Penyanyi dan pelakon, Alif Satar mendedahkan pernah terpilih menyertai kem latihan ‘soccer shcool’ di bawah bimbangan kelab bola sepak terkemuka England, Manchested United sekitar 2000 hingga 2001.
Menerusi Instagram, Alif memuat naik sijil penyertaan program tersebut sekali gus membuktikan dirinya antara lebih 70 pelajar Malaysia yang terpilih mengikuti sesi latihan itu bagi kategori bawah 12 tahun.
Dalam masa sama, penyanyi Jangan Nakal itu menceritakan detik manis berguru dengan pemain bola sepak legenda Manchester United iaitu Wes Brown dan Paul Aaron Scholes.
Alif, 33, mengakui pernah memasang impian bergelar ahli sukan sewaktu kecil kerana mempunyai minat mendalam lebih-lebih lagi terhadap bola sepak.
Menerusi perkongsian gambar sijil yang ditandatangani bekas jurulatih Manchester United, Sir Alex Ferguson dan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Dell Akbar Khan itu, dapat dilihat Alif berjaya menamatkan lima siri latihan iaitu ‘shooting gallery’, ‘midfield dynamo’, ‘split the defence’, ‘legends united’ dan ‘wizards on the wings’.