in , ,

Ella Gegarkan Panggung Moto GP Dengan Persembahan Epik

Ella Muncul Sebagai Penyanyi Antem Nasional Di Moto GP

Bakal Gegarkan AFTER RACE FEST @ PETRONAS Sepang International Circuit dan Sepentas dengan Macklemore!

Pengumuman terbaru AFTER RACE FEST ini membuat ramai peminat muzik dan peminat MotoGP™️ tak sabar menantikan acara yang penuh dengan aksi dan hiburan. Bersempena dengan ulang tahun ke-25 PETRONAS Sepang International Circuit (SIC), pesta AFTER RACE FEST dijangka menjadi salah satu peristiwa paling meriah dalam kalendar hiburan tanah air.

AFTER RACE FEST akan berlangsung di Helipad, PETRONAS Sepang International Circuit pada 3 November, bermula jam 4 petang hingga tengah malam. Acara ini bukan sahaja meraikan kejayaan MotoGP™️, tetapi juga menjadi penutup penuh gemilang untuk perlumbaan berprestij ini.

Penghibur Tempatan dan Antarabangsa Menyemarakkan Suasana

Pada pengumuman pertama Julai lalu, pihak penganjur, HIFIVE Entertainment, telah mengumumkan barisan artis hebat seperti Smash Mouth dan Macklemore sebagai tarikan utama. Selain itu, Nidji dan Feel Koplo dari Indonesia, serta 6ixth Sense dan DE FAM dari Malaysia turut diundang, menjadikan acara ini benar-benar bersifat antarabangsa.

Kini, dalam pengumuman fasa kedua, pihak HIFIVE Entertainment telah berjaya membawa masuk “bunga” yang dinantikan ramai – Ella, Ratu Rock Malaysia! Ella akan menghangatkan pentas AFTER RACE FEST, dan yang lebih menarik, beliau juga akan menyanyikan lagu kebangsaan, “Negaraku”, untuk pembukaan acara MotoGP™️. Sebuah penghormatan besar buat Ella, yang terus menawan hati peminat dengan persembahan bertenaga dalam siri konsertnya yang sentiasa laris.

Ella berkata, “Menjadi sebuah penghormatan untuk saya diberikan tanggungjawab menyanyikan lagu Negaraku pada acara MotoGP™️ kelak. Dan selepas itu saya akan berkongsi pentas bersama Smash Mouth, Macklemore, dan artis-artis dari Malaysia serta Indonesia yang lain. Jangan lupa untuk temui saya di AFTER RACE FEST nanti!”

Pesta Hiburan Untuk Pengunjung MotoGP™️

Menurut Sean Pereira, Pengarah Urusan HIFIVE Entertainment, “Seperti tidak lengkap jika perlumbaan MotoGP™️ diakhiri tanpa keraian dalam kalangan pengunjung. Maka kami di HIFIVE Entertainment dengan bangga menganjurkan AFTER RACE FEST, bukan semata-mata bersifat hiburan sebaliknya meraikan pengunjung dari seluruh dunia ke MotoGP™️ dengan pelbagai aktiviti lain termasuk pertunjukan drone dan persembahan bunga api sebagai signifikan penganjuran acara yang sukses.”

AFTER RACE FEST akan bermula pada jam 4 petang dengan persembahan Feel Koplo dan DE FAM dalam segmen ‘Get Started’, diikuti oleh segmen ‘Healing’ yang bakal dimeriahkan oleh Nidji dan 6ixth Sense. Setiap segmen dirancang untuk memberi pengalaman hiburan yang pelbagai, sesuai dengan selera para pengunjung.

Kemudian, Ella akan tampil dalam segmen ‘Lets Rock’, membawa persembahan penuh tenaga yang pastinya menggugah semangat penonton. Kemuncak acara ialah segmen ‘Solidarity’, yang menampilkan Macklemore sebagai ‘headliner’. Macklemore baru sahaja muncul dengan single terbaru berjudul “HIND’S HALL 2”, yang merupakan kolaborasi bersama rapper Palestin MC Abdul, penulis lirik Amerika-Palestin Amer Zahr, dan penyanyi Amerika, Anees Mokhiber.

Jangan Lepaskan Peluang

AFTER RACE FEST pada 3 November ini bukan hanya tentang hiburan, tetapi juga pengalaman yang luar biasa dan penuh dengan pelbagai aksi serta aktiviti. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyertai kemeriahan di Helipad PETRONAS Sepang International Circuit. Datanglah dan alami sendiri suasana penuh adrenalin bersama barisan artis hebat dan pelbagai aktiviti yang disediakan.

Info Tiket AFTER RACE FEST dan MotoGP™️ Malaysia 2024

Tiket AFTER RACE FEST berharga RM550 boleh didapati dengan menggunakan kod promosi PayLater by GRAB. Pastikan anda dapatkan tiket segera kerana acara ini pastinya menjadi bualan ramai!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ekspo Usahawan Selangor SELBIZ 2024 Bakal Kembali Meriah