Amir, yang nama sebenarnya Mohamad Amirullah Jahari, mengenang Nabil sebagai seorang rakan yang sangat baik dan penuh sokongan. Kedua-duanya saling meminati karya seni masing-masing, dan Amir turut mencipta lagu khas buat Nabil.
“Saya jarang-jaranglah senang berkawan, tapi almarhum antara yang saya senang nak duduk berborak. Baik sangat orangnya. Bila ingat balik pertama kali jumpa, kelakar bila dia kata dia minat saya, minat karya-karya saya, lama sudah minat baru jumpa,” kata Amir.
Kenangan pertama kali mereka bertemu masih segar di ingatan Amir. “Saya dengan teruja telefon isteri beritahu sambil gelak-gelak sebab sebelum jumpa itu, memang saya ada beritahu saya teruja nak jumpa Nabil. Dia tak tahu, saya minat dia dari saya sekolah. Lagu dia saya hafal,”
Amir mengakui bahawa jarang dia menghafal lagu-lagu Melayu, namun lagu-lagu Nabil adalah antara yang dihafalnya. Mereka berdua sempat ‘jamming’ bersama di Kamar Seni, di mana Amir mencipta sebuah lagu bertajuk “Kenangan Lama” khusus untuk drama “Ijab Kabut” yang dibintangi Nabil.
Walaupun mereka jarang bertemu, Nabil selalu menjadi penyokong setia Amir dan karyanya. Malah, Nabil adalah salah seorang penyokong terkuat Amir sewaktu Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38) yang lalu.
Amir mengimbau saat-saat terakhir mereka berhubung, “Memang terasa tiba-tiba dia tak ada. Kali terakhir dia WhatsApp saya cakap ‘Tahniah juara. Sangat layak’. Sebelum itu dia memang teruja saya dapat AJL38. Dia kata kat saya, ‘bagi aku, kau menang dah. Hasrat memang lagu terbaik tahun ini’,” kata Amir dengan nada sayu.
Lebih menyedihkan bagi Amir adalah mengenangkan anak-anak Nabil yang masih kecil dan sebaya dengan anak-anaknya. Kehilangan ini dirasakannya amat mendalam, terutama memikirkan masa depan anak-anak Nabil tanpa kehadiran bapa mereka.
Dunia hiburan tempatan dikejutkan dengan berita pemergian Nabil Zamanhuri yang meninggal dunia di kediamannya di Bukit Indah Ampang akibat serangan jantung pada pagi hari kejadian. Allahyarham telah berkhidmat di Unit Pembangunan Kandungan Bahasa Melayu Astro sejak lima tahun yang lalu, dan sumbangannya dalam industri hiburan akan sentiasa dikenang.