Apa Kata Wanita… Istimewa Segmen Ziarah Ramadhan
Segmen Ziarah Ramadhan… Di Sebalik Tirai Besi yang berkongsi kisah banduan wanita bernama Nora yang dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan mengguna dan memiliki dadah antara paparan khas yang bakal mengisi slot program Apa Kata Wanita (AKW) hujung minggu ini, 7 Ogos, jam 2.00 petang di TV1.
Rentetan kisah Nora yang bakal di kongsi dengan penonton setia AKW perasaan seorang wanita yang hiba mengenangkan nasib menyambut Ramadhan dan seterusnya Aidilfitri kelak di sebalik tirai besi buat pertama kali. Pengajaran berguna buat masyarakat agar jangan sesekali untuk mencuba melakukan kesalahan kerana ibarat kata pepatah, sesal dahulu pendapatan … sesal kemudian tiada berguna. Apatahlagi melakukan kesalahan yang menyalahi bukan sahaja undang-undang dunia sebaliknya juga dibenci oleh agama.
Pastinya segmen ini yang diadakan sempena sambutan Ramadhan berupaya mengundang keinsafan kepada sesiapa sahaja yang mula mahu berjinak dengan najis dadah kerana hakikatnya hukuman yang diterima bukan sahaja memberi kesan buruk terhadap diri sendiri di penjarakan sebaliknya mengundang aib dan malu kepada keluarga masing-masing.
Program yang menampilkan Zamzarina Zambri sebagai penerbit dan perantaranya ini ternyata memberikan peluang kepada semua penonton berkongsi waktu tayangannya yang terbaru di mana telah di pinda daripada hari Sabtu kepada setiap hari Ahad, jam 2.00 petang. Pemilihan waktu siaran yang baru ini dilihat lebih strategik dan sekaligus memenuhi permintaan ramai penonton rancangan ini yang mahu ia disiarkan pada Ahad.
AKW yang memasuki tahun ketiga siarannya pada tahun ini turut diulang siar pada Jumaat, jam 2.00 petang bagi memberi peluang kedua kepada penonton yang terlepas peluang menyaksikannya. Menariknya menerusi tayangan AKW tahun ini, penonton turut berpeluang menyertai Kuiz iTECH dan memenangi hadiah Mini Notebook tajaan DELL.