Kehadiran mereka menarik perhatian ramai, dengan harapan agar prosiding yang dijadualkan bermula pada pukul 9.30 pagi itu berjalan lancar. Aliff dan Ruhainies, yang mengenakan pakaian serba hitam sedondon, dilihat tenang dan berharap segalanya berjalan dengan baik.
Aliff sempat memberikan kata-kata kepada media sebelum memasuki dewan bicara, “Masih pagi untuk semua orang. Kami hargai rakan-rakan media yang hadir. Minta doa baik-baik untuk hari ini, insya-Allah,” katanya dengan nada penuh harapan.
Sementara itu, Ruhainies turut menyatakan penghargaan atas sokongan yang diberikan, “Terima kasih sudi datang meluangkan masa hari ini. Doakan yang terbaik untuk kami,” ucapnya dengan senyuman.
Kedua-dua pelakon ini diwakili oleh peguam, Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani. Menurut Hadi, prosiding hari ini akan melibatkan rekod pengakuan daripada Aliff dan Ruhainies.
Pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat mereka yang dilaporkan berlaku di sebuah kondominium mewah pada 9 Mac lalu. Selepas dibawa ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk disoal siasat, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan kira-kira jam 2 petang pada hari yang sama.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa artis yang berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, telah dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah. Sumber melaporkan bahawa tangkapan dibuat oleh JAWI adalah berdasarkan maklumat awam. Pasangan selebriti ini, yang sibuk menjalani penggambaran drama bersama, dilaporkan ditahan di kediaman milik pelakon wanita tersebut.
Rentetan insiden itu, Aliff dan Ruhainies tampil memberikan penjelasan melalui hantaran di Instagram berhubung kontroversi yang tercetus. Aliff menjelaskan bahawa tiada apa yang berlaku antara dirinya dan Ruhainies ketika serbuan JAWI di kondominium berkenaan. Ruhainies pula menjelaskan kronologi kejadian tersebut selain menyatakan harapannya agar Aliff dan bekas isterinya, Bella Astillah, tidak berpisah.
Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, namun bercerai talak satu pada 13 Jun lalu. Mereka dikurniakan dua orang anak, iaitu Mohamad Ayden Adrean, yang kini berusia 7 tahun, dan Ara Adreanna, 4 tahun.