Namanya mungkin jarang-jarang kedengaran di pekarangan seni suara tempatan, namun bagi penyanyi cantik molek berpengalaman, Mya Herry, ianya bagai sebuah permulaan yang baharu.
“Terima kasih di atas kesempatan yang tidak ternilai ini terutamanya buat pihak pengurusan iaitu Armani Entertainment Group (AEG) kerana memberikan peluang bagi saya tampil dengan single pertama di bawah naungan mereka berjudul TAK APA,” kata pemilik nama sebenar Maya Hariyanto.
Mya yang baharu sahaja selesai menyertai pertandingan realiti nyanyian terpopular Indonesia, D’Academy Asia 6 berjaya memasuki top 20 daripada 40 orang peserta kesemuanya, kongsinya, “Pengalaman menjadi salah satu peserta program hiburan terbesar di Indonesia ini merupakan momen yang tidak akan saya lupakan dalam hidup, bayangkan berdepan dengan peserta dari Indonesia, Brunei, Filipina, Timor-Leste, Singapura, Turki, Thailand dan Malaysia sendiri.
Jiwa seni Mya bertitik tolak dari kecil lagi, sejak awal dia sudah mula gemar menyanyi dan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian di peringkat sekolah, sejurus menamatkan pelajaran di universiti, Mya memulakan perniagaan sendiri dan aktif sebagai model hijab bagi jenama-jenama tempatan. “Bakat saya mula dicungkil sewaktu menyertai pertandingan All Together Now Malaysia musim ke-2, kemudian saya menghadiri uji bakat yang dianjurkan AEG dan terpilih, mereka menghantar saya mengikuti pertandingan Getaran Jiwa di Sarawak sehingga layak ke peringkat separuh akhir, seterusnya dipilih mewakili Malaysia di pertandingan D’Academy Asia 6.
Bercerita mengenai single terbaharunya, Mya menjelaskan ianya berlainan dengan apa yang pernah dihasilkannya sebelum ini dan agak mencabar baginya kerana menyanyikan dalam nada yang tinggi. “Walaupun lagu ini bernada tinggi, saya tetap mahu mencuba untuk menguji kekuatan vokal dan hasilnya sangat memuaskan. Sebagai penyanyi, saya ingin mencuba pelbagai genre dan fahami apa kehendak pendengar.
“Lagu ini menceritakan tentang seseorang yang sudah pasrah dengan hubungan percintaan agar tenang sesudah putus cinta dan berkata TAK APA,” kata Mya.
Single pop balada ini walaupun kedengaran polos tetap mempunyai dinamiknya tersendiri dengan teknik vokal yang ditonjolkan oleh Mya, sesuai dengan dengan jiwa-jiwa yang galau akibat kecundang dalam percintaan.
Proses rakaman diadakan di studio AEG dan mengambil masa selama satu hari untuk disiapkan.
Tambah Mya, “Jalan cerita dalam lirik video” lagu ini berkisar tentang cinta tiga segi di mana salah seorang dari mereka terpaksa mengundurkan diri walaupun perit untuk melihat pasangannya bahagia dengan insan lain, dan berkonsepkan ‘healing’ serta ‘nature’ yang menjadi simbolik kepada ketenangan.
Menurut Dato’ KK Chua, Ketua Pegawai Eksekutif AEG, “Mya Herry bukan sahaja dikurniakan wajah yang menawan tetapi mempunyai bakat dalam bidang nyanyian yang wajar diberikan perhatian, pengalamannya menyertai pelbagai pertandingan nyanyian banyak mematang dia agar lebih bersedia menghadapi industri muzik yang banyak cabarannya.
“Semoga lagu TAK APA mampu melonjakkan nama Mya dan terus dikenali ramai.
Bagi Mya, muzik adalah hidupnya dan setiap nafas yang dihelanya adalah rentak dalam kehidupan, “Saya berharap agar lagu ini menjadi peneman mereka yang sedang galau, sekurang-kurangnya memberikan ketenangan dan semangat buat mereka, dan lagu ni adalah hadiah untuk peminat-peminat saya yang setia menunggu sehingga ke saat ini.
Lagu TAK APA boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify,YouTube Music, KKBox dan Deezer.
Manakala “Official Lyric Video” ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube Armani Entertainment.