in , ,

Adriana Ghafar Lancar Koleksi Puisi Sulung Everything In Between

* Meraikan seni puisi dan menjadikannya inklusif, terbuka dan dekat dengan semua lapisan masyarakat

Adriana Ghafar, personaliti Malaysia yang semakin dikenali ramai dan naib juara pencarian Dewi Remaja 2019 telah melancarkan koleksi puisi sulungnya yang ditunggu-tunggu, “Everything In Between”, hari ini. Berlangsung di The Grey Box, Kuala Lumpur, acara itu menarik tetamu yang terdiri daripada penggiat sastera, peminat, dan rakan-rakan serta ahli keluarga Adriana.

Visi Adriana untuk mendemokrasikan puisi menjadi tema utama acara tersebut. “Puisi bukan milik golongan elit atau ahli akademik; ia boleh dinikmati oleh semua orang,” kata Adriana dalam ucapannya. 

Adriana Ghafar Lancar Koleksi Puisi Sulung Everything In Between

“Puisi saya ialah karya yang dekat dengan semua lapisan masyarakat, berupaya menyentuh hati, dan mengingatkan mereka bahawa kisah mereka adalah bermakna dan emosi di sebaliknya perlu dikongsi.”

“Everything In Between”, sebuah gabungan puisi bahasa Melayu dan Inggeris yang digarap dalam tempoh 12 tahun, menyelitkan tema sejagat cinta, keluarga, penolakan, dan kecekalan. 

Karya ini mengandungi mesej khusus untuk golongan wanita dan anak muda yang mencari ketenangan jiwa, inspirasi, dan kekuatan dalam mendepani cabaran hidup. Sebagai pejuang tegar hak-hak wanita, puisi-puisi Adriana juga mengangkat tema kesaksamaan gender dan pendayaupayaan wanita. 

“Sejak dahulu lagi saya sentiasa yakin dengan kuasa perkataan untuk menyembuh, menginspirasi dan menyatukan kita. Koleksi ini mencerminkan perjalanan peribadi hidup saya yang bukannya indah dan bahagia sepanjang masa, tetapi juga dipenuhi liku-liku dan cabaran. Saya terharu dengan sambutan positif yang diberikan dan berharap puisi saya diterima pembaca sekali gus menggalakkan mereka untuk mencari hikmah yang tersirat dalam pengalaman hidup mereka sendiri,” kata Adriana.  

Adriana Ghafar Lancar Koleksi Puisi Sulung Everything In Between

Kerjasama dengan Women Of Will

Satu perkara penting yang mencuri perhatian ramai pada acara itu ialah kerjasama Adriana dengan Women Of Will (WOW), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan inisiatif pemerkasaan usahawan wanita dalam komuniti berpendapatan rendah. Adriana memberikan sumbangan awal sebanyak RM10,000 kepada WOW sebagai tanda komitmen beliau dalam kerjasama tersebut.

“Saya berharap buku saya menyalakan semangat orang ramai terutamanya dalam kalangan golongan terpinggir, untuk menjadikan puisi sebagai wadah penzahiran diri, mencari suara mereka, memperkasakan diri dan berkongsi pengalaman. Kerjasama dengan WOW adalah dekat di hati saya kerana ia sejajar dengan misi saya untuk mendayaupaya dan menyemarakkan semangat wanita melalui puisi, memberikan sokongan yang mereka perlukan untuk menceritakan kisah mereka dan mencipta perubahan yang memberi impak kepada komuniti,” tambah Adriana. 

Menurut Lakshwin Muruga, WOW Executive Director, “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Adriana, yang berkongsi objektif yang sama dengan kami untuk mendayaupaya wanita. Kami ingin saling menyokong wanita dalam mentransformasi hidup mereka di samping membantu keluarga dan komuniti mereka.”

Adriana Ghafar Lancar Koleksi Puisi Sulung Everything In Between

Pencapaian Penting dalam kerjaya Adriana

Pelancaran “Everything In Between” merupakan pencapaian penting dalam karier Adriana. Dikenali ramai menerusi program pencarian Dewi Remaja 2019, Adriana memukau penonton dengan keanggunan, kepintaran dan semangatnya yang tersendiri. Sejak itu, beliau terus melangkah jauh dan mengembangkan sayapnya sebagai pengacara, model, pelakon dan pembaca berita. Adriana yang kini membina kerjaya guamannya sebagai pelatih dalam kamar, menyerlahkan sisi terbaharu dirinya sebagai pemuisi dan penulis menerusi karya ini.

Acara pada hari ini merupakan sambutan meriah puisi sebagai karya seni dan menampilkan deklamasi puisi-puisi pilihan oleh Adriana sendiri. Tiga kulit buku edisi terhad juga diperkenalkan, dan setiap satu daripadanya memaparkan elemen berbeza dengan kisah yang tersendiri. Sesi menandatangani buku yang berlangsung kemudian memberikan peluang kepada peminat untuk mendekati Adriana bagi membincangkan inspirasi dan cerita di sebalik tabir proses penulisan beliau. 

“Everything In Between” ditawarkan dalam tiga kulit buku edisi terhad pada harga RM48 dan boleh dibeli menerusi laman web rasmi adthebuku.com. 

Adriana Ghafar Lancar Koleksi Puisi Sulung Everything In Between

Tentang Adriana Ghafar

Adriana Ghafar ialah personaliti Malaysia yang semakin dikenali ramai. Beliau mencuri perhatian ramai apabila dinobatkan sebagai naib juara pencarian Dewi Remaja 2019 sekali gus melonjakkan namanya dalam dunia hiburan sebagai pengacara, model, pelakon dan pembaca berita. Beliau kini membina kerjaya guamannya sebagai pelatih dalam kamar.

Nyala rasa di dalam dirinya terhadap isu-isu berkaitan hak dan pendayaupayaan wanita mendorong penglibatan aktif Adriana dalam inisiatif seperti dearHer dan WOMEN:girls. Terbaharu, “Everything In Between”, hasil karya Adriana ialah sebuah rampaian puisi yang bertujuan memberi inspirasi kepada golongan anak muda dan wanita. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Riena Diana Tak Nak Sorok Hubungan Dengan Keith Foo Walau Akan Ada Kecaman

TV AlHijrah Sajikan Program Istimewa Haji Dengan Tema Korban Suci Bersih Jiwa