Sebagai inisiatif dalam menjimatkan perbelanjaan harian, ketahui infomasi berkaitan khasiat, cara penanaman dan penjagaan tanaman pelbagai sayuran, buah-buahan dan ulam ulaman dalam 26 episod program ini.
Pengusaha-pengusaha tanaman yang diundang teruja berkongsikan tip dan pengalaman mereka dalam mengusahakan bidang pertanian dan teknologi yang dianggap kurang menjadi pilihan ini.
Antara yang dikongsikan dalam episod limau purut atau nama saintifiknya Citrus Hystrix yang diusahakan di Semenyih, Selangor bersama Encik Nasaruddin Ramli; Markisa yang diusahakan pemiliknya Yong Ah Lon di Bentong, Pahang; dan Nanas MD 2 oleh Encik Hafiz Arifin di Janda Baik, Pahang.
Ketahui juga inspirasi kejayaan tanaman kacang botol yang diusahakan di Bukit Tinggi, Pahang bersama pengusaha Mow Mei Yin; buah bidara di Raub, Pahang bersama Lim Chim Kee; buah tin milik Encik Mohd Syafiq di Janda Baik, Pahang; timun tua bersama-sama Kamarul Norzan; peria yang diusahakan di Bentong, Pahang bersama pengusaha Cheng Tai Wai; dan pucuk gajus yang diusahakan di Sepang, Selangor.
Ketahui juga penjagaan tanaman pegaga yang diusahakan di Selangor bersama Encik Hafizi Riduan; ubi kayu yang diusahakan di Sepang Selangor oleh Salihudin Nordin; pisang Tampuk yang diusahakan di Sepang bersama pengusaha tanaman Solikin Sulaiman berkongsi pengalaman dan maklumat penjagaan sehingga boleh di tuai.
Saksikan juga episod berkaitan tebu kuning, kacang panjang, halia Bentong atau nama saintifiknya Zingiber Officinalea yang masing-masing diusahakan di Bentong, Pahang.