Rancangan Jejak Rasul, dokumentari berbentuk ilmiah yang sinonim dengan TV3 setiap kali tibanya bulan Ramadan al–Mubarak, kini kembali lagi. Siri yang masuk tahun ke 17 kali ini bakal membawa para penonton TV3 menjejaki legasi Nabi Muhammad s.a.w di Eropah Timur.
Musim terbaru ini akan menyelami resam hidup, budaya, bahasa, makanan, kesenian dan sejarah umat Islam negara-negara bekas komunis di Eropah Timur seperti Moscow, Tatarstan, Dagestan, Chechnya dan Ukraine. Siri dokumentari ini akan menemui penonton TV3 sepanjang bulan Ramadan ini, bermula 1 Ogos 2011 jam 6.30 petang (Isnin – Ahad).
Sesi pelancaran Jejak Rasul 17: Legasi Muhammad s.a.w Di Eropah Timur akan disempurnakan oleh Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Sri Anifah Haji Aman dan diiringi oleh Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, En. Ahmad Izham Omar pada minggu hadapan.