Penyanyi Bad Indigo meninggal dunia di tempat kerjanya iaitu di bengkel kenderaan di Ampang, jam 7 malam, hari ini.
Menurut rakan sekerjanya, Bad atau nama sebenarnya, Badrul Izhan Yeop Abdullah dikatakan mengalami hipoglisemia atau kekurangan gula dalam darah.
Memang mengejutkan. Katanya, dia tengah sakit dan berlaku hipoglisemia, dia diberi minum air. Tiba-tiba, dia senyap.
Sementara itu, rakan Bad dari kumpulan Indigo, Shah turut mengesahkan Bad meninggal dunia dalam satu hantaran di media sosial.
Di Instagram, kali terakhir Bad memuat naik hantaran ialah tiga hari lalu berupa video yang meniup semangat kepada pengikutnya di platform itu supaya tidak berputus asa dan mengingati Allah setiap kali dilanda ujian.
Sebelum ini, Bad yang menghidap kencing manis menjalani pembedahan membuang tiga jari kaki pada 9 Mei tahun lalu sebelum semua jari kakinya terpaksa dipotong beberapa bulan kemudian.
Dia kemudiannya terpaksa menggunakan bantuan alat ‘walker’ dan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan.
Kemudian, Bad dan bekas isteri, Ashira mengumumkan yang mereka sudah bercerai menerusi sebuah hantaran video pada 23 Jun tahun lalu.
Bad dan Ashira mendirikan rumah tangga pada 11 Mac 2021 selepas mereka sama-sama menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh.Bad dilaporkan memohon status OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas menjalani beberapa prosedur memotong jari kaki kiri.