KARYAWAN SEDIA PLATFORM UNTUK ARTIS BERNIAGA DI BULAN RAMADHAN
Persatuan Karyawan Malaysia sekali lagi telah mengorak langkah dalam menyediakan satu platform khusus untuk para artis Malaysia, terutamanya, ahli-ahli Persatuan Karyawan Malaysia untuk menjalankan perniagaan di bulan Ramadhan.
Memetik kenyataan Presiden Karyawan, Dato’Freddie Fernandez; “Pihak Karyawan sentiasa membantu para artis dalam apa jual hal termasuklah menyediakan platform-platform seperti Bazaar Raya Merdeka Karyawan 2011 ini untuk para artis mencari rezeki lebih untuk merayakan Aidilfitri nanti”.
Tambah beliau; “Pihak kami amat berbesar hati apabila mendapat kerjasama Low Yatt Group yang menyediakan tapak dengan harga yang paling berpatutan dan istimewa untuk para artis berniaga.”
Usaha murni sebegini amatlah dialu-alukan terutamanya kepada para artis yang ingin berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.
Di samping itu, Persatuan Karyawan Malaysia juga amat berbesar hati apabila mendapat sokongan sepenuhnya dan peruntukan daripada pihak Kementerian Perdangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam menjayakan Bazaar Raya Merdeka Karyawan 2011 ini.
Penglibatan KPDNKK dan agensi-agensi di bawahnya seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sangatlah dipuji memandangkan ia dapat memanafaatkan para artis dari segi pengetahuan cara-cara membuka (mendaftarkan perniagaan) sehinggalah cara-cara untuk melindungi harta intelektual (seperti penjenamaan dan sebagainya).
Pelancaran Bazaar Raya Karyawan 2011 ini akan disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Ismail Sabri.