in , ,

AXN Asia & Tourism Malaysia Lancar Program Travelog ‘Unfading Memoirs’

Terokai keindahan Malaysia dari perspektif berbeza menerusi kandungan yang dihasilkan pengguna (UGC) – sebuah dokumentasi perjalanan yang mempersonakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah

Peneraju saluran hiburan berbahasa Inggeris, AXN Asia milik KC Global Media, dengan kerjasama Tourism Malaysia, mempromosikan kepelbagaian dan keunikan Malaysia menerusi penerbitan travelog baharu berjudul “Unfading Memoirs” yang boleh ditonton secara dalam talian termasuk di saluran televisyen seluruh Asia bermula 11 Julai 2024.  

Menampilkan Justin Bratton (Asia’s Got Talent, Screaming at Stars) dan Selina Lo (Hellraiser 2022, aktres musim baharu Lord of the Rings: The Rings of Power) sebagai hos dengan gandingan penggemar kembara dan makanan terkenal,Erwan Heussaff (Let it Simmer, Survivor Philippines), “Unfading Memoirs” merupakan eksplorasi mengujakan yang memaparkan kekayaan budaya selain landskap menakjubkan negara ini merangkumi senarai impian berteraskan tiga elemen utama iaitu Pengembaraan (Adventure), Budaya (Culture) dan juga Makanan (Food). 

Memanifestasikan keindahan pengembaraan, “Unfading Memoirs” terdiri daripada beberapa siri kandungan digital yang mengajak penonton untuk bersama-sama menyertai perjalanan mengujakan di Malaysia sekali gus merasai pengalaman setiap destinasi dengan naratif unik oleh pihak AXN.

Unfading Memoirs (Feat Justin & Selina) (4) - The iconic colorful steps at Batu Caves

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden KC Global Media, George Chien berkata: “Malaysia kekal menjadi ‘syurga’ pilihan pelancong dengan kekayaan warisan sejarah dan budaya selain tarikan luar biasa yang terus memacu daya saing dan inovasi – tidak kira sama ada ini kali pertama atau kali ke-10 anda melawat negara ini, pasti ada sesuatu yang baharu untuk dinikmati. Pendek kata, Malaysia merupakan sebuah destinasi yang amat berbeza berbanding negara lain. Pelbagai pengalaman hebat yang diraih di Malaysia mencerminkan inti pati kepelbagaian dan keunikan kaum di Asia, sejajar dengan jenamanya ‘Malaysia, Truly Asia’. Oleh itu, menjadi satu penghormatan buat kami dapat bekerjasama dengan Tourism Malaysia dalam membawakan “Unfading Memoirs”kepada para penonton.”

Para pencinta aktiviti kembara akan berpeluang menonton gabungan pelbagai dimensi kandungan pengembaraan dan hiburan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah yang dihasilkan pengguna (UGC) dari perspektif berbeza sekali gus memberikan inspirasi kepada para penonton untuk melancong ke lokasi-lokasi tersebut. Terokai sendiri pengalaman berjalan di dasar laut dan menaiki kereta api bersejarah Borneo Railway. Turut dipaparkan ialah pengalaman menyaksikan pemandangan indah menaiki belon udara panas, mengagumi pelbagai hasil karya pelukis muda tempatan dan pertukangan tradisional selain menyoroti warisan seni kulinari Malaysia. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Manoharan Periasamy berkata: “Kepelbagaian tarikan yang ada di Malaysia, bermula daripada sejarah, budaya dan keindahan alam semula jadi, menawarkan banyak pilihan kepada para pelancong untuk menikmati percutian sempurna di negara ini. Ditambah pula dengan keramahan rakyat tempatan serta reputasi Malaysia sebagai syurga makanan, kami berbangga untuk mempersembahkan keunikan Malaysia kepada para penonton melalui kerjasama khusus bersama AXN Asia.” 

Sertai Pertandingan “Unfading Memoirs” di Media Sosial 

Para penonton di seluruh dunia dijemput untuk menyemarakkan naratif destinasi-destinasi unik ini serta berpeluang memenangi percutian eksklusif. Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman hebat di Malaysia buat kali pertama atau ingin menjejakkan kaki sekali lagi ke negara ini, jangan lupa sertai pertandingan ini secara dalam talian untuk berpeluang memenangi penginapan 3 hari 2 malam yang bernilai lebih kurang RM6,600 (USD1,400). 

  • Jika anda pernah melawat Malaysia sebelum ini, anda hanya perlu memuat naik foto atau video pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan di negara ini. Sekiranya anda belum pernah berkunjung ke Malaysia, layari www.axn-asia.com/UnfadingMemoirs untuk mencari dan memuat naik foto destinasi impian anda di negara ini. 
  • Langkah seterusnya ialah memuat naik foto atau video di akaun media sosial peribadi anda dengan kapsyen menarik dan jangan lupa tag @AXNasia serta letakkan tanda pagar #AXNUnfadingMemoirs dan #MalaysiaTrulyAsia. 
  • Pertandingan ini akan berlangsung dari 15 Julai hingga 25 Ogos 2024 dan pemenang akan diumumkan pada 3 September 2024. Untuk maklumat lanjut termasuk terma dan syarat, sila layari www.axn-asia.com/UnfadingMemoirs.

“Unfading Memoirs” boleh ditonton di laman sosial dan saluran televisyen AXN Asia bermula 11 Julai 2024. Untuk keterangan lanjut, layari media sosial AXN Asia dan klik www.malaysia.travel/deals bagi mendapatkan tawaran istimewa melancong ke Malaysia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TV AlHijrah Teruskan Misi Hijrah Prihatin, Berkongsi Rezeki ke 10 Pulau Terpilih

Istana Budaya Bawa PERMATA Seni Muzik Sertai Festival Raffles ke-10