Setelah kejayaan Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang pada 10 dan 11 Februari 2023 di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Popsicle Records dan New Boyz bakal menganjurkan satu lagi konsert, bersempena dengan ulangtahun New Boyz yang ke-25, sebagai tanda penghargaan kepada semua peminat dan penyokong mereka.
Pengumuman tentang konsert ini dibuat oleh vokalis New Boyz sendiri, iaitu Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, menerusi laman Instagram miliknya (@tomokofficial) pada 28 Februari 2024. Konsert New Boyz 25th Anniversary, Live In Kuala Lumpur akan berlangsung di Plenary Hall KLCC pada 13 Julai 2024, jam 8 malam.
Menurut Tomok, penganjuran konsert New Boyz 25th Anniversary ini merupakan sebuah hadiah buat semua peminat yang menjadi tulang belakang sepanjang 25 tahun penubuhan karier New Boyz.
“Tak mampu saya nak simpan rahsia ini lagi. Oleh kerana sambutan yang luar biasa pada konsert tahun lalu yang kami adakan selama 2 hari, serta kegembiraan kami dengan semua reaksi positif tentang konsert tersebut, kami teruja untuk mengadakan konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur, di lokasi yang berkapasiti lebih besar, iaitu di Plenary Hall KLCC,” ujar Tomok.
Kumpulan New Boyz yang pernah mencipta fenomena dan menjadi kegilaan peminat remaja itu ditubuhkan pada tahun 1999 dan bergiat aktif sehingga tahun 2007.
Penjualan tiket New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur akan bermula pada 4 Mac 2024 (Isnin), pada jam 11 pagi di laman www.ticket2u.com.my.
Harga tiket bermula RM78 (CUBA CUBA), RM98 (NORKIA), RM198 (LUKAMU LUKAKU JUA), RM298 (MARAH BUKAN SIFATKU), RM398 (MERAUNG), RM498 (SEJARAH MUNGKIN BERULANG).