in , ,

Ulasan Konsert Search Symphonic Live di Megastar Arena Kuala Lumpur

Peminat kumpulan Search dapat kembali merasai zaman kegemilangan kumpulan lagenda itu menerusi konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur yang berlangsung pada 21 September lalu di Megastar Arena, Kuala Lumpur.

Peminat muzik rock tempatan sememangnya tidak mahu ketinggalan menyaksikan konsert Search Symphonic Live yang berlangsung pada 21 September di Megastar Arena, Kuala Lumpur. Kehadiran kumpulan lagenda Search dengan persembahan orkestra sememangnya menjadi sesuatu yang istimewa buat mereka yang hadir, membawa mereka mengimbau kembali era kegemilangan kumpulan ini. Sebelum ini, kali terakhir peminat dapat menyaksikan aksi Search secara langsung adalah pada Konsert Endemik di Zepp KL, dua tahun yang lalu.

Ulasan Konsert Search Symphonic Live di Megastar Arena Kuala Lumpur

Peminat Berpeluang Mengimbau Zaman Kegemilangan Search Di Konsert Symphonic Live

Bagi peminat setia, konsert kali ini adalah peluang untuk menikmati kelainan yang dihadirkan oleh Search – kali ini dengan iringan orkestra yang penuh magis. Pintu utama Megastar Arena dibuka seawal jam 7.30 malam, dan ribuan peminat Search dari segenap pelusuk negara telah mula beratur dengan penuh keterujaan.

Meskipun kesesakan di Bukit Bintang agak menyulitkan, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk memenuhi dewan konsert. Sambutan hangat ini jelas menunjukkan betapa Search masih utuh di hati peminat, tidak kira bangsa dan peringkat umur.

Ulasan Konsert Search Symphonic Live di Megastar Arena Kuala Lumpur

Persembahan Epik Bersama Orkestra

Konsert dimulakan tepat pada masanya dengan persembahan yang cukup hebat. Malam penuh nostalgia ini dibuka dengan lagu popular Search, “Gelora Cinta”. Suara Datuk Amy mula bergema tanpa kelibatnya di pentas, menambah elemen kejutan untuk peminat yang hadir. Apabila masuk ke rangkap kedua, Amy muncul dengan penuh gaya di hadapan pentas, membuatkan penonton bersorak dan menyanyi bersama.

Ulasan Konsert Search Symphonic Live di Megastar Arena Kuala Lumpur

Seterusnya, Search meneruskan persembahan dengan deretan lagu hits yang cukup dekat di hati peminat, antaranya “Langit dan Bumi”, “Nigina”, “Kau Pergi”, “Rozana” dan “Diari Habil Qabil”. Suasana di Megastar Arena semakin meriah apabila Amy mengambil sedikit masa untuk berinteraksi dengan penonton. Beliau sempat berseloroh tentang dirinya yang kini mudah penat tetapi tetap bersedia memberikan persembahan terbaik demi peminat yang sentiasa menyokong mereka.

“Awak yang muda dah penat? Saya belum penat lagi. Terima kasih kerana hadir dan sokong kami. Mari kita menyanyi bersama!” kata Amy dengan senyuman lebar yang mengundang sorakan meriah dari para peminat.

Ulasan Konsert Search Symphonic Live di Megastar Arena Kuala Lumpur

Kolaborasi Bersama Pemuzik Berbakat

Konsert Search kali ini menjadi lebih istimewa dengan kerjasama bersama pemuzik-pemuzik berbakat besar. Persembahan gitar oleh Man Kidal dan Hillary Ang benar-benar memukau, disokong oleh pemain bass, Nasir Daud, menjadikan suasana lebih bertenaga. Lebih menarik, 27 orang pemain orkestra yang diketuai oleh Datuk Mokhzani Ismail sebagai konduktor turut memeriahkan persembahan. Susunan muzik yang moden dan progresif oleh Rie Tsuji selaku pengarah muzik memberikan sentuhan baru kepada lagu-lagu klasik Search, tanpa mengubah identiti asal lagu-lagu tersebut.

Amy turut memuji peranan Rie Tsuji dalam menjayakan konsert ini. Menurutnya, tanpa Rie, konsert ini tidak mungkin dapat direalisasikan. Susunan muzik yang disediakan olehnya cukup moden dan relevan, namun tidak lari daripada struktur asal lagu-lagu Search. Kolaborasi antara pemuzik orkestra dan ahli kumpulan Search ini benar-benar membawa dimensi baru dalam persembahan mereka, memberikan pengalaman yang berbeza tetapi masih mengekalkan rasa yang sudah lama dikenali oleh peminat.

Ulasan Konsert Search Symphonic Live di Megastar Arena Kuala Lumpur

Setlist Yang Menghidupkan Kenangan Lama

Tidak lengkap konsert Search tanpa menyanyikan lagu-lagu malar segar mereka seperti “Kejora”, “Pelesit Kota”, “Isabella”, “Fantasia Bulan Madu” dan “Mentari Merah Di Ufuk Timur”. Setiap lagu yang didendangkan membuatkan peminat tidak senang duduk dan bersorak teruja. Kolaborasi bersama Rie Tsuji jelas menambah kemeriahan dan nilai estetika persembahan, terutamanya pada susunan vokal dan muzik yang dirancang dengan teliti.

Ulasan Konsert Search Symphonic Live di Megastar Arena Kuala Lumpur

Penggemar Search juga kagum dengan penampilan Azim Jenk Ali sebagai pemain dram baru. Persembahannya penuh bertenaga, menjadi nadi kepada keseluruhan muzik Search pada malam itu. Secara keseluruhan, audio konsert tersebut cukup baik dan sesuai dengan suasana Megastar Arena, menjadikan pengalaman menonton konsert ini lebih dinamik.

Amy, yang kini berusia 66 tahun, masih mempamerkan karisma dan pesona yang sama seperti ketika zaman kemuncaknya dahulu. Dengan vokalnya yang matang dan padu, Amy membuktikan bahawa Search bukan sekadar kumpulan rock biasa, tetapi sebuah entiti penting dalam sejarah muzik tanah air. Meskipun suaranya kini tidak sekuat ketika beliau berusia 30-an, nyanyian Amy tetap mantap dan menghiburkan. Peminat juga dapat menikmati persembahan yang lebih matang dan sesuai dengan peredaran masa.

Ulasan Konsert Search Symphonic Live di Megastar Arena Kuala Lumpur

Persembahan Yang Memukau dan Memori Indah

Konsert yang berlangsung selama dua jam ini berjaya memberikan pengalaman yang sukar dilupakan buat para peminat Search. Sebagai penutup tirai, lagu “Pawana” dan “Tiada Lagi” telah didendangkan dengan penuh emosi, meninggalkan penonton dengan kenangan manis.

Penganjur, Persatuan Rekreasi Global Malaysia, menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu kejayaan besar, dan berharap agar konsert Search Symphonic dapat dipentaskan semula di venue yang lebih prestij seperti Istana Budaya atau Dewan Philharmonic, agar lebih ramai dapat menikmati magis persembahan ini.

Ulasan Konsert Search Symphonic Live di Megastar Arena Kuala Lumpur

Keseluruhan produksi konsert ini – daripada promosi, pengurusan, hingga jualan merchandise – semuanya telah disusun rapi dan menjadi kunci kepada kejayaan Search Symphonic. Amy, Man Kidal, Nasir, dan Hillary sekali lagi membuktikan bahawa mereka masih relevan dalam dunia muzik tanah air, dengan konsert yang terbaik sepanjang karier mereka.

Konsert Search Symphonic ini tidak hanya mempersembahkan muzik, tetapi ia turut menghidupkan kenangan lama yang tersemat di hati para peminat. Sebagai salah satu kumpulan rock terhebat di Malaysia, Search telah menunjukkan bahawa mereka tidak sekadar sebuah band, tetapi sebuah legasi yang akan terus dikenang dan dihargai oleh rakyat Malaysia sepanjang masa.

Ulasan Konsert Search Symphonic Live di Megastar Arena Kuala Lumpur

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Konsert K-Pop Band Seventeen Follow Again Disiar di Disney+ Hotstar

GOVINDA

Govinda Tegaskan Tidak Timbul Isu Ernie Zakri Tumpang Populariti