in , ,

Penyanyi Nuha Bahrin Kini Berpayung Di Bawah Label EMI Muzik Malaysia

Baru-baru ini, EMI Music Malaysia telah mengadakan sidang media khas dengan tujuan untuk memperkenalkan artis baharu mereka, Nuha Bahrin, kepada pihak media dan para peminat.

Acara ini berlangsung dengan penuh meriah dan dihadiri oleh individu penting dalam industri muzik tempatan. Antara yang hadir ialah Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, dan Adib Hamdi, Ketua EMI Music Malaysia.

Sidang media ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkenalkan Nuha Bahrin, tetapi juga untuk mengumumkan pelan masa hadapan yang menjanjikan untuknya dalam industri muzik. Ini merupakan satu detik penting bagi EMI Music Malaysia dalam usaha mereka untuk mempromosikan artis-artis berbakat tempatan.

Nuha Bahrin, seorang artis muda yang penuh dengan bakat dan potensi, telah mencipta nama dalam industri muzik sejak kemunculannya. Antara lagu beliau yang telah menjadi fenomena adalah ‘Casablanca’, serta sebuah lagu cover berjudul ‘Jika’ yang menggabungkan elemen bahasa Arab. Dengan suara yang merdu dan gaya muzik yang unik,

Nuha dijangka akan membawa perspektif baharu dan inovatif ke dalam industri muzik Malaysia. Dalam sidang media ini, Nuha berkongsi pengalaman peribadinya, sumber inspirasinya, dan harapannya untuk perjalanan kariernya yang lebih cemerlang di masa hadapan.

Adib Hamdi, sebagai Ketua EMI Music Malaysia, menyatakan dalam sidang media tersebut, “Nuha merupakan nafas baru bagi EMI. Nuha juga dapat memberi impak yang sangat baik kepada EMI dan juga kepada industri muzik Malaysia.

EMI akan terus memberi sokongan yang penuh dalam perjalanan karier Nuha. Saya juga berharap peminat-peminatnya akan terus menyokong kerjaya muziknya dan lagu-lagu beliau pada masa akan datang.” Kenyataan ini menunjukkan komitmen kuat EMI dalam memajukan karier Nuha Bahrin dan memperkukuhkan kedudukan mereka dalam industri muzik.

Nuha Bahrin turut menyampaikan rasa terima kasihnya dengan berkata, “Dengan sokongan keluarga, serta EMI Music Malaysia dan peminat-peminat, saya bersedia untuk mengambil langkah besar dalam karier saya, dan terus membawa inovasi dan kecemerlangan ke tahap pencapaian yang lebih tinggi. Saya berterima kasih kepada keluarga saya, kepada individu penting EMI yang memberi saya peluang, pihak pengurusan dan tidak lupa juga kepada peminat-peminat saya di luar sana yang sentiasa memberi sokongan. Saya juga teruja untuk mengumumkan bahawa saya akan mengeluarkan lagu baharu yang sedang dalam penghasilan tidak lama lagi!”

Pada 3 Jun 2024, EMI Music Malaysia dan Nuha Bahrin membuat pengumuman mengejutkan bahawa Nuha secara rasmi menyertai EMI Music Malaysia sebagai artis baharu mereka. Dikenali dengan lagu-lagu dalam bahasa Arab yang memukau, Nuha telah menjadi fenomena di media sosial, menandakan permulaan babak baharu dalam kariernya.

Kerjasama ini dengan EMI Music Malaysia dijangka akan terus membawa kejayaan dalam mengeluarkan produk muzik berkualiti tinggi dan dapat memajukan industri. Nuha Bahrin kini bersedia untuk mencipta lebih banyak lagi kenangan indah dan pencapaian hebat dalam dunia muzik, dengan sokongan padu daripada EMI Music Malaysia serta peminat-peminatnya yang setia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Miniso PINK STORE di Pavilion Bukit Jalil Telah Dibuka Pada 15 Jun

Picnic in the Park Suria KLCC Kembali Lagi! Ini Cara Untuk Anda Dapatkan Slot