Seperti diramal, jenama fesyen terkenal negara, Rizman Ruzaini dinobat sebagai jenama terbaik di Kuala Lumpur Fashion Award (KLFA) 2023 yang berlangsung malam tadi.
Rizman Ruzaini berjaya menewaskan tiga lagi pencabarnya, Fizi Woo, Alia Bastamam serta Mimpi Kita.
Selain memenangi anugerah ‘Brand Of The Year’, pereka fesyen duo itu turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Terbaik atas pencapaian luar biasa tahun ini.
Menurut Ruzaini, anugerah tersebut merupakan pencapaian yang amat membanggakan sebagai pereka fesyen tempatan.
Bagi Rizman pula, anugerah tersebut menaikkan semangat mereka untuk menghasilkan karya terbaik dan membanggakan Malaysia.
Ditanya mengenai impian mereka untuk tahun depan, mereka berkata, misi utamanya adalah untuk meletakkan nama Malaysia dalam peta fesyen dunia.
Selepas berjaya memperagakan koleksi mereka di Minggu Fesyen Dubai, Rizman Ruzaini seterusnya memasang impian untuk menakluk bumi Eropah pula dengan menyertai Minggu Fesyen Paris.
Sebanyak 17 anugerah dipertandingkan pada malam acara KLFA 2023 itu.
Antaranya, Pereka Fesyen Pakaian Lelaki/Wanita Terbaik (Kit Woo & Fizi Woo), Pereka Fesyen Gaya Jalanan Terbaik (Masyadimansoor), Jurusolek Terbaik (Shiyo Joo), Penata Gaya Rambut Terbaik (Ckay Liow), Personaliti Fesyen Lelaki/Wanita Terbaik (Nazreem Musa & Christinna Kuan) dan Ikon Fesyen Sepanjang Tahun (Nazreem Musa).