in , ,

Ulasan Konsert Westlife The Hits Tour di Arena of Stars, Genting Highlands

Pada tanggal 9 Jun yang lalu, hari tersebut menjadi momen yang sangat istimewa dan penuh kegembiraan buat para peminat setia kumpulan Westlife di Malaysia. Mengapa tidak?

Kumpulan popular dari Ireland ini telah mengadakan konsert jelajah dunia mereka yang dinantikan ramai, iaitu “Westlife The Hits Tour,” di Arena of Stars, Genting Highlands. Ini adalah satu peluang besar untuk para peminat di Malaysia menyaksikan idola mereka beraksi secara langsung di atas pentas.

Sebagai seseorang yang bukanlah peminat tegar boyband pada era akhir 90-an dan awal 2000-an, saya sering kali terlepas pandang akan populariti mereka. Namun, jika ada yang bertanya kepada saya, “Boleh sebutkan tiga lagu Westlife?”, saya dengan yakin boleh menyenaraikan lebih daripada sepuluh lagu mereka tanpa ragu-ragu. Ini jelas menunjukkan betapa besar pengaruh Westlife di rantau Asia Tenggara, terutama di Malaysia. Ketika itu, kumpulan ini begitu dikenali dan disayangi oleh ramai peminat.

Berbanding di Amerika Syarikat, di mana boyband seperti Backstreet Boys, Nsync, dan 98 Degrees lebih mendominasi hati peminat, Westlife tetap berjaya mencuri tumpuan di Asia Tenggara. Walaupun tidak begitu popular di Amerika, kehadiran mereka di rantau ini tidak dapat disangkal.

Lagu-lagu mereka kerap kali diputarkan di stesen radio, dimainkan di pusat membeli-belah, dan dinyanyikan oleh ramai orang dari pelbagai peringkat umur. Populariti mereka yang berterusan menunjukkan bahawa Westlife mempunyai daya tarikan yang istimewa, menjadikan mereka salah satu kumpulan boyband yang paling berjaya di Asia Tenggara pada masa itu.

Ulasan Konsert Westlife The Hits Tour di Arena of Stars, Genting Highlands

Westlife mencapai puncak populariti mereka dengan lagu-lagu seperti “Uptown Girl,” sebuah cover dari Billy Joel. Saya perasan, Westlife banyak menyanyikan lagu-lagu cover. Menariknya, mereka mencapai puncak populariti ketika era boyband sedang merosot, digantikan dengan era nu metal dan demam emo. Namun, Westlife yang berasal dari Ireland tetap mempunyai pasaran tersendiri di Asia, terutama di Asia Tenggara. Mereka konsisten merakam album selang satu atau dua tahun sehingga pembubaran mereka pada tahun 2012. Selepas enam tahun, mereka kembali dengan konsert reunion dan dua album studio. Album “Spectrum” contohnya, cuba mendekati pendengar yang lebih muda dengan melibatkan Ed Sheeran sebagai salah seorang komposer untuk lima lagu dalam album tersebut.

Konsert dua jam mereka di Genting Highlands benar-benar membuat penonton terpukau. Lagu-lagu yang dinyanyikan menggamit kenangan lama. Shane Filan, Kian Egan, dan Nicky Byrne mempamerkan persembahan yang sangat mengujakan, lengkap dengan busana dan tarian yang memukau hati lebih daripada 5,000 penonton di dewan utama pusat peranginan tersebut.

Menurut Shane Filan, mereka berasa bangga dapat kembali ke Malaysia untuk menghiburkan peminat. Beliau berkata, “Perasaan dapat bertemu anda semua indah sekali. Banyak kenangan manis kami rasai sepanjang berulang kali ke sini dan banyak negara lain. Kami sudah menjayakan sebanyak 119 konsert dalam tempoh dua tahun bermakna empat, lima persembahan besar setiap bulan. Malaysia, we’re flying without wings (kami terbang tanpa sayap).”

Antara lagu popular yang dipersembahkan oleh Westlife pada konsert tersebut ialah “Nothing’s Gonna Change My Love For You,” “Flying Without Wings,” “Starlight,” “We Are The Champions,” “Uptown Girl,” “My Love,” “Beautiful In White,” “What Makes A Man,” dan “More Than Words.”

Konsert ini lebih menarik apabila Nicky mengajak peminat yang hadir untuk menyalakan lampu telefon bimbit mereka dan mengikuti arahannya untuk ‘angkat tangan, turun tangan’ bagi tujuan rakaman yang akan dimuat naik di akaun Instagram Westlife.

Ulasan Konsert Westlife The Hits Tour di Arena of Stars, Genting Highlands

Sebelum ke Malaysia, Westlife telah menghiburkan peminat mereka di Beijing, Shenzhen, Shanghai, China, disusuli Korea, Vietnam, dan kini mereka menuju Indonesia serta Singapura untuk melengkapkan jelajah di Asia Tenggara. Oleh itu, tidak menghairankan jika mereka datang lagi ke Malaysia walaupun kali terakhir hanyalah setahun yang lalu.

Nostalgia dan populariti mereka menjual nama kumpulan ini, memenuhi ruang Arena of Stars pada 9 Jun 2024 dengan konsert yang padat dengan hits, sesuai dengan nama siri jelajahnya, The Hits Tour. Namun, kali ini Westlife hadir sebagai trio, iaitu Shane Filan, Kian Egan, dan Nicky Byrne kerana Mark Feehily terpaksa menarik diri atas faktor kesihatan.

Walaupun hanya bertiga, paduan suara mereka tetap memberi impak besar, dimulai dengan lagu “World of Our Own” tepat jam 6 petang, diikuti “I Lay My Love On You” dan “Nothing’s Gonna Change My Love For You” sebelum memulakan interaksi mereka bersama penonton. Mereka terus menghiburkan dengan hit selepas hit seperti “Flying Without Wings,” “Bop Bop Baby,” “If I Let You Go,” “Swear It Again,” dan banyak lagi, menjadikan konsert ini bagai satu sesi karaoke bersama peminat.

Ulasan Konsert Westlife The Hits Tour di Arena of Stars, Genting Highlands

Konsert ini juga menampilkan medley dari Queen (“We Will Rock You” dan “We Are The Champions”) yang membuka pendengaran saya pada rendisi live oleh pemuzik-pemuzik tour yang dibawakan oleh Westlife. Lagu “Hello My Love,” salah satu ciptaan Ed Sheeran, kedengaran lebih baik bila dibawakan oleh Westlife.

Secara keseluruhan, Westlife membawakan 17 lagu untuk set sepanjang sejam 45 minit, cukup untuk membawa saya hanyut ke 25 tahun yang lalu apabila Westlife merajai carta radio. Terima kasih kepada penganjur, MMIC Entertainment Group, atas undangan ke konsert ini. Semoga lebih ramai artis antarabangsa yang besar dapat dibawa selepas ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Max Melancarkan Teaser Kedua THE PENGUIN Lakonan Colin Farrell

Karnival Jom Heboh di Dataran MITC Ayer Keroh 28 Hingga 30 Jun Ini