodi, kemudian saya menambah bahagian melodi serta lirik dalam bahasa Melayu,” kongsi Zee Avi.

Kolaborasi ini juga membuahkan dua versi lagu, iaitu versi MuchaMuchaM dan versi disko yang dihasilkan oleh Zee Avi And The Good Things, yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Untuk sementara waktu, peminat sudah boleh menikmati versi MuchaMuchaM di semua platform penstriman.

Selain “Oyasumi Na Sayang”, Zee Avi dan MuchaMuchaM juga baru melancarkan EP yang mengandungi tiga buah lagu, termasuk dua lagu asli serta satu lagu saduran di mana Zee Avi turut menyanyi dalam bahasa Jepun. Ini menunjukkan keterbukaan Zee Avi untuk mencuba perkara baharu dan berkolaborasi dengan pemuzik dari pelbagai negara.

Zee Avi Kembali Berkarya Setelah 13 Tahun dengan Album Baharu

Kemunculan di Festival Besar

Walaupun sibuk mempersiapkan album ketiga, Zee Avi tetap aktif dalam membuat persembahan. Antara yang bakal menjadi sorotan ialah kemunculannya di dua festival besar, iaitu Axean Festival dan Kuching Jazz Fest.

“Saya sangat teruja untuk membuat persembahan di Axean Festival dan Kuching Jazz Fest kerana ini akan menjadi debut bagi saya muncul bersama band baharu saya, Zee Avi And The Good Things. Saya juga tidak sabar untuk berkongsi sound baharu kami dengan semua orang,” katanya penuh semangat.

Lebih menarik, Zee Avi turut dijemput untuk berkolaborasi dengan band popular dari Indonesia, Fourtwnty, untuk dua persembahan pada masa terdekat.

“Saya menerima emel daripada pengurusan mereka, dan dengan penuh rasa terharu, saya menerima peluang yang sangat istimewa ini. Sebagai seorang anak seni, saya sangat gemar berkolaborasi dengan artis dari luar Malaysia. Saya juga baru sahaja selesai menjalani latihan bersama Fourtwnty di Jakarta, dan saya sangat kagum dengan etika kerja serta kesungguhan mereka. Banyak yang boleh dipelajari daripada saudara-saudara kita di Indonesia, terutamanya dalam cara mereka menghargai seni dan komuniti mereka,” ujar Zee Avi lagi.

Zee Avi Kembali Berkarya Setelah 13 Tahun dengan Album Baharu

Sumbangan Amal dan Sokongan Keluarga

Di luar konteks persembahan dan pembikinan album, Zee Avi turut aktif dalam usaha kebajikan. Baru-baru ini, beliau telah menganjurkan kutipan amal bersama Mercy Malaysia untuk membantu kanak-kanak di Gaza, yang diadakan di BoboKL. Zee Avi juga menyatakan keterbukaan untuk terus memberikan sumbangan kepada masyarakat Malaysia, menggunakan pengaruh dan kedudukannya sebagai seorang artis yang dikenali ramai.

Dalam perjalanan seni ini, Zee Avi tidak keseorangan. Beliau sangat bersyukur kerana mempunyai sokongan yang padu daripada suaminya, Kenji Matano, yang dinikahi sejak tahun 2021. “Dia adalah penyokong terkuat saya. Dia sentiasa ada untuk memberikan kata-kata semangat, terutama apabila saya rasa ragu-ragu dengan diri sendiri. Sokongan ini sangat penting buat saya untuk meneruskan perjuangan dalam dunia seni,” kata Zee Avi dengan penuh kesyukuran.

Dengan album baharu yang bakal dilancarkan, kolaborasi menarik bersama pemuzik Jepun, dan persembahan yang dinantikan ramai, Zee Avi sekali lagi membuktikan bahawa bakat dan semangatnya dalam bidang muzik masih membara. Peminat pastinya tidak sabar untuk menyaksikan apa lagi kejutan yang bakal dibawa oleh Zee Avi dalam karyanya kali ini.

Kredit gambar: CARLOS KHU

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Polis Peronda Kembali di Musim Baharu dengan Kisah Penuh Aksi & Emosi

GENTING

Resorts World Genting Terus Menyinar Dengan Lima Pengiktirafan Berturut-turut