LEBIH 100 PROGRAM KHAS MENARIK TEMUI PENONTON DAN PENDENGAR SETIA RTM SEMPENA AIDILFITRI, HARI MERDEKA DAN HARI MALAYSIA
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Bertemakan “Rayakan Merdeka”, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tahun ini menghimpunkan lebih 100 program khas menarik di tiga saluran TV merangkumi TV1, TV2 dan TVi serta radio-radionya sempena sambutan Aidilfitri, Hari Merdeka dan Hari Malaysia yang disambut sepanjang Syawal 1432H.
Menjelang raya pada 29 Ogos hingga 16 September 2011, penonton diajak menyaksikan variasi program-program khas disediakan. Jumlah program Raya ; TV1 menyediakan 58 program, TV2 dengan 30 program dan TVi menyajikan 12 program kesemuanya.
Manakala program Merdeka pula menjanjikan 5 program di TV1, 7 program di TV2 dan sebuah program menerusi TVi. Tidak ketinggalan 3 program istimewa dalam meraikan Hari Malaysia.
Tahun ini TV1 tampil dengan tagline “Syawal Dirai, Merdeka Dihayati” manakala TV2 pula bertemakan “Ceria Raya Merdeka”. Tidak ketinggalan tahun ini juga menyaksikan TVi juga bakal menghiburkan penonton sepanjang perayaan ini dengan tagline “Setulus Perjuang Seindah Lebaran”.
MENJELANG RAYA (29 OGOS 2011 / ISNIN)
Perutusan Khas Y.A.B Perdana Menteri yang disiarkan jam 9.00 malam mendahului siaran program khas Aidilfitri menjelang Raya pada 29 Ogos 2011 (Isnin) dan disusuli dengan laungan Gema Takbir, jam 9.30 malam di TV1.
Menarik di saluran TV2 ; telemovie Puasa Terakhir, jam 12.30 tengah hari lakonan hebat Wan Maimunah, Ako Mustafa, Elly Mazlein, Heryanto, Shahrolnizam, Salina Salibi dan Siti Elizad yang mengisahkan Mak Ani yang dilupakan oleh anak-anaknya dan diletakkan di sebuah rumah jagaan orang tua. Keinginannya untuk bersama anak-anaknya dalam menyambut Ramadan menjadi kenyataan apabila Jamal, seorang sukarelawan menjemput anak-anaknya untuk berbuka bersama. Hakikatnya kesempatan itu adalah yang terakhir bagi mereka.
Ceriakan Aidilfitri anda pada malam raya menerusi saluran sama dengan program Raya Sama-Sama secara langsung jam 10.00 malam. Program ini menampilkan pengacara Saiful Apek, Adibah Nor, Linda On dan Jep Sepah berkongsi ucapan raya di studio di samping mengundang Sepah, Sarah Raisuddin, Shila Amzah, Tomok, Black, Kristal, Farahwaheeda dan Wakaka Crew. Aizat, Tomok, Sharifah Aini, Faizal Tahir dan Misha Omar.
Pastikan juga anda meluangkan masa berkongsikan kemeriahan sambutan menjelang raya dengan program disiarkan TVi berkonsepkan temubual serta ucapan raya orang ramai, personaliti dan warga RTM bertajuk Bingkisan i, jam 11.05 pagi. Program ini menampilkan pengacar Sonic dan Mimie Ibrahim (DJ KLfm) di samping mengundang artis ; Mila, Amir Sofaz dan Ernie Zakri.
RAYA PERTAMA (30 OGOS 2011 / SELASA)
Awal pagi 1 Syawal 1432H diraikan TV1 dengan menyiarkan Siaran Langsung Solat Sunat Aidil Fitri dari Masjid Negara mulai jam 8.00 pagi dan kemudiannya sebelah malam pula jam 11.30 malam penonton berpeluang menyaksikan Solat Sunat Aidil Fitri dari Masjidil Haram.
Tayangan filem dan telefilem istimewa dari pagi hingga malam bersama Panggung Raya memeriahkan Raya Pertama dengan empat telefilem khas bermula dengan Shah Rukh Khan Malaysia pada jam 9.00 malam di TV1 lakonan Iqram Dinzly, Intan Ladyana, Afzan Abdul Rahman, Noor Hashimah, Mohd Yusmanja, Mohd Zaidin dan Widyawati. Drama komedi ini mengisahkan pemuda bernama Shah Rizal yang sangat meminatidan taksub dengan filem-filem Hindustan terutama Shah Rukh Khan dan sering mendengar lagu-lagunya. Minatnya yang mendalam terhadap filem dan lagu Hindustan membuatkannya lupa tentang tanggungjawabnya sebagai anak dan pelajar.
Di saluran sama turut menyiarkan telefilem Panggung Raya : Hero Desa, jam 2.00 petang memaparkan plot tercetus dalam sebuah produksi yang menjalankan penggambaran di sebuah kampung terpaksa mencari pelakon bidan terjun setelah pelakon asal menarik diri saat akhir. Setelah ujibakat diadakan, Ramli (Danny X Factor) seorang yang lurus bendul telah terpilih. Kehadiran heroin terkenal Lia Sandra (Julia Ziegler) menyebabkan hubungan Ramli dengan teman baiknya (Airis Yasmin) terganggu.
Menyusul telemovie menarik di TV2, Berakhirnya Satu Penantian, jam 2.00 pagi yang mengajak penonton menghayati kisah seorang ibu lakonan Fauziah Nawi yang sentiasa merindui kepulangan anak tersayang yang terpisah jauh sejak sekian lama. Berkat doa dan kesabaran ibunya telah berjaya menginsafkan anaknya untuk pulang kepangkuannya. Turut membintangi drama ini Jalil Hamid, Fizz Fairuz, Ayu Raudhah, Eizlan Yusof dan Rozita Che Wan.
Nantikan juga siaran telefilem Raya Sakan, jam 5.05 petang menerusi TVi mengisahkan konflik yang berlaku dalam senuah keluarga dalam membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman berhari raya.
Sementara itu penonton TV2 berpeluang menyaksikan slot Movie Raya dengan tayangan filem Setem disiarkan jam 10.30 malam khas tontonan seisi keluarga yang membariskan pelakon hebat Afdlin Shauki, Vanidah Imran, Que Haidar, Bront Palare dan Rashidi Ishak.
Seterusnya rancakkan Aidilfitri pertama dengan keseluruhan 3 program hiburan bermula di TV2 dengan program terbitan Unit Hiburan TV yang menggandingkan dua diva yang masing-masing miliki ramai pengikut bertajuk Sensasi 2 : Ramlah Ram & Alyah pada jam 9.00 malam yang menyampaikan lagu popular masing-masing.
Stesen TVi tidak kurang meriahnya dengan tayangan program i Bagus Ba Khas Raya, pada jam 9.00 pagi dan Ha Ha Ha Raya Gitu, jam 9.00 malam. Menariknya i Bagus Ba Khas Raya sebuah persembahan khas radio Sabah fm secara langsung.
Program-program majalah dan dokumentari di TV1 menyusul kemudiannya dengan dua program khas tonggak RTM yang sememangnya popular sepanjang Ramadan dan disiarkan episod khasnya Aidilfitri ini ; Ketuk-Ketuk Syawal disiarkan jam 12.00 tengah hari yang mengundang pelawak Ebby Yus dan Achong menunjukkan kemahiran mereka memasak.
Penonton kemudiannya diajak menyaksikan program Syahadah Khas Raya, jam 7.01 malam yang menjalani penggambaran di Maghribi di mana turut dirakamkan momen indah melaungkan takbir Raya bersama kedutaan dan rakyat Malaysia di sana.
RAYA KEDUA (31 OGOS 2011 / RABU)
Dalam menyemarakkan sambutan Merdeka yang bakal tiba seiring dengan Aidilfitri tahun ini, RTM menyiarkan telemovie Bunga Raya Untuk Su Tin lakonan Wan Hanfi Su, Louisa Chong dan Maimun Talib, jam 12.30 tengahari di TV2.
Ceriakan Raya Kedua dengan tayangan sebuah filem popular di mana TV1 menyiarkan filem Papadom lakonan berkesan Afdlin Shauki bergandingan dengan artis remaja Liyana Jasmay pada jam 9.00 malam.
Jalinan terus dieratkan antara Raya dan Merdeka dengan menyiarkan program-program hiburan TV2 yang mengajak penonton berhibur dengan Candawara Khas Raya : Aktif 5 Raya pada jam 4.30 petang dan hiburan menarik Sensasi 2 : Misha Omar & Tomok, jam 9.00 malam.
Candawara Khas Raya : Aktif 5 Raya, program berteraskan muzik di samping menerapkan unsur humor yang mengetengahkan artis Rina Azhar, Memey Suhaiza, Kilafairy, Izwan Pilus, Iqram Dinzly, Diana Amir, Adie 6ixth Sense, Mus May dan Nurul.
Sementara itu TVi pula berkongsi pentas Konsert Rockustika Rock Selamba, jam 9.00 malam yang menampilkan empat kumpulan rock ; Khalifah, Kristal, Terra Rossa dan Royce termasuk pemain gitar Rosli Muhalim sempena Aidilfitri yang mendapat kerjasama daripada stesen radio Muzik fm sebelum menyusul kemudiannya program Bintang Kecil Peringkat Negeri Sabah pada jam 9.00 malam.
RAYA KETIGA (01 SEPTEMBER 2011 / KHAMIS)
Kemeriahan sambutan Aidilfitri ketiga di RTM diteruskan dengan program-program hiburan Bersama penyanyi nombor satu negara, konsert sempena 15 tahun Dato’ Siti Nurhaliza dalam industri seni ; CT 15 pada jam 11.05 pagi dan luangkan masa juga berhibur dengan Sensasi 2 : Datuk Jeffreydin & Mas Idayu pada jam 9.00 malam menerusi TV2.
Sementara itu hiburan di TVi diteruskan dengan program Bintang Remaja Peringkat Negeri Sabah pada jam 4.05 petang.
Saksikan kemudiannya tayangan filem V3 Samseng Jalanan lakonan Farid Kamil, Bront Palare, Aqasha, Lisa Surihani, Intan Ladyana dan Radhi OAG yang disiarkan jam 10.30 malam menerusi saluran TV2.
Begitu juga penonton diajak menyaksikan telemovie Sesuci Aidilfitri, jam 2.00 pagi menerusi saluran sama yang memaparkan hukum anak susuan antara wanita muslim dengan anak angkat yang bukan muslim. Ia sangat menarik kerana melibatkan budaya corak hidup orang Melayu dan India dan raya yang menyatukan mereka.
Selain itu peminat TVi saksikan telemovie Ratu Hati di Aidilfitri, jam 5.05 petang yang sarat dengan adegan mencuit hati apabila Pak Arif yang sudah lama menduda menjadi rebutan Senah Dan Salbiah. Drama ini lakonan Kaza, Zila Bakarin, Liza Abdullah, Achong, Siti Fazurina dan Wan Shuhaimi.
Kemudiannya ikuti perbincangan dari perspektif Islam dalam Forum Perdana Khas Raya yang mengupas tajuk Langsir Baru Semangat Baru, jam 10.00 malam.
Kisah pejuang kemerdekaan yang tercabar semangatnya kerana cucunya sendiri yang ingin menggadaikan tanah kepada penjajah turut menemui penonton mengisi slot Khas Merdeka Raya ketiga bertajuk Tanah Ini Tanah Merdeka, jam 2.05 petang sebelum kemudiannya diteruskan dengan berkongsi doku drama Dimana Bendera Saya – RTM Sabah, jam 6.00 petang di TV1.
RAYA KEEMPAT (02 SEPTEMBER 2011 / JUMAAT)
Istimewa Raya keempat disiarkan hiburan Gegar Raya Kg. Pening Lalat, jam 9.00 malam di TV1 menampilkan Saiful Apek dan Dato’ Siti Nurhaliza selain artis undangan Sepah, Dayang Nurfaizah dan Azlan & The Typewriter. Sketsa komedi yang berlatar belakangkan Kampung Pening Lalat ini turut diselitkan dengan lagu-lagu Raya dan Merdeka yang diaraikan.
Usah ketinggalan menyaksikan dua telemovie berbeza genre terbitan Unit Drama TV RTM bermula dengan drama menyentuh jiwa menerusi TV1 bertajuk Kesuma Jiwa, jam 2.00 petang yang mengisahkan Kesuma, gadis pekak dan bisu yang bercita-cita menjadi pemain biola namun tidak mendapat sokongan keluarga. Perkenalannya dengan Khali telah memberi harapan baru dalam hidupnya namun dia kecewa setelah mengetahui diri Khali yang sebenar. Drama menarik ini lakonan Syarifah Aleesha, Nabila Huda, Ann Abdullah, Johan, Rozie Rashid, Illya Buang dan Rahim Omar.
Seterusnya menerusi TV2 pula, saksikan drama Kelapa Dot Com, jam 9.00 malam berkongsi kisah Jihan membawa diri ke bandar kerana tidak tahan dihina dan dicemuh oleh penduduk kampung hanya kerana dia bekerja di ladang kelapa. Setelah 3 tahun berada di bandar,berkat usaha gigihnya Jihan berjaya menjadi seorang usahawan dan dia juga merupakan seorang saudagar kelapa yang membeli hasil daripada perusahaan kelapa milik penduduk kampung. Penduduk kampung pula pada mulanya tidak mengetahui siapa saudagar kelapa tersebut. Persoalan terjawab apabila Jihan pulang ke kampung untuk menyambut hari raya.
Mungkin pengajaran drama saluran TVi bertajuk Menantu Mak, jam 5.05 petang ini boleh dikongsi sama dengan penonton apabila drama menyiarkan kisah seorang mentua yang tidak sukakan menantu-menantunya selama 10 tahun hingga menyebabkan mereka merajuk hati tidak pulang ke kampung. Namun apabila Syawal ini dia terpaksa berdepan dengan mereka. Apakah yang berlaku seterusnya?
RAYA KELIMA (03 SEPTEMBER 2011 / SABTU)
Konsert gabungan artis Malaysia dan Singapura, Simfoni Lebaran (RTM/MediaCorp) yang disiarkan jam 9.00 malam menemui penonton TV1 yang menyajikan sepenuhnya koleksi lagu-lagu Raya baru dan lama berkonsepkan ‘Live Orchestra’. Konsert ini menyatukan artis Norynn Aziz, Nora, Hardy Mirza, Rahayu, Taufik Batisah, Sarah Aqilah dan ramai lagi.
RAYA KEENAM (04 SEPTEMBER 2011 / AHAD)
Isitimewanya RTM menerusi TV1 menghadiahkan tayangan Tiada Lama Tiada Baharu Raya, jam 9.00 malam berkonsepkan rumah terbuka dan Didie Alias meruapakan tuan rumah yang merajuk gara-gara anak-anaknya lewat pulang berhari raya. Didie Alias akhirnya menjemput tetamu yang terdiri daripada artis popular. Pelbagai insiden lucu telah berlaku antara mereka. Antara lagu yang dipersembahkan Dendang Perantau, Indahnya Beraya Di Desa, Balik Kampung dan banyak lagi yang menampilkan artis Datuk David Arumugam, Datuk Jeffreydin, Noraniza Idris, Ramlah Ram, Datuk A.Rahman Hassan dan Mas Idayu.
Tidak ketinggalan program popular menampilkan pengacara Zamzarina Zambri di studio, Apa Kata Wanita Khas Aidilfitri turut menemui penonton jam 2.00 petang.
5 SEPTEMBER / ISNIN
Masih lagi dalam mood meraikan lebaran, saksikan juga telemovie Panggung RTM : InsyaAllah pada jam 9.00 malam di TV2 membariskan pelakon Arman Graseka, Airis Yasmin, Badrul Munir dan Carl Iqmal Hazali yang berkongsi kisah Rahman, anak kampung yang hidup susah tetapi bijak dalam pelajaran. Dia kemudiannya berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang dan memperoleh kerjaya yang hebat.pada masa sama dia berdepan dugaan apabila anak-anaknya ada yang diserang sakit dan meninggal dunia. Lalu bagaimanakah dia berdepan dengan kenyataan tersebut?
Sementara itu TVi menjanjikan program KL Aktif Khas Raya disiarkan jam 9.00 pagi bersama DJ Sonic dan Mimie Ibrahim di samping artis undangan di studio ; Mila dan Zul Handy Black.
KHAS HARI MALAYSIA
Dalam usaha menyemarakkan sambutan dan sekaligus meraikan Hari Malaysia yang disambut 16 September setiap tahun, RTM menyediakan tiga program khas buat penonton setia saluran TV1.
Saksikan telemovie Hujan Tak Berhenti, pada 16 September 2011 (Jumaat), jam 3.05 petang di TV1 terbitan Unit Drama TV yang berlatar belakangkan negeri Sabah yang memaparkan nilai-nilai persefahaman dan nilai kepimpinan melalui kisah sekumpulan anak muda yang giat berlatih zapin untuk membuat persembahan sempena sambutan Hari Malaysia. Aman telah menawarkan diri untuk menjadi guru zapin kepada Bella dan rakan-rakannya namun hasrat Aman sering mendapat halangan. Lalu bagaimanakah kesudahannya?
Menyusul kemudiannya Panggung Sabtu : Teater Tun Mahathir pada 17 Ogos 2011, jam 3.05 petang yang berkongsi kisah suka duka mantan Perdana Menteri Malaysia dari zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa.
Kepada penonton-penonton cilik dalam menyemarakkan semangat cintakan negara, saksikan Konsert Adik-Adikku pada 18 Ogos 2011, jam 4.00 petang yang sarat pengisian peserta-peserta Adik-Adikku membuat persembahan seperti berpuisi dan bersajak tentang kemerdekaan negara.
STESEN RADIO RTM
Sambutan Aidilfitri dan Merdeka RTM yang bertemakan Merdeka Raya Bersama Radio RTM bakal menemani anda sepanjang perjalanan pulang ke kampung mahupun berkunjung ke rumah sanak saudara tahun ini menerusi 35 stesen di seluruh negara. Suara bergema yang berkumandang di udara menghiburkan pendengar di hari kemenangan ini.
Dengarkan rangkaian program-program terbaik ke udara menerusi Klasik Nasional ; Drama Khas Hari Raya & Merdeka (30 Ogos 2011 /Hari Raya Pertama / jam 12.30 tengah hari) dan Dendang Keluarga Klasik Nasional (1 – 2 September 2011 / Hari Raya Ketiga & Keempat / jam 2.15 petang).
Stesen MUZIKfm pula berkongsi dengan pendengar setia mereka dengan dua program menghiburkan ; Memori Merdeka (1 – 31 Ogos 2011 / dua kali setiap segmen) dan Rockustika Raya Rock Selamba MUZIKfm (1 & 2 September 2011 / Hari Raya Ketiga & Keempat / jam 2.00 petang).
ASYIKfm menghiburkan pendengar dengan dua program ; Salam Aidilfitri Asyik (30 & 31 Ogos 2011 / Hari Raya Pertama / Kedua / jam 8.00 malam) dan Nyob Wira Jasamu Dikenang (4 September 2011 / jam 6.15 petang).
Seterusnya satu-satunya saluran radio berbahasa Tamil di RTM, MINNALfm menyiarkan program Menjalin Muhibah (30 Ogos 2011 / Hari Raya Pertama / jam 8.30 malam) dan Raya dan Merdeka (31 Ogos 2011 / Hari Raya Kedua / jam 8.30 malam).
Kepada pendengar di ibu kota dengarkan KLfm yang menyediakan program khas ; Mutiara KL – Mai Raya Merdeka (Malam Menjelang Raya / jam 12.00 tengah malam) dan Syoknya Raya@KLfm (30 Ogos 2011 / Hari Raya Pertama / jam 9.30 malam).
Stesen berbahasa Inggeris RTM, TRAXXfm pula dimeriahkan dengan program Wishes From The World (SSIG) disiarkan 24 – 31 Ogos 2011 / sejam sekali dan Merdeka Poem Recital (1 Ogos – 1 September 2011 / sejam sekali.
Diakhiri Aifm yang bakal menghiburkan pendengar setianya dengan program Drama Khas : Program Khas Aidilfitri (29 & 30 Ogos 2011 / Hari Raya Pertama / jam 2.15 petang) dan Pertandingan Menyanyi Lagu Patriotik (1 hingga 31 Ogos 2011 / Setiap Sabtu sepanjang Bulan Kemerdekaan / jam 4.00 petang).