Kelunakan suara dan penyampaian penuh penghayatan membawakan lagu berjudul Insan Dan Bunga yang pernah dipopularkan oleh Tiar Ramon serta Dendangan Laguku (Carefree) melayakkan sitara Hisyam diangkat sebagai juara Malam Kemuncak Bintang Klasik 2023, pada acara yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hisyam atau nama penuhnya Muhammad Hisyam Abdul Rahim, 22, membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 berserta sebuah motorsikal. Naib juara pula menjadi milik Firdaos Azzahan, 29; yang membawa pulang wang tunai RM20,000 manakala Siti Nur Nadia Mohd Rozi, 29; menduduki tempat ke-3 yang membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000.
Persembahan Terbaik pula menjadi milik Mohd Kasmir Mahalil, 25; yang memenangi hadiah wang tunai RM4,000.
Pertandingan akhir ini diadili oleh juri profesional Datuk Wah Idris; Datuk S. Atan dan Manan Ngah serta Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua juri.
Dengan tema #MalamChemerlang, dua lagi sitara yang bersaing ialah Nur Atikah Mohd Yousof, 25; dan Muhammad Shahrul Ikmal Osman, 27.
Menggandingkan dua pengacara serasi, Khir Rahman dan juruhebah Radio Klasik, Nadeeya Ahmad, pertandingan ini turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis jemputan seperti Datuk Jefrydin, Azlina Aziz, Wann dan Raja Ema, selain penampilan dua Juara Bintang Klasik edisi lalu, Anas Farhan dan Shazreen Shaharom.
HISYAM… PENGGEMAR LAGU KLASIK
Menurut sang juara, Hisyam kemenangan ini menjadi titik permulaan baginya untuk terus perjuangkan muzik klasik agar tidak luput dek zaman. Malah pemuda yang merupakan peserta termuda pertandingan akhir ini nyata berpuas hati dapat membuat persembahan terbaik dalam mendendangkan lagu-lagu klasik.
Didorong dengan minat terhadap genre lagu sebegini sejak kecil lagi, Hisyam berpendapat golongan muda seperti beliau perlu mengangkat lagu-lagu klasik itu supaya tidak tenggelam dek zaman.
Sementara itu bagi Pengurus Radio Klasik, Fathil Hidyat Ghazali menyifatkan kemenangan Hisyam pada malam Kemuncak Bintang Klasik 2023 sebagai tepat selain memberikan persaingan hebat kepada enam peserta lain. Beliau juga menyatakan pemilihan Hisyam sebagai juara adalah tepat kerana satu-satunya peserta tunggal mewakili Zon Timur itu memberikan bukan seratus peratus sebaliknya 200% dalam pertandingan ini sekaligus diangkat sebagai juara.