Telemovie Ramadan : 4 Hari 3 Malam Di TV2
Kebiasaannya pakej 4 hari 3 malam disebut-sebut orang sebagai tempoh percutian ke mana-mana destinasi menarik. Pastinya percutian itu sarat dengan aktiviti-aktiviti menarik yang dilakukan bersama yang tersayang atau kesempatan yang ada digunakan mengunjungi tempat-tempat menarik yang ada di situ.
Namun sebaliknya berlaku dalam telemovie tayangan sempena Ramadan hujung minggu ini yang mengisi slot Sinema Ahad disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk 4 Hari 3 Malam terbitan Eurofine (M) Sdn. Bhd. Drama dibintangi pelakon Liza Abdullah, Azza Elite, Angah Raja Lawak, Kazaruddin Saisi Khatijah Tan, Kartina Aziz dan Wan Maimunah disiarkan pada 21 Ogos, jam 10.00 malam di TV2 itu menjadi episod ngeri dalam hidup watak lelaki bernama Azmi yang dikurung perompak dalam rumahnya sendiri selama 4 hari 3 malam semata-mata kerana dia gagal melunaskan bayaran wang tebusan seperti yang dikehendaki.
Plot kisahnya bermula dimana Azmi terpaksa bersetuju dan sanggup untuk memikul beban menjaga anak anak apabila isterinya Iza terpaksa menghadiri kursus selama 2 minggu. Kehidupan Azmi mula haru biru apatah lagi bulan Ramadhan kini menjelma.
Selama ini semua kerja menguruskan anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada Iza. Diari hidupnya seharian hanya digunakan untuk mengendalikan perniagaannya yang semakin menampakkan hasil memuaskan.
Hidup Azmi semakin kusut apabila suatu malam rumahnya dimasuki 2 orang perompak misteri yang menuntut sejumlah wang yang tidak mampu dibayarnya. Kegagalan mendapatkan wang tebusan membuatkan ke dua perompak sanggup bermalam selama 4 hari 3 malam di rumah Azmi semata mata untuk menunggu Iza pulang bagi mendapatkan wang seperti yang Azmi janjikan.
4 hari 3 malam dilalui oleh Azmi dengan penuh getir. Azmi terkejut bila mengetahui 2 perompak misteri tersebut adalah adik kepada seorang rakan perniagaannya yang pernah menjadi mangsa penipuannya dahulu.
Penipuan tersebut telah membuatkan rakan Azmi jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia. Kini, kedua adiknya muncul untuk menuntut kembali wang abang mereka yang telah ditipu oleh Azmi dan ingin menyerahkan wang tersebut pada anak tunggal abangnya yang kini hidup menderita.
Persoalan adakah hasrat mereka kesampaian untuk membantu anak saudara mereka yang dianiaya itu.