in ,

Konsert 3 Gegaran Bersama Kumpulan May, Lefthanded & XPDC

SEMARAK SYAWAL BERSAMA KUMPULAN MAY, LEFTHANDED & XPDC!

Belum pun sempat masyarakat Islam di Malaysia menyambut bulan Ramadan, namun kemeriahan Syawal kian terasa bermula dengan sesi rakaman program Raya muzikal istimewa TV3, 3 GEGARAN yang menampilkan tiga kumpulan rock lagenda seperti May, Lefthanded dan XPDC yang berlangsung di Studio Sri Pentas 2 malam ini.

Walaupun tanpa berbaju Melayu mahupun bersongkok kerana masih mengekalkan penampilan rock masing-masing, Mus (May), Nash (Lefthanded) dan Mael (XPDC) selaku penyanyi utama ketiga-tiga kumpulan kelihatan teruja dan bersedia untuk menghiburkan ratusan para peminat yang hadir untuk menyaksikan persembahan yang julung kalinya secara ‘live’ untuk rakaman istimewa program muzikal Raya yang bakal disiarkan pada Hari Raya keenam (4hb September, 2011) jam 5.00 petang.

Selaku penerbit dan pengarah program ini, Khalijah Hj Mohamed (Kelly) menjelaskan, “Tidak lengkap rasanya kemeriahan Syawal tanpa siaran program-program menarik dari TV3. Saban tahun, TV3 terus mengekalkan tradisi dengan menyiarkan pelbagai rancangan untuk penonton setianya tidak kira lapisan umur, bersesuaian dengan tema lebaran dan menampilkan kandungan yang meliputi pelbagai genre seperti program 3 GEGARAN ini. Pastinya kerinduan para peminat muzik tanahair terhadap zaman kegemilangan rock kapak akan terubat setelah menyaksikan persembahan hebat daripada otai-otai yang akan membawakan lagu-lagu hits dan popular kumpulan masing-masing. Uniknya, kali ini pihak produksi dan pereka set program 3 GEGARAN telah menyediakan tiga buah mini stage yang berasingan di dalam studio Sri Pentas 2 ini bersesuaian dengan corak dan rentak persembahan yang ingin ditampilkan oleh May, Lefthanded dan XPDC.”

Sebagai pembukaan, nantikan kemunculan Kumpulan XPDC program menghangatkan suasana di studio membawakan lagu “Selendang Merdeka” dan diikuti oleh Kumpulan Lefthanded membawakan lagu “Debunga Wangi” sebelum Kumpulan May menutup segmen pertama menerusi lagu “Hakikat Perjuangan”.

Segmen kedua pula memberi peluang kepada para peminat untuk mengimbau kembali kenangan silam dan sama-sama mengharungi kisah suka dan duka ketiga-tiga kumpulan bukan sahaja menerusi lagu-lagu yang didendangkan tetapi turut diselang-selikan dengan klip dan footage ketiga-tiga kumpulan di waktu zaman kegemilangan lewat tahun 80’an dan awal 90’an dahulu.

Kumpulan May akan membawakan medley “Dari Kacamata” atau “Pelayaran” dan lagu keramat mereka “Cintamu Mekar Di Hati” / “Sinar”. Sememangnya dinanti-nantikan, tiba giliran Kumpulan Lefthanded pula membuai perasaan semua yang hadir menerusi medley “Ku Di Halaman Rindu” / “Tiada Lagi Kidungmu”. Kumpulan XPDC pula meneruskan hiburan di malam mini dengan medley “Semangat Yang Hilang” / “Apa Nak Dikata” dan disusuli dengan “Talam Dua Muka” / “Hidup Bersama”.

Tidak lengkap rasanya tanpa kemunculan istimewa ketiga-tiga kumpulan di atas pentas bersama-sama menyanyikan lagu penutup bagi mengakhiri program muzikal Raya kali ini. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan finale istimewa Mus, Nash dan Mael yang telah memilih lagu keramat Kumpulan Deep Purple, “Smoke On The Water” sebagai halwa telinga terakhir khas buat para peminat di studio dan juga di rumah.

3 GEGARAN diterajui oleh Khalijah Hj Mohamed (Kelly) selaku penerbit dan pengarah, Mohd Shukri Idris (Kombatt) merangkap Penolong Penerbit dan Arunn Krishnan (Pembantu Penerbitan) dari Primeworks Studios. Syawal kali ini pastinya akan lebih ceria dengan konsert mini istimewa yang dibawakan khas pada Hari Raya Aidilfitri yang keenam, 4 September (Ahad), jam 5.00 petang, hanya di TV3!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Bersiri Supermak Lakonan Nasha Aziz & Azhan Rani

Album Terbaru Wana MyStarz LG Kini Di Pasaran