Untuk sebuah karya arahan anak tempatan, sutradara Jin Ong, yang belum ditayangkan di tanah air tetapi telah melakar sejarah demi sejarah di luar negara dengan pelbagai pengiktirafan, filem Abang Adik adalah naskhah wajib tonton sebelum tirai 2023 ditutup.
Apatah lagi Abang Adik yang sudah ditayangkan di Taiwan terus mencetak sejarah apabila menjadi filem paling laris kolaborasi negara antara Singapura dan Malaysia yang pernah ditayangkan di negara tersebut!
Abang Adik yang diterbitkan Pengarah Eksekutif, Sinje Lee dan Alex C.Lo bersama Penerbit, Nicole Teoh dan Trini Lam yang dijadual menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 14 Disember 2023 ini bukan hanya menang di hati peminat.
Namun Abang Adik sudah meraih perhatian festival-festival antarabangsa termasuk mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama memenangi kategori utama Far East Film Festival (FEFF) ke-25 termasuk Golden Memory Audience Awards, The Black Dragon Critics Prize dance White Mulbery Awards yang berlangsung di Udine, Itali.
Bukan hanya diiktiraf di FEFF, Abang Adik yang menampilkan gandingan pelakon hebat dua negara, Jack Tan (Malaysia) dan Wu Kang Ren (Taiwan) ini juga merangkul lebih 10 pengiktirafan termasuk anugerah di festival seperti New York Asian Film Festival 2023 (edisi ke-22) dan First Official Selection 2023 di China.
Bakat lakonan luar biasa, Wu Kang Ren sendiri diiktiraf dengan empat kemenangan termasuk di Taipei 60th Golden Horse Award sebagai Best Leading Actor, 13th FIRST International Film Festival 2023 sebagai Best Performance, dinobat Best Lead Performance dan di QCinema International Film Festival – Asian Next Wave yang berlangsung di Filipina.
Sebagai naskhah pertama arahannya, Jin Ong yang terlebih dahulu dikenali sebagai penerbit berjaya membawa penonton menelusuri dilema kehidupan penuh kemiskinan dan kesempitan hidup dua beradik yatim piatu.
Mereka adalah Abang — orang kelainan upaya (OKU) bisu dan pekak (Wu Kang Ren) sementara adiknya, Adi (Jack Tan) yang hidup bergelumang kemarahan.
Satu tragedi yang berlaku telah menguji hubungan abang – adik yang hidup melarat ini. Dan konflik juga dilema yang dihadapi Abang – Adi dikupas penuh cantik.
Bercakap mengenai Abang Adik, selaku pengarah Jin Ong menyifatkan pengikitirafan yang diterima daripada festival-festival adalah sebuah indikasi positif terhadap karya Asia Tenggara yang boleh berdiri sama tinggi dengan karya dari negara terkenal dunia.
“Pengiktirafan dan kemenangan yang diperoleh dari merata benua di dunia menerusi pengisian Abang Adik yang mengangkat tema kehidupan, kekeluargaan, pengorbanan dan kasih sayang yang disampaikan dalam balutan kreativiti karyawan seni dua negara yang mempunyai visi sama adalah bukti daya saing pengkarya Asia Tenggara yang tidak boleh dinafikan.
“Saya juga amat berharap agar Abang Adik menerima respons baik saat ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 14 Disember ini,” kata Jin Ong.
Bagi Jack Tan, Abang Adik yang disampaikan dalam tiga bahasa iaitu Mandarin, Kantonis dan bahasa Melayu ini terlalu istimewa kerana latar cerita dan penghasilannya yang menggabungkan tenaga kerja juga pelakon dari Malaysia dan Taiwan.
Naskhah berdurasi 114 minit ini disifatkan Jack Tan, pemegang karakter Adi mempunyai nilai sentimental tersendiri apabila membabitkan manusia dengan dua keadaan fizikal yang berbeza sehingga menjentik naluri sesiapapun yang menonton.
“Ada nilai sentimental dalam filem Abang Adik ini buat saya kerana pertalian keluarga adalah sesuatu yang dilalui semua orang di dunia.
“Dan bagaimana watak Abang serta Adi menjalani kehidupan dalam dunia sama tetapi berlainan cara, dengan seorang OKU dan seorang lagi memberontak kerana kemiskinan mereka,” kata Jack Tan.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang filem Abang Adik yang diedarkan mm2 Entertainment ini jangan sampai terlepas menonton naskhah yang sudah bergema di peringkat antarabangsa ini sebaik memasuki pawagam berhampiran anda pada 14 Disember 2023.
Informasi Filem
Filem: Abang Adik
Tarikh Tayangan: 14 Disember 2023
Produksi: More Entertainment Sdn Bhd
Produksi Bersama: New Century Southward Development Co., Ltd.
Penerbit Eksekutif: Sinje Lee, Alex C.Lo
Penerbit: Nicole Teoh, Trini Lam
Pengarah: Jin Ong
Pelakon: Wu Kang Ren (Taiwan), Jack Tan, Bront Paralae, Tan Kim Wang, Serene Lim, April Chan
Bahasa: Mandarin, Kantonis, Bahasa Melayu
Durasi: 114 Minit
Genre: Drama
Edaran: mm2 Entertainment
Penaja Utama: Hero 99 & PAYGURU
Penaja: Eu Yan Sang, STARLIGHT Team, Oneworld Hanxin College, Hanxin Pictures
Disokong: Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia, FINAS Perbadanan
Rakan Media Rasmi: MY, MELODY, GOXUAN, Loud Speaker, Target Media
Instagram: https://www.instagram.com/abangadikthemovie/
Facebook: www.facebook.com/abangadikthemovie