Datuk Irene merupakan figura utama yang membentuk dan mempromosikan sektor pelancongan Sabah dan telah menyokong AirAsia sebagai antara pemain industri pelancongan utama di negeri ini sejak 22 tahun lalu. Rekaan pesawat khas ini bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap sokongan beliau, malah mencerminkan hubungan erat antara AirAsia dan negeri Sabah.
Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun berkata: “Selepas lebih dari dua dekad dengan sokongan berterusan Datuk Irene, kami berbesar hati untuk melancarkan rekaan pesawat khas ini sebagai penghargaan kepada beliau. Peranan penting beliau dalam membentuk dan mempromosikan sektor pelancongan Sabah, serta semangat kerjasamanya membantu kami menubuhkan hab Kota Kinabalu. Kami terhutang budi atas sokongan beliau dan ini adalah tanda penghormatan kami terhadap Datuk Irene. Terima kasih kerana menjadi bahagian penting dalam perjalanan AirAsia.”
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes menambah: “Sabah adalah tempat yang amat istimewa bagi AirAsia, di mana kami telah berkembang pesat dan menerbangkan lebih daripada 80 juta tetamu ke/dari Sabah sejak tahun 2002 hingga bulan November 2023. Tidak kira setinggi mana kami terbang, kami tidak akan melupakan mereka yang telah membantu kami sepanjang perjalanan, dan Datuk Irene adalah salah seorang yang menaruh sepenuh kepercayaan kepada kami. Pada tahun 2001, ketika berita tentang keputusan Kamarudin dan saya untuk mengambil alih sebuah syarikat penerbangan, Datuk Irene adalah salah seorang individu yang memandangnya dengan serius. Dengan sokongan berterusan beliau, kami berjaya menubuhkan Sabah sebagai hab dan terus berkembang pesat. Datuk Irene, terimalah rekaan pesawat khas ini untuk anda. Ia adalah pesawat pertama yang kami namakan dan kami mendedikasikannya kepada anda dengan penuh penghormatan oleh seluruh warga AirAsia.”
Selepas melancarkan Kota Kinabalu sebagai hab pada tahun 2002 dengan sokongan Datuk Irene dan Lembaga Pelancongan Sabah, ia menjadi hab kedua terbesar AirAsia selepas Kuala Lumpur. Sebagai syarikat penerbangan terbesar dengan sambungan terluas di negeri ini, AirAsia kini terbang ke 21 laluan termasuk domestik dan antarabangsa dengan 331 penerbangan mingguan dari Kota Kinabalu, Sandakan, dan Tawau.
Pada tahun 2014, AirAsia telah melancarkan rekaan pesawat khas ‘Terima Kasih Sabah’ sebagai penghargaan kepada Negeri di Bawah Bayu dan rakyat Sabah atas sokongan mereka kepada syarikat penerbangan ini di negeri tersebut. Hari ini, syarikat penerbangan ini mengambil satu lagi langkah ke hadapan dengan menamakan salah satu pesawatnya sebagai penghargaan untuk negeri Sabah dan Datuk Irene.
AirAsia mengendalikan penerbangan dari tiga destinasi di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, dan Tawau, ke pelbagai destinasi lain termasuk Singapura, Indonesia, China, Hong Kong, Taipei, Filipina, dan lain-lain. Syarikat penerbangan ini juga merancang untuk memperkenalkan laluan baharu seperti Seoul ke Kota Kinabalu dan destinasi menarik lain pada masa akan datang.