Kim Han-bin, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, B.I, akhirnya merealisasikan impian para peminat setianya yang dikenali sebagai ‘ID’ dengan mengadakan konsert solo pertamanya di Malaysia. Konsert yang telah berlangsung pada 30 Jun lalu di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, ini merupakan satu detik bersejarah bagi peminat yang telah lama menantikan saat tersebut.
Konsert yang dinamakan ‘B.I 2024 Tour ‘HYPE UP’ In Kuala Lumpur’ dianjurkan oleh Lo-Fi Entertainment. Ia membuktikan bahawa bekas ketua kumpulan IKON ini masih mempunyai daya tarikan yang kuat, walaupun kini bergerak secara solo sejak tahun 2021. Bukti nyata adalah kehadiran kira-kira 3,000 peminat yang memenuhi ruang Mega Star Arena untuk menyaksikan persembahan beliau.
Pada jam 6.10 petang, B.I memulakan konsert dengan penuh bertenaga menerusi lagu-lagu seperti Michelangelo, Alive, One and Only, dan Waterfall. Kehangatan suasana semakin terasa apabila beliau menyapa peminat yang sekian lama ingin bertemu secara langsung dengan idola kesayangan mereka. Energi yang dipamerkan oleh B.I sangat luar biasa, apatah lagi setiap lagu yang dipersembahkan disertai dengan koreografi yang rumit dan mengikut irama yang pantas. Penonton seolah-olah terhipnotis dengan semangat yang ditunjukkan oleh B.I.
B.I tidak beraksi sendirian di pentas, malah peminat-peminatnya yang dikenali sebagai ID turut menari mengikut melodi lagu-lagu yang dipersembahkan. Semangat yang ditunjukkan oleh penonton menjadi pemangkin bagi B.I untuk terus bertenaga menyanyi sehingga ke penghujung konsert. Keterujaan dan sokongan tanpa berbelah bahagi dari peminat nyata mendapat respons positif daripada B.I, yang sering kali turun dari pentas untuk lebih dekat dengan peminat yang setia menyokong karier seninya.
Pada malam itu, B.I juga berkolaborasi dengan LEO, seorang lagi bintang hip-hop Korea (KHH). Mereka mempersembahkan lagu ‘Pretty Plzzz’, yang merupakan lagu kolaborasi mereka yang dirilis pada Mei 2024. LEO turut menghiburkan penonton dengan dua buah lagu solonya yang berjudul ‘Come Closer’ dan ‘Farewell’, yang berjaya menyentuh emosi penonton yang terbuai dengan karya-karya mereka.
Dalam konsert tersebut, B.I turut mengumumkan bahawa beliau akan melancarkan dua buah lagu baharu tidak lama lagi, berita yang pastinya menggembirakan para peminat. Aksi B.I yang kerap turun dari pentas untuk mendekati peminat memberikan mereka peluang istimewa untuk melihat lebih dekat dan merakam detik-detik berharga bersama idola mereka.
Konsert yang berdurasi lebih 2 jam 30 minit itu sarat dengan permainan cahaya yang mengiringi setiap persembahan lagu, selain ‘video mapping’ yang turut menghidupkan suasana sepanjang tempoh konsert ‘B.I 2024 Tour ‘HYPE UP’ In Kuala Lumpur’. Ia merupakan satu malam yang penuh kenangan manis bagi semua yang hadir, menyaksikan kehebatan B.I di atas pentas dan merasai kehangatan hubungan antara idola dan peminatnya.