in , ,

K-Colly Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Penyebar Fitnah

K-Colly telah mengumumkan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap dua individu yang telah membuat tuduhan fitnah di laman sosial.

Jenama produk makanan kesihatan tambahan popular, K-Colly, sedang bersiap sedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dua individu yang didakwa telah menjejaskan reputasi jenama itu dengan mendakwa produk tersebut menyebabkan buah pinggang mengecut serta meninggalkan komen berunsur fitnah. 

Tuduhan-tuduhan ini dimuat naik dalam sebuah video yang telah menjadi tular di TikTok, mencapai sebanyak 2 juta tontonan pada bulan Mei yang lalu. Selain itu, terdapat juga komen-komen fitnah yang dilemparkan tentang produk K-Colly di laman Facebook.

K-Colly Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Penyebar Fitnah

Sehubungan dengan itu, K-Colly telah mengadakan satu sidang media bersama peguam yang dilantik, Azreen Azmi dari Tetuan Adnan Sharida & Associates, serta Dr. Mohd Redza Abd Rahman, saintis dari syarikat Synamatix, bagi menjelaskan isu yang sedang dihadapi. 

Pengurus Besar K-Colly, Mohd Zulkifli Hussain, menegaskan bahawa tindakan ini diambil untuk membersihkan nama baik syarikat yang telah bertapak selama 13 tahun.

“Disebabkan isu yang tidak tepat ini, ia telah menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap produk K-Colly, reputasi syarikat turut terjejas, dan yang ketiga, sudah tentu jualan juga akan terjejas. Perkara ini kami pandang serius,” kata Zulkifli dalam sidang media yang berlangsung di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. 

K-Colly Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Penyebar Fitnah

Peguam yang mewakili K-Colly, Azreen Azmi, memaklumkan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap dua individu tersebut. 

“Pihak K-Colly telah membuat dua laporan polis di Balai Polis Pokok Sena, Kota Setar, Kedah, dan perkara ini masih dalam siasatan pihak polis. Namun, di pihak K-Colly, kami mahukan permohonan maaf daripada dua individu terbabit serta tuntutan ganti rugi.

Jika mereka tidak memberikan kerjasama, pihak K-Colly akan mengeluarkan surat tuntutan (letter of demand) dan akan memfailkan saman seterusnya membawa perkara ini ke mahkamah,”

– Azreen
K-Colly Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Penyebar Fitnah

Azreen juga memberi amaran kepada netizen agar berfikir panjang sebelum membuat sebarang tuduhan dan komen di platform media sosial. Sekiranya tuduhan yang dibuat adalah fitnah sehingga menjejaskan reputasi jenama atau individu, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang. 

Dalam pada itu, Dr. Mohd Redza Abd Rahman menegaskan bahawa produk K-Colly telah menjalani pemeriksaan di makmal bertauliah dan telah melepasi ujian Sijil Analisis (COA) yang mengesahkan tiada pencemaran logam berat dan mikroorganisma. 

“Produk K-Colly mengandungi bahan semula jadi yang telah dikaji dan tidak memberi impak kepada kesihatan, terutamanya buah pinggang, jika diambil mengikut dos yang disarankan. Oleh itu, produk K-Colly selamat untuk dimakan,”

– Dr. Mohd Redza Abd Rahman

“Produk Colly Sweet 17 ini tiada gula tambahan sedikit pun dan bahan-bahan di dalamnya disahkan secara klinikal. Sebab itu kami mahu mengambil tindakan terhadap fitnah yang mengatakan produk ini mengandungi kolagen, sedangkan ia tidak. Bahan-bahan dalam produk ini telah dikaji selamat, bukan sahaja membantu kesihatan tetapi juga boleh membantu kesihatan buah pinggang itu sendiri. Oleh itu, saya keliru apabila ada yang mendakwa makan K-Colly menyebabkan masalah buah pinggang,” ujar Dr. Redza lagi.

Dalam masa yang sama, K-Colly turut memperkenalkan duta baru mereka, pengaruh popular Dahlia Rizal, pada majlis yang sama. Selain itu, pihak K-Colly turut menyumbang sebanyak RM100 ribu kepada Yayasan Nur Jiwa untuk membantu rakyat di Palestin. 

Sempena menyambut Aidiladha, K-Colly juga mengagihkan sebanyak 5 ribu kilogram beras di persekitaran Masjid Al Bukhary, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

K-Colly Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Penyebar Fitnah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Aedy Ashraf & Amelia Henderson Putus Cinta, Terbuka Terima Cinta Baru?

Rekaan Praktikal Liyanacollection Menyerlah di Shopee Live