Tanda tanya mengenai pengarah terbaharu bagi filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah akhirnya terjawab apabila penerbit mengumumkan bahawa Saiful Reza Shukor dan Shaharudin Md Dali memegang peranan sebagai sutradara untuk karya tersebut. Pengumuman dibuat secara rasmi selepas tayangan bersama media petang tadi.
Pengumuman ini juga bertujuan menjawab keraguan mengenai penggantian Areel Abu Bakar, pengarah terdahulu yang digugurkan dalam filem dengan kos belanja RM15 juta ini.
Abdul Rahman Md Dali, penerbit Studio Kembara Sdn Bhd, menerangkan bahawa pemilihan dua pengarah ini dibuat dengan mengambil kira aspek dan bidang tugas yang berbeza bagi memastikan kualiti hasil akhir yang terbaik.
“Setelah meneliti plot awal filem ini, kami menyedari bahawa terdapat aspek yang perlu diperbaiki. Ada sudut tertentu yang mungkin boleh mempengaruhi hasil akhir filem ini. Oleh itu, keputusan untuk menukar pengarah diambil. Sebagai penerbit, saya rasa perlu melakukan penambahbaikan dalam filem ini. Saiful Reza akan memberi tumpuan kepada babak aksi dan koreografi,”
Sebelum ini, filem ini menjadi kontroversi apabila Areel Abu Bakar mengumumkan pengguguran namanya tanpa penjelasan yang jelas. Abdul Rahman menerangkan bahawa sepanjang Areel bertindak sebagai pengarah, hanya 35 peratus hasil kerjanya yang digunakan dalam filem tersebut.
Visual yang disiapkan oleh Areel sebelumnya berdurasi lebih tiga hingga empat jam sebelum disunting, dan hanya sebahagian kecil daripadanya yang digunakan.
“Pendekar Awang: Darah Indera Gajah” yang dibintangi oleh pelakon popular seperti Fattah Amin, Nur Fazura, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Nadhir Nasar, Nam Ron, Amir Ahnaf, dan lain-lain, dijadualkan akan tayang di pawagam pada 11 Januari.