in , ,

Sal Priadi Bakal Gegarkan Kuala Lumpur dalam Konsert Pertama

Penyanyi & Penulis Lagu Berbakat Indonesia Adakan Konsert Perdana Di Malaysia

Siapa yang tidak kenal dengan Sal Priadi, penyanyi dan penulis lagu berbakat besar dari Malang, Indonesia? Pelantun lagu viral ‘Dari Planet Lain’ ini bakal mengadakan konsert perdananya di Malaysia, selepas siri jelajah di lima kota di Indonesia. Konsert tersebut, ‘SAL PRIADI ZUZUZAZA LIVE IN KUALA LUMPUR’, akan berlangsung pada 13 Oktober 2024, di Zepp Kuala Lumpur bermula jam 8:00 malam, di bawah anjuran Kharisma Music.

Menurut En. Ahmad Jeffny, Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, “Konsert ini merupakan usaha kami untuk membawa hiburan secara ‘live’ yang istimewa buat peminat muzik di Malaysia. Kami teruja untuk mempersembahkan Sal Priadi di pentas Kuala Lumpur dan menjadikannya satu malam yang penuh keajaiban serta kenangan indah buat semua yang hadir.”

Sal Priadi Bakal Gegarkan Kuala Lumpur dalam Konsert Pertama

Sal Priadi: Penyanyi yang Puitis dengan Persembahan Emosional

Konsert ini adalah peluang keemasan buat peminat di Malaysia untuk menyaksikan persembahan secara langsung salah seorang penyanyi paling menonjol di Indonesia. Sal Priadi dikenali dengan lirik-liriknya yang puitis dan melodinya yang memikat, menjanjikan pengalaman persembahan yang bakal membawa penonton dalam perjalanan emosional yang mendalam.

Sal Priadi sendiri tidak sabar untuk berkongsi semangat muziknya dengan peminat Malaysia. “Ini kali pertama saya mengadakan persembahan besar-besaran di Indonesia dan Malaysia dalam siri jelajah ‘Sal Priadi Zuzuzaza Tur 2024’. Salah satu lagu yang saya ambil daripada album kedua, ‘Markers & Such Pens Flashdisks’, adalah tentang kebebasan untuk mencipta apa sahaja yang kita mahukan—bunyi-bunyian yang menghidupkan semangat kreativiti,” ujar penyanyi lagu ‘Gala Bunga Matahari’ ini.

Kuala Lumpur bukanlah destinasi yang asing buat Sal Priadi. Beliau pernah mengadakan ‘showcase’ di sini tahun lepas dan pengalaman itu amat berkesan buatnya. “Kali ini, saya akan membuat persembahan selama lebih dua jam dengan hampir 20 buah lagu dari album pertama dan kedua saya. Persembahan ini akan sangat berbeza dengan yang sebelumnya,” tambah Sal Priadi lagi.

Visual dan Audio Berkualiti Tinggi, Pengalaman Persembahan yang Berbeza

Salah satu perkara yang menjadikan konsert ini unik adalah gabungan visual dan audio yang menarik, di mana setiap lagu akan diiringi dengan paparan visual yang kreatif dan konsep artistik yang mencerminkan ‘mood’ lagu tersebut. Ini akan memberikan pengalaman lebih mendalam dan mengasyikkan kepada para penonton.

En. Ahmad Jeffny turut menekankan bahawa konsert ini adalah satu platform untuk menghubungkan Sal Priadi dengan peminatnya secara lebih intim. “Kami yakin, dengan persembahan yang penuh emosi dan konsep visual yang kreatif, konsert ini akan menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan,” katanya.

Tiket Konsert Sal Priadi Zuzuzaza Kini Dijual

Peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket konsert ‘SAL PRIADI ZUZUZAZA LIVE IN KUALA LUMPUR’ secepat mungkin kerana tempat-tempat adalah terhad. Tiket-tiket boleh didapati melalui laman web ticket2u.com.my/sal-priadi, dengan pilihan harga seperti berikut:

  • Dari Planet Lain (VIP Standing) – RM258
  • Gala Bunga Matahari (Standing) – RM158
  • Amin Paling Serius (VIP Seated) – RM258
  • Foto Kita Blur (Normal Seated) – RM188
  • VVIP Box – RM4,000

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam yang bakal mencipta kenangan indah ini. Sal Priadi telah bersedia untuk membawa semangat dan emosi yang luar biasa ke pentas Kuala Lumpur—malam yang pastinya akan penuh dengan magis dan jiwa!

Sal Priadi Bakal Gegarkan Kuala Lumpur dalam Konsert Pertama
Sal Priadi Bakal Gegarkan Kuala Lumpur dalam Konsert Pertama

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dua Single DUKES Memecahkan Gelombang Muzik Indie Rock!