Minggu separuh akhir Akademi Qurra’ 2024 menyaksikan penyingkiran dua peserta, Tilmiz Nabil dan Tilmiz Taufiq sekali gus melayakkan lima lagi peserta mara ke pentas akhir.
Dua Tilmiz tersebut masing-masing di bawah bimbingan Mudarrisah Suhailah dan Mudarrisah Nadiah.
Keputusan itu turut menyaksikan lima lagi peserta Tilmiz Luqman, Tilmiz Amnan, Tilmizah Sofea, Tilmizah Syahira dan Tilmizah Sholihah berjaya mara ke pentas akhir.
Menurut juri jemputan, Ustazah Hajah Rahmas Abdullah, peserta perlu mencari nada suara yang betul dalam bacaan dan dalam masa yang sama memperbaiki bacaan supaya dapat melakukan yang terbaik pada peringkat akhir nanti.
Tambah johan enam kali Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa ini lagi, selain melagukan taranum, bacaan juga harus mempunyai kelunakan tanpa merosakkan tajwid dan sifat huruf.
“Pada peringkat akhir, setiap peserta harus berpegang kepada nada suara empat kategori iaitu qoror, nawa, jawab, buljawab. Biasanya bagi wanita, untuk mendapatkan suara qoror (berfungsi di dada) ini agak sulit, namun ada teknik lain yang boleh dikuasai peserta bagi menguasainya. Ia bergantung kepada setiap individu. Begitu juga dengan suara tinggi.
“Di samping itu, mereka harus pandai mengolah lagu dalam melantunkan burdah-burdah itu mestilah ada kelunakan. Jangan berlagu tetapi keras. Tajwid juga mesti sempurna dan sifat-sifat huruf dijaga dan dilontarkan dengan baik,”
Pada saingan minggu separuh akhir, Tilmiz Luqman diumumkan pemenang Anugerah Alunan Terindah yang membawa pulang wang tunai RM500 beserta rehal. Ini merupakan kemenangan kedua buat Tilmiz Luqman.
Dihoskan oleh Raqib Majid, AQ 2024 turut menampilkan Mudarris Ammar Mukhlis, Mudarrisah Suhailah Zulkifly dan Mudarrisah Nadia Hashim yang bertindak selaku tenaga pengajar.
Program disiarkan setiap Sabtu jam 9 malam di TV Alhijrah itu menampilkan juri tetap Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dan dibantu oleh Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim serta juri jemputan.