Hikayat Fandom Folklore World: Storyteller Guild, dengan sokongan MOTAC, Think City, dan GMBB telah dilancarkan di GMBB di Kuala Lumpur dihadiri lebih 150 tetamu yang terdiri daripada para penerbit, penulis, dan komuniti budaya.
Ditubuhkan pada tahun 2021 oleh Ninot Aziz dan Rudy Daud, Hikayat Fandom membawa objektif memperkasa, memelihara dan mempromosi hikayat dan cerita rakyat. Ia bertujuan mencerminkan kekayaan sastera dan legenda kita kepada rakyat Malaysia dan dunia melalui penerbitan berkualiti bertemakan warisan ini.
Aspirasi ini dikembangkan melalui penubuhan pusat sumber cerita rakyat hari ini, Hikayat Fandom Folklore World: Storyteller Guild yang secara aktif berazam mengumpul tukang cerita demi menghimpunkan Kisah legenda yang boleh dirakam, dikongsi dengan generasi muda, memberi inspirasi kepada kandungan kreatif seperti video, filem, seni grafik, dan penerbitan.
Ninot Aziz berkata, “Hikayat Fandom Folklore World: Storyteller Guild ditubuhkan bagi mengiktiraf kepentingan tukang cerita dalam melakar naratif membentuk identiti dan jatidiri sebagai rakyat Malaysia. Storyteller Guild memberi penghargaan kepada tukang cerita yang menyumbang kepada pemeliharaan dan pembangunan seni.
“Tahun ini, kami menekankan kepentingan Makyong yang menerima pengiktirafan UNESCO sebagai kayu ukur seni dan kesusasteraan lisan kita. Oleh itu, berdasarkan cadangan dan pencalonan daripada komuniti Makyong, tukang cerita pertama diangkat ke Storyteller Guild ialah Fatimah Abdullah dari Dunia Makyong.”
“Kami juga berbesar hati untuk mengumumkan bahawa penerbitan kami Bentala Naga: A Makyong Tale diterbitkan dalam bahasa Itali dan Jerman, membawa cerita rakyat kita ke persada antarabangsa. Untuk mendekati generasi muda, Hikayat Fandom juga menerbitkan HF KomiK: Bentala Naga.”
Hikayat Fandom turut menghasilkan ratusan karya seni oleh Ariyana Ahmad, Walid Muhammad dan Dani Warguide dalam buku-buku terbitannya untuk mengimbas kembali dunia Kepulauan Melayu yang semakin lama menghilang dari korpus memori kita.
“Siri Hikayat Kids diterbitkan melalui kolobrasi bersama Penerbitan Patriots – khas untuk kanak-kanak berumur 10 hingga 15 tahun yang disokong oleh MOTAC dan MyCreative Ventures. Hari ini, kami mempersembahkan buku-buku ini dengan persembahan kebudayaankhas oleh Akar Seni Malaysia yang diketuai oleh Hazlami Harun dan susunan muzik oleh pemain gitar Rizal Ezuan, Pengarah, Kolej Muzik Moden, UiTM dan pemain trompet, Khairul Anwar dari Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Baru baru ini, DRAGONLORE: Dari Timur dan Barat diterbitkan – antologi 24 kisah naga oleh 14 penulis pemenang anugerah dari Kanada, China, Jerman, Georgia, Itali, Indonesia, Malaysia, Filipina , Turki dan UK bersempena Tahun Naga 2024. Buku ini terpilih menyertai 30,000 karya seni dan kesusasteraan untuk diarkibkan di bulan pada tahun hadapan di bawah projeci LUNAR CODEX.
Pada awal tahun 2023, Hikayat Fandom menerbitkan Mutiara Kata Alam Melayu, buku yang dipetik dari kearifan dan ilmu 1400 tahun Dunia Melayu. Buku itu memaparkan kebijaksanaan raja abad ke-7 Yang Dapunta Sri Jayanasa, HAMKA, Syed Naquib Al Attas, Allahyarham Ungku Aziz, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Jose Rizal serta peribahasa dan pantun kita.
Ninot menambah, “Hampir semua penerbitan kami adalah buku berilustrasi supaya generasi muda khususnya dapat membayangkan dunia yang semakin hilang ini yang mempesonakan dunia pada tahun 1900-an. Kami mempunyai pasukan ilustrator kami – Walid Muhammad, Ariawak yana Ahmad, Dani Warguide dan Crystal Creative Enterprise yang seperti kami, benar-benar gigih membawa legenda Alam Melayu dan Asia ke persada dunia.”
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Ninot Aziz di [email protected] atau 019 396 6544
Semak pautan https://www.facebook.com/hikayatfandom untuk kemas kini.