in

Sepetang Bersama Edrie Hashim di Studio Sutra

Pada 13 Jun 2008 lalu, Budiey berkesempatan melawat studio milik seorang pemuzik dan komposer terkenal, Edrie Hashim. Siapa tidak kenal dengan Edrie Hashim, pemuzik yang selalu kita lihat di pelbagai konsert seperti Jom Heboh TV3. Lebih 100 lagu telah dicipta oleh beliau menjadikan komposer ini begitu disegani dalam arena hiburan terutama dalam lagu bergenre pop rock.

Di sinilah Edrie berkarya menjadikan studio Sutra D’Mega yang terletak di Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya berdekatan dengan pusat membeli belah Tesco ini sebagai rumah kedua miliknya.

Studio yang dibina tahun lepas ini adalah sentimental value bagi Edrie. Penyanyi-penyanyi yang bukan calang-calang pernah merakamkan lagu mereka di sini seperti Amy Search, Search, Maman Teachers Pet, Loque Butterfingers dan paling baru Dayang Nurfaizah.

Edrie menyifatkan studio ini adalah ‘kubu perang’ atau ‘senjata berbisa’ dalam memastikan kesinambungan legasinya dalam bidang seni.

“Bagi saya, untuk memastikan karya terus dihasilkan, studio ini ditubuhkan dan seperti kubu. Senjata nuklearnya pula merupakan alat dan teknologi yang ada di dalam studio ini dan produk yang dihasilkan, Jika sebelum ini saya sibuk dengan pelbagai konsert seperti Jom Heboh, kini, setelah siap studio ini, ianya menjadi tempat untuk saya kembali agresif menghasilkan karya.”

Studio yang dianggap termaju di negara ini dilengkapi dengan teknologi terbaru dan dibantu pula seorang jurutera bunyi yang tidak perlu diperkenalkan, Zaini Ariffin.

Zaini Ariffin – Jurutera bunyi berpengalaman

Dengan suasana tenang, dekorasi yang minima tampak begitu selesa dan di sini juga tempat Edrie bersantai dan berbincang dengan artis-artis di bawah kelolaannya. Terbaru, Edrie Hashim membimbing satu grup band yang bergelar Cili.

Kepada mana-mana artis atau penyanyi yang mahu merakamkan album, bolehlah datang berbincang dengan Edrie Hashim di alamat ini:

5-2, 5-5A, Jalan P JU 8/5H,
Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya,
Selangor.
(berhampiran dengan Tesco)

atau hubungi melalui email: edriehashim[at]sutraneo.com

Nilai studio ini bagi Edrie Hashim sendiri?

“Dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, kami sudah merakam hampir 20 buah lagu tunggal dari syarikat rakaman New Gendang dan akan mula diputarkan di corong-corong radio tidak lama lagi. Ini merupakan satu testimoni mengenai betapa efisyennya studio kami.”

Kalau ada yang nak sewa studio ni, berapa kena bayar?

“Pada kadar biasa, RM 100 sejam, tetapi pihak studio menasihati bagi mereka yang ingin merakamkan album, lebih baik menyewa dalam bentuk pakej iaitu RM 15 ribu untuk kos pembuatan keseluruhan. Studio ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat.”

Industri muzik kita sedang nazak? Apa komen abang Edrie?

“Sebagai contoh, di Amerika Syarikat sendiri, penyanyi lagenda seperti Prince dan Radiohead, mengedarkan album mereka secara percuma kepada pendengar. Ini kerana mereka tahu betapa album yang keluar begitu susah untuk dijual. Namun, dalam pada itu, untuk memastikan kesinambungan hidup mereka dalam bidang ini, peminat perlu bayar untuk setiap konsert, tiada lagi konsert percuma. Inilah yang sedang berlaku sekarang. Memang kesannya sudah dirasai. Jika kita lihat penjualan album semakin lama semakin merosot. Bahkan ada sesetengah album artis popular terjual tidak sampai sepuluh ribu unit. Ini satu masalah. Perkara ini cukup meruncing sehingga ada sesetengah artis kecewa dengan penjualan album. Jadi, bagi saya, popular seseorang artis tidak boleh dinilai melalui penjualan album semata-mata. Satu penyelesaiannya ialah dengan mengukur kepopularan artis melalui lagu mereka yang dimainkan di radio. Itu lebih adil.”

“Selain dari itu, saya fikir, di Malaysia, kita belum sampai ke tahap itu (mengedar album secara percuma). Namun, saya akan mengambil langkah ke hadapan dengan mengedarkan album bahkan lagu tunggal di bawah New Gendang melalui portal muzik yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Inilah perniagaan muzik baru.”

Komen sikit tentang kesan kebanjiran lagu Indonesia yang menguasai dan lebih diminati peminat Malaysia.

“Saya tidak mahu melibatkan lagu Indonesia dalam industri rakaman di Malaysia. Ramai orang yang melihat lagu Indonesia kononnya lebih bermutu dari tempatan, Perkara ini menyedihkan. Jika kita katakan industri rakaman Malaysia tidak bermutu, saya berani menyangkal dakwaan tersebut. Bagi saya hampir 70 peratus karya yang dihasilkan oleh pemuzik Malaysia berkualiti.

“Saya rasakan kita perlu mengekalkan jati diri dan budaya sendiri. Ianya akan menjadi satu rujukan kepada legasi akan datang. Jika kita bergerak menuju ke arah muzik seberang, semata-mata untuk ‘menawan’ hati pendengar di sini, kita sudah gagal.”

Anggota band Cili turut hadir di majlis santai bersama media di Studio Edrie Hashim. Kami sempat diperdengarkan beberapa buah lagu daripada album terbaru dari Cili terbitan Edrie Hashim. Muziknya sangat segar dan ada nafas baru! Tunggu sahaja pelancarannya pada masa terdekat ini.

Kalau nak tahu, Edrie Hashim berkahwin dengan vokalis kumpulan Candy yang dulu pernah popular dengan lagu Akan Ku Tunggu.

Gue ngetes drum…  sesi lepas gian!

[tags]edrie hashim, alamat studio, office, address edrie, band cili, computer laptops, dukun, dukun susuk artis, gadgets, hantu gigi, ilmu pengasih, indonesia sinetron, julia debby, karpet merah, kris dayanti, macbook air, mambang, minyak dagu, nakieb[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Showcase Nitrus dan Pretty Ugly @ The Ship Sabtu Ini

Faizal Ismail & Ben Firdaus Pengacara Baru Casa Impian Musim Kedua