Kumpulan muzik legenda popular sejak era 1970-an, Blues Gang yang masih ‘berbisa’ menerusi lagu seperti “Apo Nak Di Kato” dan “Mama Saya Mahu Kahwin” bakal kembali beraksi menghangatkan pentas Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kota Media, menerusi program hiburan santai terbitan Unit Hiburan TV RTM iaitu “HMI, Hiburan Minggu Ini: Blues”, yang menemui penonton pada 30 September, Sabtu ini, pukul 9.00 malam.
Bersiaran secara langsung menerusi saluran TV2 dan penstriman langsung di RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my), RTM penuh berharap dalam memenuhi permintaan penggemar lagu-lagu irama blues yang sentiasa mendapat tempat dalam kalangan pendengar sepanjang zaman ini.
Apatahlagi bagi pihak RTM penganjuran program ini selain bertujuan mengimbau kembali zaman kegemilangan genre itu, pada masa sama dapat memperkenalkan irama blues kepada generasi masa kini.
Selain Blues Gang, artis popular lain yang bakal membuat penampilan istimewa termasuklah Jo Branko, Tom, Ilham (Pitahati), Khir Rahman dan pemain dram wanita berbakat besar, Nur Amira Syahira.
Ia pastinya mengubat rindu peminat selain menghiburkan penonton dengan lagu popular mereka sepanjang satu jam setengah bersiaran.
RTM menarik perhatian orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan program hiburan ini bertempat di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kota Media. Masuk adalah percuma.