Sebagai permulaan, deligasi diketuai oleh Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan berjumpa dengan beberapa penerbit filem terkenal di Jakarta, Indonesia pada 28 hingga 30 Jun lalu.
Mereka terdiri daripada Raam Punjabi dari PT Multivision Plus; Manoj Punjabi (MD Entertainment); Deddy Mizwar (PT Demi Gisela Film dan Ketua Umum Persatuan Produser Film Indonesia -PPFI), Zairin Zein, (produser dan Setiausaha Agung PPFI) dan Ilham Bintang (Pengarah PT Bintang Advis Multimedia).
Adzliana berkata, pihaknya mahu memberi fokus terhadap usaha menjalin dan memperkukuh kolaborasi dengan pemimpin industri kreatif di Indonesia serta meneroka kerjasama serantau.
Menurutnya, industrti kreatif adalah peluang baharu yang boleh meningkatkan semangat keusahawanan dalam kalangan ahli Usanita.
Pada pertemuan tiga hari itu, turut serta penerbit, pengarah dan pelakon terkenal tempatan Erma Fatima.
Kehadiran Erma membuktikan komitmen Usanita terhadap kecemerlangan seni dan pertukaran budaya.
Erma berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia dan Indonesia menghidupkan semula produksi filem secara usahasama seperti yang dilaksanakan pada tahun 80-an dan 90-an.
“Kerjasama sebegini memberi peluang untuk kita bertukar pengetahuan agar mampu memenuhi kehendak penonton yang semakin mencabar.
“Teknologi produksi filem juga mengalami perubahan pesat dan jika bergabung, kedua-dua negara mempunyai kekuatan untuk menakluk pasaran global dengan sinergi yang betul,” katanya.
Delegasi Usanita turut melawat IDN Media dan berbincang dengan pihak pengurusan tertingginya untuk meneroka potensi kerjasama kreatif.
Perbincangan itu tertumpu kepada pembangunan bersama kandungan kreatif dan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk melaksanakan projek yang inovatif dan menarik minat penonton di kedua-dua negara.