Astro Shaw terus aktif mempersembahkan filem berkualiti dengan mengangkat cerita-cerita menarik dari Malaysia ke pentas dunia. Terbaru, Astro Shaw bersama Act 2 Pictures dengan kerjasama Clover Films dan One Cool Entertainment mempertaruhkan filem Gold, kisah yang diinspirasikan daripada pemenang pingat emas pertama badminton paralimpik dunia dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 iaitu Cheah Liek Hou. Gold akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 Julai ini.
Membawakan nilai kesungguhan dan aksi sukan yang mendebarkan, di samping elemen kekeluargaan dan keharmonian masyarakat, filem ini digarap kemas oleh pengarah pecah panggung Paskal The Movie dan Malbatt Misi Bakara, Adrian Teh.
Adrian yang sinonim dengan filem-filem aksi beruniform yang membawakan mesej tribut kepada pahlawan negara, membuktikan kemampuannya dengan menghasilkan naskhah bertemakan sukan pula.
Di samping mempunyai sinematografi menarik, kekuatan filem Gold juga adalah menampilkan babak aksi yang mampu meninggalkan kesan, baik dari segi emosi mahupun mesej yang ingin diketengahkan.
Setiap babak digerakkan dengan baik oleh pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Farid Kamil sebagai Rashid Sidek, pelakon yang menyinar di Taiwan menerusi filem Abang Adik iaitu Jack Tan sebagai Cheah Liek Hou, Wan Raja sebagai Misbun Sidek, Fabian Loo sebagai Guan Ting, penyanyi popular sekitar 1990an Freddie Ng, Josiah Hogan, Daniel Cheah, Yasmin Hani, Lynn Lim, Meeki Ng, serta penampilan istimewa Tony Eusoff, Nafiez Zaidi dan Ikhram Juhari.
Penerbit Eksekutif Gold merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Selepas kejayaan francais aksi Polis Evo, Astro Shaw dengan bangganya mempersembahkan filem aksi sukan penuh emosi yang diinspirasikan dari individu yang telah mengharumkan nama negara di mata dunia. Kami merasakan ramai yang tidak mengenali secara dekat nama Cheah Liek Hou, tetapi cerita di sebalik perjalanan beliau menuju ke kemuncak persada dunia amat menarik untuk dikongsikan. Kami berharap Gold mampu menyentuh jiwa penonton, sekali gus dilihat sebagai filem untuk semua masyarakat Malaysia. Terima kasih kepada pengarah Adrian Teh kerana membawakan idea filem ini. Kami meletakkan kepercayaan kepada beliau, lebih-lebih lagi pengalaman bekerjasama menerusi filem Paskal The Movie dan Malbatt Misi Bakara memberikan kelebihan buat kami untuk bergabung idea dan tenaga.”
Penerbit Eksekutif dan Pengarah Filem Gold, Adrian Teh pula menyatakan, “Selepas menghasilkan beberapa filem aksi, saya ingin meneroka genre sukan, drama, dan patriotisme. Seperti PASKAL The Movie dan MALBATT: Misi Bakara, Gold menggabungkan elemen yang mampu membangkitkan rasa bangga yang mendalam terhadap Malaysia. Sementara itu, mencipta semula pelbagai acara sukan besar dan ikonik adalah cabaran utama. Kami berharap filem ini akan memberi inspirasi kepada semua penonton, terutamanya atlet dalam menyuntik motivasi kepada mereka untuk terus berusaha dan mengharumkan nama negara.”
Babak-babak di dalam filem Gold bukan sahaja disokong dengan sinematografi yang menarik dan rekaan produksi yang berkualiti, tetapi muzik latar yang mengesankan. Filem ini menampilkan lagu tema utama bertajuk ‘Kita Pasti Boleh’ yang dibawakan Kaka Azraff, Daniel Sher dan Saint T.F.C, hasil ciptaan sepenuhnya Daniel Sher. Lagu berentak upbeat ini pastinya mampu menyuntik semangat jati diri kepada penonton.
Gold mengisahkan perjalanan hidup jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou sejak kecil. Ketika dia berusaha untuk menempatkan namanya dalam arena sukan nasional, beliau didapati menghidap penyakit saraf yang dikenali sebagai Erb’s Palsy.
Kehilangan ayah sebagai penyokong kuatnya juga membuatkan Liek Hou hilang arah. Namun, apabila acara Paralimpik dunia mengiktiraf badminton sebagai sukan yang akan dipertandingkan di Tokyo, Liek Hou bangkit semula dengan bantuan jurulatih dan pemain legenda Malaysia, Rashid Sidek.
Nantikan filem Gold yang akan berada di pawagam bermula 11 Julai ini. Gunakan #GoForGold #MYGoldMovie #KitaPastiBoleh #为自己赢一场 #为马来西亚赢一次 di media sosial. Ikuti pekembangan terbaru dan info menarik tentang Gold di akaun Astro Shaw menerusi platform Instagram, X, Facebook, TikTok dan YouTube.