Pihak Ketiga Bukan Punca Ally Iskandar Putus Tunang
Di sidang media Mentor Raya 2011 malam tadi, personaliti dan pengacara TV3, Ally Iskandar telah mengesahkan ikatan pertunangannya dengan Naib Juara rancangan Gadis Melayu musim pertama, Nur Aishah Zainal telah putus pada 30 Julai lalu. Tanpa berselindung Ally berkata, perpisahan itu berlaku disebabkan tiada keserasian di antara mereka walaupun hakikatnya mereka telah memutuskan untuk mendirikan rumah tangga yang dijadualkan hujung tahun ini.
Ally Iskandar
“Kamu telah berusaha untuk menyelamatkan pertunangan kami tetapi tidak mencapai kata yang positif sehingga membuatkan kami mengambil keputusan untuk memutuskan ikatan,” katanya kepada pemberita pada rakamkan program Mentor Raya di sini, Khamis.
Ujar Ally, perpisahan itu tiada kaitan dengan pihak ketiga ataupun konflik besar membabitkan mereka sebaliknya beberapa masalah lain yang datang secara berperingkat sehingga gagal untuk diselesaikan.
Katanya, mereka berdua pernah mengimpikan untuk menjadi pasangan bahagia dalam rumah tangga tetapi sayang sekali ia tidak dapat dilaksanakan seperti dirancang.
Malah ujar Ally lagi keluarganya turut bersedih dengan peristiwa itu lebih-lebih lagi mereka amat gembira semasa majlis pertunangan yang diadakan sebelum ini.
“Saya tak nafikan masalah ini meninggalkan kesan besar buat saya dan ia amat menyedihkan. Daripada dibiarkan melarat, lebih baik keputusan (memutuskan pertunangan) dibuat secara baik,” katanya.
Bagaimanapun ujar Ally, dia dan Nur Aishah masih berkawan baik dan tiada permusuhan di antara mereka.
Katanya, buat masa ini dia mahu memberi perhatian terhadap tugasnya sebagai pengacara TV3 dan enggan terlalu memikirkan masalah itu. via Mstar Online