Hari ini, Budiey singgah seketika di Putra World Trade Centre. Selain persiapan Anugerah Industri Muzik 14 sedang giat dijalankan di sana, PWTC juga sedang ditimbuni dengan buku-buku yang akan berpesta di Pesta Buku 2007 yang bermula pada esok, 27 April hingga 6 May 2007. Kepada pembaca yang gemar membaca dan mengumpul koleksi khazanah ilmu, jangan lupa untuk mengunjungi Pesta Buku 2007.
Walaupun kita sudah ada banyak bacaan seperti laman blog, e-book, e-novel di internet, namun tidak sama dengan buku yang kita genggam di tangan dan boleh ditatap di mana saja berada.
Sebenarnya, Budiey ke PWTC untuk mengambil 2 keping tiket bagi mengikuti secara langsung anugerah muzik paling berprestij di Malaysia itu. Satu tiket lagi perlu diberikan kepada penulis untuk entri Situ Sana Sini. Oleh kerana tuntutan masa dan keadaan, blog ini nampaknya terpaksa mengambil seorang lagi penulis sambilan.
Setakat ini, penulis tersebut hanya mengendalikan slot Situ Sana Sini yang memaparkan berita dan gosip terkini artis Malaysia. Saya masih membuka peluang kepada mana-mana penulis yang sudi mengendalikan beberapa slot yang masih dalam cadangan.
Untuk masa akan datang, saya juga akan menjemput beberapa orang blogger untuk menjadi guest blogger di Sensasi Selebriti. Semuanya dibuat atas dasar minat & passion. Bukan kerana sagu hati atau tiket. Terima kasih kepada penulis tersebut.
Di entri ini, Budiey ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada AIM kerana memberi peluang untuk team Sensasi Selebriti mencari bahan di acara gilang gemilang itu.
Bermula semalam lagi, semua team produksi dan ahli jawatan kuasa penganjuran sudah berkampung di PWTC. Jadi saya terpaksa ke sana kerana tiada sesiapa pun di pejabat. Di Dewan Merdeka, kelihatan pentas AIM14 juga sedang dibina. Sistem bunyi dan audio juga sedang dipasang. Rasanya tidak sabar untuk melihat persembahan artis di AIM.
Bercakap pasal persembahan, AIM kali ini menimbulkan isu di mana artis wanita dipinggir kerana persembahan kali ini didominasikan oleh artis lelaki. Mengapa ini terjadi? Adakah ini disengajakan atau secara kebetulan?
Antara penyanyi yang akan menggegarkan pentas AIM ialah Mawi dan M Nasir, artis, Anuar Zain, Ramli Sarip, Reshmonu, Sean Ghazi dan Sofaz dan kumpulan paling popular Indonesia, Samsons.
Menurut Penerbit Eksekutif Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson:
“Tahun ini memang majoriti artis yang membuat persembahan adalah lelaki.
Kami bertindak memberi peluang ramai artis lelaki beraksi kerana rata-rata artis wanita yang dicalonkan tahun ini sudah membuat persembahan pada acara lain seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan Anugerah Skrin.
Jadi biarlah AIM14 pula memberi ruang kepada artis lelaki untuk menghiburkan tetamu kerana ada yang memerlukan pendedahan seperti Sean Ghazi dan Sofaz.
Kami perlu mencari kelainan kerana bilangan artis rakaman di Malaysia tidaklah ramai. Balik-balik orang yang sama juga membuat persembahan.”
Kata orang, wanita itu penyeri majlis. Kalau tiada, hilanglah serinya. Kerana itu, penyampai anugerah wanita iaitu pelakon filem Waris Jari Hantu; Maya Karin, Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Nita dan Adibah Noor akan menyerikan majlis. Bagaimana bentuk dan kesannya nanti, sama-sama kita tunggu.
Harap penonton di rumah tidak rasa bosan walaupun tidak banyak penyanyi wanita naik ke pentas.
Budiey tak nak melaram sangat hari Sabtu ini. Pakai baju mana yang ada sahaja. Di kad jemputan, tertera skema pemakaian perlu bertali leher hitam. Mana nak cari ni… kalau pakai kemeja biasa pun, ok gak kan?